Kuala Lumpur: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pada Mei lalu, stok minyak sawit Malaysia meningkat 0.5 peratus kepada 1.75 juta tan meskipun pengeluaran meningkat 13 peratus.
Peningkatan kecil stok ini disebabkan permintaan mengatasi bekalaan.
"Pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 203,000 tan pada Mei, manakala gabungan eksport dan penggunaan domestik meningkat 212,000 tan," kata MPOC dalam satu kenyataan.
Menurutnya, harga minyak sawit dijangka terus meningkat pada Jun kerana pertumbuhan pengeluaran di Malaysia dijangka perlahan pada separuh kedua 2024, manakala eksport semakin meningkat.
"Dari Januari hingga Mei 2024, Malaysia menunjukkan pengeluaran minyak sawit dan prestasi eksport baik, dengan peningkatan pengeluaran 9.0 peratus (626,000 tan) dan peningkatan eksport 7.0 peratus (393,000 tan).
"Sebaliknya, Indonesia menyaksikan penurunan pengeluaran minyak sawit mentah 647,000 tan (5.0 peratus) dari Januari hingga Mac 2024, menurut data dari GAPKI.
"Akibatnya, gabungan pengeluaran minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia dianggarkan menurun setengah juta tan pada suku pertama 2024.
"Walaupun pertumbuhan pengeluaran Malaysia positif, gabungan peningkatan inventori minyak sawit bagi kedua-dua negara dijangka kecil," katanya.
MPOC berkata, harga minyak biji sesawi (rapeseed), bunga matahari dan kacang soya di pasaran Eropah meningkat masing-masing 6.0 peratus, 8.0 peratus dan 7.0 peratus, masing-masing pada Mei, manakala minyak sawit menurun 4.0 peratus.
"Lebihan harga minyak sayuran lain berbanding minyak sawit meningkat daripada AS$40 kepada AS$115, dan dijangka menyokong pemulihan berterusan eksport minyak sawit Malaysia.
"Anggaran awal pengeluaran minyak dari sumber bijian oleh USDA untuk tahun pemasaran 2024/25 meramalkan peningkatan 4.0 peratus dalam pengeluaran minyak dari sumber bijian global.
"Ini bermakna, stok minyak bijian global diramalkan meningkat 6.0 peratus, mencapai tahap tertinggi dalam satu dekad pada 2024/25, dan bekalan minyak bijian dijangka kekal mencukupi," katanya.
Menurut MPOC, harga minyak sawit diunjurkan mendapat sokongan pada RM3,900 pada Jun, kerana gabungan bekalan dari Malaysia dan Indonesia dijangka ketat pada akhir 2024, selari dengan peningkatan dalam eksport minyak sawit.
PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menahan empat individu dan merampas minyak sawit mentah serta peralatan bernilai RM6.4 juta.
MCBA dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dan serbuan melalui Op Taring Palma itu dijalankan di sebuah syarikat memproses minyak sawit di Batu 14, Jalan Labuk, di Sandakan pada petang 7 Jun lepas.
Katanya, serbuan dilakukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan penguatkuasa MPOB Sandakan mendapati syarikat berlesen itu membuat pembelian minyak sawit mentah daripada pihak tidak berlesen pada harga lebih rendah.
“Antara rampasan adalah sebuah lori muatan tiga tan, tangki 1000 liter (tujuh), pam elektrik dan hos (empat), tong dram (empat), tangki skid berkapasiti 40,000 liter (lima), tangki simpanan berkapasiti 1000 tan (lima) dan anggaran 775.1 tan minyak sawit mentah.
“Empat individu terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana bersekongkol dalam aktiviti pembelian minyak sawit mentah secara haram,” katanya hari ini.
MCBA berkata, kesemua suspek diserahkan kepada MPOB Sandakan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
Putrajaya: Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pembelian minyak sawit mentah tidak berlesen di Sandakan, Sabah, Isnin lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka ditahan menerusi serbuan di sebuah premis yang menjalankan perniagaan memproses minyak sawit di Batu 14, Jalan Labuk, Sandakan.
Menurut MCBA, dalam serbuan di bawah Op Taring Palma yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu, pihaknya turut merampas minyak sawit mentah serta peralatan bernilai RM6.4 juta.
"Siasatan awal mendapati syarikat berlesen itu membuat pembelian minyak sawit mentah daripada pihak tidak berlesen pada harga lebih rendah.
"Antara rampasan adalah sebuah lori muatan tiga tan, tujuh buah tangki dengan isipadu 1,000 liter, empat unit pam elektrik dan hos, empat buah tong dram, lima unit tangki skid berkapasiti 40,000 liter, lima tangki simpanan berkapasiti 1,000 tan dan anggaran 775.1 tan minyak sawit mentah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut kesemua yang ditahan diserahkan kepada MPOB Sandakan untuk tindakan lanjut.
KLUANG - Sebanyak 12 pokok kelapa sawit dan 10 batang pokok pisang di kawasan kebun milik penduduk Kampung Melayu Niyor di sini musnah 'dikerjakan' dua ekor gajah pada Selasa.
Ketua Kampung Melayu Niyor, Mohd Isa Mohd Yunos berkata, gajah tersebut mencabut pokok-pokok berkenaan di kebun itu selain turut masuk ke ladang kelapa sawit di Estate Chin Bee untuk mencari makanan.
"Ada yang sempat mengambil video kehadiran gajah dari jarak jauh. Selepas gajah beredar, penduduk mendapati tanaman dirosakkan.
"Gajah yang menceroboh dan merosakkan kawasan tanaman kelapa sawit itu dekat sangat dengan rumah penduduk iaitu hanya terletak 150 meter.
"Mujur gajah tidak masuk kawasan kampung. Ini adalah kali kedua gajah sampai di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ditanya sama ada gajah berkenaan mempunyai kaitan atau merupakan kumpulan sama dengan empat ekor gajah yang mati dipercayai diracun di Kampung Sri Timur di sini pada Sabtu, beliau berpendapat, gajah yang masuk ke kawasan kebun sawit penduduk itu adalah daripada kumpulan lain.
Tanaman penduduk yang dimusnahkan gajah yang menceroboh kebun di Kampung Niyor, Kluang pada Selasa.
Jelasnya, ini kerana jarak antara Kampung Niyor dan Kampung Sri Timur kira-kira 25 kilometer dan gajah yang mati itu dipercayai datang dari kawasan Kahang.
"Kedudukannya jauh kerana gajah yang ditemui mati itu di jalan menuju ke Kahang manakala gajah yang ditemui berhampiran Kampung Niyor pula di jalan menuju ke Paloh yang ada landasan kereta api berpagar.
"Kalau gajah dari Kahang nak masuk kawasan Kampung Niyor akan jumpa sempadan yang mempunyai landasan kereta api berpagar. Kawasan ini dipisahkan dengan pagar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Amin berkata, pihaknya sudah memaklumkan pemilik kebun terbabit dan memberikan khidmat nasihat supaya tindakan mitigasi dilaksanakan.
"Ini melibatkan pemasangan pagar elektrik, membuat parit gajah dan mewujudkan pasukan rondaan. Pihak Perhilitan juga akan menjalankan rondaan pemantauan dan tembak halau dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi.
Pada Sabtu, empat ekor gajah berkenaan ditemui mati di Kampung Sri Timur dan penemuan bangkai gajah terbabit oleh penduduk kampung tular dalam media sosial.
Aminuddin dilaporkan berkata, bedah siasat terhadap bangkai empat ekor gajah terbabit akan dilakukan bagi menyiasat punca kematian.
Video dua gajah berkenaan masuk ke kawasan kebun sawit tersebut turut tular dan dikatakan kononnya 'merajuk' dan kini berhijrah ke Kampung Niyor selepas empat gajah ditemui mati di Kampung Sri Timur.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata inisiatif itu dirancang untuk dilaksanakan di kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV) di dalam ladangn kelapa sawit di Sabah dan Sarawak.
MPOGCF cadang kaedah in situ bagi laksana diplomasi orang utan
“Terdapat ladang sawit yang mempunyai kawasan HCV seluas 2,500 hektar dan mempunyai populasi orang utan liar yang dianggarkan lebih 50 ekor.
Perbincangan lanjut bersama syarikat berkenaan untuk mengusulkan cadangan pelaksanaan Diplomasi Orang utan ini akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Hairulazim, MPOGCF merancang untuk melaksanakan inisiatif tersebut dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD).
Selain itu, MPOGCF juga berhasrat untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berminat untuk melaksanakan inisiatif pemuliharaan orang utan di dalam kawasan HCV tersebut melalui proses pembiakan semula jadi.
Melalui program ini, populasi orang utan liar akan dapat ditingkatkan sekaligus sebagai testimoni syarikat perladangan sawit dalam usaha berterusan memulihara spesies orang utan di Malaysia.
“Sebagai contoh, pembeli minyak sawit akan menyumbang sebanyak RM100,000 bagi setiap orang utan dan menjadikan pihak berkenaan sebagai ‘penjaga’ mereka.
“Ia sekali gus menyokong industri sawit secara langsung dalam komitmen mereka untuk memantau dan memulihara orang utan serta habitatnya di dalam dan persekitaran kawasan ladang syarikat berkenaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hairulazim berkata dana yang diperoleh dari sumbangan tersebut akan disalurkan bagi menampung kos seperti penubuhan unit renjer khas untuk memantau dan memulihara populasi orang utan di dalam kawasan HCV.
“Selain itu, langkah-langkah akan diambil untuk memperkayakan biodiversiti di dalam kawasan HCV bagi memastikan ada sumber yang banyak untuk menjaga kesejahteraan orang utan,” ujarnya.
Sementara tiu, konsep diplomasi orang utan dicetuskan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis perasmian Biodiversity Forum 2024 anjuran MPOGCF di Genting Highlands baru-baru ini.
Orang utan yang hanya ditemukan di kawasan hutan hujan Sabah dan Sarawak selain Indonesia diklasifikasikan sebagai spesies yang amat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN).