KUALA LUMPUR: Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) melanjutkan keuntungan untuk sesi kedua hari ini, menjejaki kekuatan dalam minyak soya di Chicago Board of Trade dan bursa komoditi Dalian.
Ia juga dirangsang oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah di Malaysia, yang juga pengeluar sawit kedua terbesar di dunia.
Kontrak penanda aras minyak sawit untuk penghantaran April di BMD naik RM23 atau 0.60 peratus kepada RM3,825 menjelang tengah hari tadi.
Harga sawit pulih semula didorong pemulihan semalaman harga biji minyak pesaing, ditambah dengan ringgit yang lebih lemah turut mengekalkan harga sawit pada tahap positif, kata seorang peniaga yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
"Harga minyak soya di Chicago Board of Trade naik 0.62 peratus. Kontrak minyak soya paling aktif Dalian jatuh 0.14 peratus, manakala kontrak minyak sawit menokok 0.68 peratus," katanya.
Minyak sawit dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak berkaitan kerana mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.
Ringgit, mata wang perdagangan sawit, jatuh 0.25 peratus berbanding dolar AS, menjadikan komoditi itu lebih murah untuk pembeli yang memegang mata wang asing.
Tinjauan Reuters menunjukkan stok minyak sawit Malaysia mungkin jatuh selama tiga bulan berturut-turut hingga akhir Januari, sejajar dengan pengeluaran rendah bermusim.
Stok minyak sawit dilihat jatuh kepada 2.14 juta tan metrik pada Januari, turun 6.62 peratus daripada bulan sebelumnya, menurut 10 peniaga, penanam dan penganalisis yang ditinjau oleh Reuters.
Pengeluaran minyak sawit mentah berada pada 1.37 juta tan, penurunan sebanyak 11.83 peratus daripada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadual mengeluarkan data bulanannya pada 13 Februari ini.
Import minyak sawit India jatuh kepada tiga bulan rendah pada Januari, apabila pengilang meningkatkan pembelian minyak soya disebabkan margin negatif untuk minyak sawit mentah, lima peniaga memberitahu Reuters semalam.
Minyak sawit mungkin menguji semula rintangan pada RM3,814 satu tan, kerana ia berjaya mendapat sokongan kukuh pada RM3,771, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao. -Reuters
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1209326/pengeluaran-dijangka-rendah-harga-sawit-melonjak
Sumber : Berita Harian