Bintulu: Kerajaan serius dalam usaha meleraikan isu membabitkan industri minyak sawit negara yang boleh memberi impak sekiranya tidak ditangani, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata, isu berkaitan alam sekitar dan sosial misalnya boleh menjejaskan potensi eksport, terutamanya dalam kedudukan negara yang menghasilkan 18.5-18.6 tan metrik minyak sawit mentah (MSM).
Malah, jelas beliau, ini akan turut menjejaskan kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menerima manfaat daripada industri berkenaan dari segi kutipan cukai selain turut memberi kesan ke atas hampir sejuta pekerja dan 450,000 pekebun kecil di seluruh negara.
"Untuk makluman bersama, kita sedang menghadapi isu besar dunia pada masa ini. Anda tidak melihatnya sebelum ini, namun dalam tempoh 15 tahun lepas, ke mana pun anda pergi, orang akan bercakap mengenai alam sekitar.
"Jika isu ini tidak ditangani, kita juga yang akan terjejas. Oleh itu, kerajaan perlu mengaudit (di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kilang Penapisan Sarawak Oil Palms 2 di Fasa 2 Kawasan Perindustrian Kidurong di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Johari berkata Malaysia juga tidak boleh dikenakan tindakan penalti jika didapati tidak mematuhi prinsip dan kriteria Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).
"Dalam setiap kesempatan menemui wakil Kesatuan Eropah (EU), saya sentiasa tekankan jika mereka tidak berpuas hati dengan isu di Malaysia, maka mereka sepatutnya bekerjasama erat dengan kita bagi membolehkan negara seperti kita menjadi penanda aras dunia dari segi minyak makan.
"Ini memandangkan bagi setiap hektar tanah yang digunakan, kita boleh menghasilkan 3.3 juta tan minyak makan berbanding minyak soya, minyak biji sesawi atau minyak bunga matahari yang hanya menghasilkan kurang daripada satu tan sehektar minyak berkenaan," katanya.
Malah, Johari berkata Malaysia juga bersedia untuk berbincang dengan wakil terbabit mengenai usaha penambahbaikan dan menjadi contoh kepada dunia dalam usaha pengeluaran minyak makan.
Pengeluaran minyak sawit, katanya, adalah sebuah industri penting di Malaysia yang dapat melonjakkan ekonomi negara menerusi aktiviti huluan dan hiliran berkaitan.
Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 3.6 tan minyak sawit mentah (CPO) dipercayai cuba diseleweng di Batu 25, Jalan Sandakan, di sini, semalam.
Dalam operasi pada 6.40 petang itu, bahan komoditi berkenaan dibawa seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan sebuah lori.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pasukan operasi terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati ia membawa muatan disyaki minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen yang sah.
"Pemandu lori kemudian ditahan bersama minyak sawit mentah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan RM58,870 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.
KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia kembali pulih selepas merekodkan penurunan selama empat bulan berturut-turut dengan kenaikan bulanan 28.6 peratus direkodkan pada Mac.
Walau bagaimanapun, eksport minyak sawit negara bulan lalu adalah 11.4 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan bulan sama setahun lalu, demikian menurut RHB Investment Bank.
Bank pelaburan itu berkata, prestasi pada Mac itu berkemungkinan disokong oleh musim perayaan serta beberapa kegiatan penambahan stok yang dilaksanakan.
"Setakat akhir bulan Februari, inventori di China dan India masing-masing mencecah 15 peratus dan 13 peratus, iaitu di bawah paras purata, di mana hal ini berbeza dengan Bangladesh yang menyaksikan paras inventori sebanyak 12 peratus melepasi paras sebelum ini.
"Paras inventori terus merosot 10.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.72 juta tan akibat daripada kadar eksport lebih tinggi di samping dilemahkan oleh kadar pengeluaran yang melonjak mengakibatkan nisbah inventori atau kegunaan masih lagi tersasar daripada purata 10 peratus dengan catatan 8.85 peratus setakat akhir Mac lalu," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng.
RHB Investment Bank berkata, menuju ke hadapan, pengeluaran minyak sawit diramalkan beransur pulih dalam beberapa bulan berikutnya dengan peningkatan lebih besar dijangka berlaku mulai Mei atau Jun.
Menyentuh soal eksport pula, ia berkata kegiatan penambahan inventori berterusan yang berlaku mungkin akan meningkatkan permintaan secara berperingkat.
"Namun begitu, hal ini masih akan tergugat oleh kegiatan penukaran produk apabila minyak sawit mentah (MSM) yang masih dijual pada harga jauh lebih mahal berbanding minyak bunga matahari yang didagangkan pada AS$68 satu tan berbanding AS$65 satu tan bulan lalu.
"Malahan, MSM juga dijual pada diskaun harga lebih kecil sebanyak AS$133 satu tan berbanding AS$172 satu tan bulan lalu berbanding minyak kacang soya, dan ini menjadikan ia pilihan yang kurang menarik kepada pihak pengimport," katanya.
Bank pelaburan itu menambah, paras inventori dijangka terus berada du bawah paras dua juta tan pada bulan-bulan akan datang.
"Meskipun rentak eksport berterusan mengukuh, paras inventori tetap dijangka gagal mencecah paras dua juta tan dalam beberapa bulan akan datang kerana keluaran dijangka mencapai paras tertingginya dalam suku ketiga 2024, sekiranya tiada sebarang masalah cuaca yang tidak diingini berlaku.
"Kami terus menyarankan pemilihan syarikat perladangan lebih tulen bermodal lebih kecil untuk mengaut peluang daripada kenaikan semasa harga MSM berikutan kepekaannya yang lebih tinggi kepada pergerakan harga," katanya.
KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia menyusut sebanyak 10.68 peratus kepada 1.71 juta tan pada Mac 2024 daripada 1.92 juta tan pada Februari 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industrinya untuk Mac 2024, MPOB berkata stok minyak sawit mentah (MSM) negara menurun 22.22 peratus kepada 797,974 tan pada Mac daripada 1.03 juta tan yang dicatatkan pada Februari.
Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses meningkat 2.56 peratus kepada 916,999 tan pada Mac daripada 894,131 tan sebelum ini, katanya.
Mengenai pengeluaran MSM, MPOB berkata ia meningkat 10.57 peratus kepada 1.39 juta tan pada Mac daripada 1.26 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat 13.98 peratus kepada 343,850 tan metrik daripada 301,671 tan pada Februari.
Berhubung eksport, MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 28.61 peratus kepada 1.32 juta tan pada Mac daripada 1.02 juta tan pada Februari, tetapi eksport biodiesel susut 46.13 peratus kepada 15,825 tan pada Mac daripada 29,378 tan pada Februari.
Eksport oleokimia meningkat 0.61 peratus kepada 256,811 tan pada Mac daripada 255,241 tan sebelum ini.
Minyak isirung sawit yang dieksport turut meningkat 48.08 peratus kepada 82,389 tan bulan lepas daripada 55,639 tan pada Februari, manakala eksport kek isirung sawit meningkat 38.23 peratus kepada 188,262 tan pada Mac daripada 136,195 tan sebelumnya.
Mengenai import, MPOB berkata import minyak sawit pada bulan itu turun 32.75 peratus kepada 21,894 tan pada Mac daripada 32,556 tan pada bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit yang diproses menyusut 8.64 peratus kepada 21,894 tan metrik berbanding 23,964 tan pada Februari.
Bagaimanapun, jumlah import minyak isirung sawit melonjak 157.70 peratus kepada 11,686 tan metrik pada Mac daripada 4,535 tan metrik pada Februari, manakala tiada import MSM direkodkan bagi Mac berbanding 8,592 tan metrik yang diimport pada Februari.
STOK minyak sawit Malaysia menyusut sebanyak 10.68 peratus kepada 1.71 juta tan pada Mac 2024 daripada 1.92 juta tan pada Februari 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industrinya untuk Mac 2024, MPOB berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) negara menurun 22.22 peratus kepada 797,974 tan pada Mac daripada 1.03 juta tan yang dicatatkan pada Februari.
Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses meningkat 2.56 peratus kepada 916,999 tan pada Mac daripada 894,131 tan sebelum ini, katanya.
Mengenai pengeluaran MSM, MPOB berkata, ia meningkat 10.57 peratus kepada 1.39 juta tan pada Mac daripada 1.26 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat 13.98 peratus kepada 343,850 tan metrik daripada 301,671 tan pada Februari.
“Berhubung eksport, MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat 28.61 peratus kepada 1.32 juta tan pada Mac daripada 1.02 juta tan pada Februari, tetapi eksport biodiesel susut 46.13 peratus kepada 15,825 tan pada Mac daripada 29,378 tan pada Februari.”
Eksport oleokimia meningkat 0.61 peratus kepada 256,811 tan pada Mac daripada 255,241 tan sebelum ini.
Minyak isirung sawit yang dieksport turut meningkat 48.08 peratus kepada 82,389 tan bulan lepas daripada 55,639 tan pada Februari, manakala eksport kek isirung sawit meningkat 38.23 peratus kepada 188,262 tan pada Mac daripada 136,195 tan sebelumnya.
Mengenai import, MPOB berkata import minyak sawit pada bulan itu turun 32.75 peratus kepada 21,894 tan pada Mac daripada 32,556 tan pada bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit yang diproses menyusut 8.64 peratus kepada 21,894 tan metrik berbanding 23,964 tan pada Februari.
Bagaimanapun, jumlah import minyak isirung sawit melonjak 157.70 peratus kepada 11,686 tan metrik pada Mac daripada 4,535 tan metrik pada Februari, manakala tiada import MSM direkodkan bagi Mac berbanding 8,592 tan metrik yang diimport pada Februari. – Bernama