Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai peranan penting dalam memastikan kelestarian industri sawit Malaysia supaya dapat mengelakkan nasib seperti yang menimpa sektor getah negara dan tidak berulang, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata menerusi pemilikan tanah perladangan terbesar seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatannya dengan meningkatkan pengeluaran dan menumpukan sektor hiliran.
"Cuba bayangkan, jika kita tidak terlibat dalam industi hiliran selama 15 hingga 30 tahun akan datang.
Saya tidak mahu melihat industri sawit yang dikendalikan oleh Felda ini menjadi senasib seperti getah.
"Pada satu ketika, kita ialah pengeluar getah terbesar di dalam dunia. Hari ini, kita menjadi pengeluar produk getah yang utama tetapi kita mengimport getah asli dari Vietnam dan Thailand kerana perlu memenuhi permintaan industri dan jika tidak (import), kita tidak cukup getah, tetapi yang anehnya, kita ada 420,000 hektar (penanaman) pokok getah yang melibatkan 290,000 pekebun kecil," katanya dalam ucaptama di Simposium Felda 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata pada 2013, Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan namun dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 dan negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.
Johari berkata Indonesia menggunakan separuh hasil sawitnya untuk pengeluaran biodiesel manakala Malaysia mengeksport 15 juta tan ke pasaran dunia.
Justeru, beliau menekankan amat penting untuk Felda menggembleng aset tanah dan infrastruktur lengkap miliknya dengan sebaik mungkin.
Felda digesa untuk meningkatkan hasil tandan buah segar (TBS) ke tahap lebih tinggi berbanding 16.49 tan sehektar pada 2023, memandangkan para peserta sawit utama negara menghasilkan anggaran 20 tan TBS sehektar, katanya.
Beliau memberi contoh, jika Felda dapat menghasilkan 18 tan TBS sehektar, hasil keseluruhan akan meningkat kepada 14.4 juta TBS dan agensi itu boleh menjadi pengeluar terbesar dengan 2.8 juta tan minyak sawit mentah (MSM).
"Bayangkan, jika harga sawit RM4,000 satu tan dan anggaran kos adalah RM3,000, kita untung RM1,000. Secara keseluruhan, kita akan untung RM2.8 bilion.
"Jadi, kita perlu belajar daripada kejayaan Felda dahulu dan kita susun strategi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang, saya percaya jika kita pandai mengolah tanah 800,000 hektar milik Felda ini, satu hari nanti generasi yang kelima atau seterusnya akan berbangga menjadi sebahagian daripada Felda," katanya.
Johari juga memberi bayangan bahawa Felda dapat menjadikan para peneroka sebagai pengendali penuh aset mereka sehinggalah kepada pengeluaran hiliran dengan menyusun semula tanah rancangan itu menjadi kluster yang besar.
"Jadi, kelapa sawit ini sangat penting kepada negara. Jika Felda mahu menjalankan tanggungjawab sosial, sektor ini hanya mampan jika dapat membuat keuntungan yang besar. Tidak ada (syarikat) yang boleh membuat sumbangan sosial untuk masyarakat kalau tidak menjana pendapatan," katanya.
KUALA LUMPUR: Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) melanjutkan keuntungan untuk sesi kedua hari ini, menjejaki kekuatan dalam minyak soya di Chicago Board of Trade dan bursa komoditi Dalian.
Ia juga dirangsang oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah di Malaysia, yang juga pengeluar sawit kedua terbesar di dunia.
Kontrak penanda aras minyak sawit untuk penghantaran April di BMD naik RM23 atau 0.60 peratus kepada RM3,825 menjelang tengah hari tadi.
Harga sawit pulih semula didorong pemulihan semalaman harga biji minyak pesaing, ditambah dengan ringgit yang lebih lemah turut mengekalkan harga sawit pada tahap positif, kata seorang peniaga yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
"Harga minyak soya di Chicago Board of Trade naik 0.62 peratus. Kontrak minyak soya paling aktif Dalian jatuh 0.14 peratus, manakala kontrak minyak sawit menokok 0.68 peratus," katanya.
Minyak sawit dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak berkaitan kerana mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.
Ringgit, mata wang perdagangan sawit, jatuh 0.25 peratus berbanding dolar AS, menjadikan komoditi itu lebih murah untuk pembeli yang memegang mata wang asing.
Tinjauan Reuters menunjukkan stok minyak sawit Malaysia mungkin jatuh selama tiga bulan berturut-turut hingga akhir Januari, sejajar dengan pengeluaran rendah bermusim.
Stok minyak sawit dilihat jatuh kepada 2.14 juta tan metrik pada Januari, turun 6.62 peratus daripada bulan sebelumnya, menurut 10 peniaga, penanam dan penganalisis yang ditinjau oleh Reuters.
Pengeluaran minyak sawit mentah berada pada 1.37 juta tan, penurunan sebanyak 11.83 peratus daripada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadual mengeluarkan data bulanannya pada 13 Februari ini.
Import minyak sawit India jatuh kepada tiga bulan rendah pada Januari, apabila pengilang meningkatkan pembelian minyak soya disebabkan margin negatif untuk minyak sawit mentah, lima peniaga memberitahu Reuters semalam.
Minyak sawit mungkin menguji semula rintangan pada RM3,814 satu tan, kerana ia berjaya mendapat sokongan kukuh pada RM3,771, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao. -Reuters
KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersedia untuk mempamerkan produk minyak sawit tempatan di Worldchefs Village, Olimpik Kulinari 2024, yang akan diadakan menjelang 2 hingga 7 Februari 2024.
Dihoskan oleh Worldchefs Association yang amat disanjung tinggi, penyertaan MPOC turut disertai oleh dua syarikat tempatan iaitu Nonosugar Health Tech Sdn Bhd dan Saha Asia Industries Sdn Bhd.
"MPOC juga akan mengadakan demonstrasi memasak dengan menampilkan produk berasaskan minyak sawit oleh cef selebriti Malaysia selain menyediakan sokongan media yang mantap kepada pasukan kebangsaan yang bersaing dalam pertandingan yang dinanti-nantikan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan 1,500 peserta pameran, INTERGASTRA merupakan perhimpunan terbesar di Jerman bagi industri itu, ia menarik hampir 100,000 pengunjung perdagangan setiap dwitahunan.
Olimpik Kulinari sebelum ini membabitkan kira-kira 1,800 peserta, termasuk 110 pasukan dan lebih kurang 800 peserta pameran individu dari 67 negara, yang mewujudkan suasana Olimpik yang menakjubkan dalam dewan pameran Stuttgart.
Dijadualkan bersama INTERGASTRA, pameran perdagangan utama untuk perniagaan hospitaliti serta gastronomi, Sukan Olimpik Kulinari 2024 akan diadakan di Messe Stuttgart, Jerman yang berprestij.
Pasukan Malaysia merangkumi 16 cef yang berkemahiran, diselia oleh Persatuan Kulinari Profesional Malaysia.
Dengan memanfaatkan capaian global Worldchefs, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk persepsi positif terhadap minyak sawit yang mampan.
"Perkongsian dengan Worldchefs memberikan platform yang ideal bagi menonjolkan amalan lestari serta faedah minyak sawit Malaysia, menyumbang kepada pilihan pengguna termaklum di seluruh dunia," kata MPOC.
Sementara itu, Ketua Pejabat Eksekutif MPOC, Belvinder Sron, berkata majlis tersebut mahu menyokong pasukan kebangsaan, mempromosikan jenama minyak sawit Malaysia melalui liputan media dan menampilkan produk jenama itu melalui demo masakan.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Worldchef Association untuk menonjolkan kebaikan minyak sawit Malaysia.
"Penyertaan dalam Sukan Olimpik Kulinari 2024 menandakan komitmen kami terhadap kemampanan dan dedikasi dalam memupuk pilihan pengguna termaklum di peringkat global," tambahnya.
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Bagi menambah baik pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO)’ yang diiktiraf di negara ini dan peringkat global, Malaysia amat mengalu-alukan kolaborasi bersama Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau telah menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Joseph D’Cruz yang berkongsi pandangan mengenai industri kelapa sawit negara, semalam.
“Semalam saya telah dikunjungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, En. Joseph D’Cruz yang datang ke pejabat saya untuk berkongsi pandangan bagaimana RSPO boleh membantu syarikat-syarikat kita di dalam industri kelapa sawit ini untuk mencapai tahap ‘Sustainable Palm Oil’.
“Sebagai sebuah negara pengeluar sawit di dunia, Malaysia juga telah membangunkan skim pensijilan nasional bertaraf global iaitu pensijilan ‘Malaysian Sustainable Palm Oil – MSPO’ bagi memenuhi keperluan masa kini dalam usaha negara ke arah ‘Sustainable Palm Oil’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, sebanyak 92.3 peratus syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard MSPO yang ditetapkan.
“Bagi pensijilan MSPO, sebanyak 92.3 peratus syarikat-syarikat pengeluar sawit Malaysia telah mematuhi standard yang ditetapkan.
“Jadi, Malaysia sangat mengalu-alukan kolaborasi di antara RSPO dan MSPO untuk menerima pakai dan menambah baik pensijilan MSPO yang diiktiraf di negara ini serta di peringkat global,” katanya lagi. – UMNO Online