TEKS UCAPAN PERASMIAN

YB DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN KURSUS TEKNOLOGI PASCA TUAI DAN

PEMANTAPAN KELOMPOK SERTA PERASMIAN MINI

PEMPROSESAN KOKO KG LIAU

 

KAMPUNG LIAU ULU, KENINGAU

29 JULAI  2024 (ISNIN)  

 

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Malaysia MADANI.

  1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM) kerana menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Teknologi Pasca Tuai dan Pemantapan Kelompok serta Perasmian Mini Pemprosesan Koko Kg Liau. Kehadiran saya di sini adalah bersempena program Lawatan Kerja Turun Padang saya bersama petani-petani koko di daerah Keningau.
  1. Saya difahamkan kursus pada hari ni dihadiri oleh hampir 250 orang petani dari kawasan pedalaman dan juga wakil-wakil dari pantai barat dan pantai timur Sabah. Kawasan ini dikawalselia oleh Unit LKM Tenom yang juga mengawal selia Sook, Tenom, Nabawan dan Sipitang yang meliputi tanaman koko seluas 360 hektar, yang diusahakan oleh seramai 554 orang petani. Kawasan-kawasan ini berpotensi tinggi untuk dimajukan kerana pada suku tahun pertama tahun ini (2024) telah berjaya mengeluarkan hasil biji koko kering sebanyak 54 tan iaitu menyumbang 37.5% daripada jumlah pengeluaran negara iaitu 144 tan. Beberapa orang petani koko dari kawasan ini telah berjaya mengeluarkan hasil biji koko melebihi 1,000 kg/hektar/tahun berbanding dengan produktiviti nasional sebanyak 100 kg/hektar/tahun. Oleh itu, tahniah dan syabas diucapkan kepada para petani yang mencapai pengeluaran hasil biji koko yang tinggi dan mampu dijadikan contoh serta inspirasi kepada petani-petani yang lain.

Komitmen Kerajaan Dalam Membantu Pekebun Koko

 

  1. Berikutan permintaan biji koko yang semakin meningkat serta harga koko yang tinggi masa kini, sewajarnya LKM membantu para petani untuk meningkatkan pengeluaran biji koko. Program Pemulihan Kebun Koko yang dilaksanakan mulai tahun 2024 hingga 2026 melibatkan 2,084 orang petani dan 1,344 hektar kawasan tanaman koko di Sabah.
  1. Selain itu, LKM juga melaksanakan sokongan infrastruktur seperti pembinaan Mini Pemprosesan Koko iaitu tempat pemprosesan biji koko basah sehingga menghasilkan biji koko kering yang berkualiti.
  1. LKM sedang giat melaksanakan pelbagai kajian dan pembangunan teknologi yang menggunakan IoT, automasi dan mekanisasi. Penggunaan teknologi terkini diyakini mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kebun, meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja.

Usaha Meningkatkan Keluasan Tanaman Koko

 

6. Dalam masa yang sama, LKM juga sedang mempromosikan tanaman koko secara berskala besar kepada pengusahapengusaha estet agar pengeluaran biji koko negara berupaya ditingkatkan bagi memenuhi keperluan aktiviti pengisaran koko negara. Untuk makluman, dunia kini mengalami kekurangan biji koko yang amat ketara berikutan pengurangan pengeluaran koko di negara pengeluar koko utama dunia seperti Ivory Coast dan Ghana. 

Datuk-Datuk , tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin,

 

Kerjasama LKM dengan Pihak Swasta Membantu Meningkatkan Pendapatan Petani Koko

 

  1. Saya mengucapkan tahniah dan syabas atas pencapaian komuniti penanam koko di Keningau dan Tenom, yang kekal aktif dan sentiasa konsisten meningkatkan usaha penanaman koko. Ini juga memberi perangsang kepada LKM untuk terus melaksanakan aktiviti dan menyumbang kepada pembangunan industri koko di sini. Kawasan ini telah menjadi sumber biji koko kepada pengusaha coklat beans-to-bar dan single origin seperti Jaws & Claws Chocolate dan Nestle yang baharu saja mengeluarkan produk Kit Kat Borneo pada bulan Mei yang lalu.
  1. Saya juga difahamkan bahawa LKM sedang membuat usaha sama dengan beberapa agensi dan syarikat perladangan bagi penanaman skala besar di pedalaman Sabah. Antaranya ialah United Malacca Berhad (UMB) dan Malaysia Kuwaiti Investment Corporation (MKIC). Anggaran keluasan tanaman koko yang disasarkan adalah lebih daripada 400 hektar. Semoga kerjasama yang dirancang berjaya direalisasikan dan seterusnya dilaksanakan dengan sokongan dan komitmen daripada semua pihak. 

Datuk-Datuk , tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin,

  1. Pada majlis ini juga, akan diadakan perasmian Mini Pemprosesan Koko. Ianya telah dibina dengan menelan kos sebanyak RM70,000. Mini Pemprosesan Koko berkapasiti memproses sebanyak 500kg setiap pusingan. Kemudahan ini berupaya memberi manfaat kepada 80 orang petani kelompok koko Kg. Liau Ulu serta petani koko di kampung sekitarnya. Khidmat sokongan pemasaran akan dilaksanakan oleh Koperasi Kluster Koko Sabah yang mensasarkan aktiviti pembelian dan penjualan biji koko sebanyak 100 tan dengan anggaran keuntungan lebih daripada RM200,000 setahun. Hasil koko kini sangat menguntungkan kerana purata harga RM23,000 satu tan berbanding RM8,000 satu tan pada tahun lalu.

Galakan Kepada Golongan Belia Untuk Menyertai Program Anjuran LKM

  1. Saya menyeru para peserta dan petani di kawasan ini mengambil dan merebut peluang menyertai program yang dilaksanakan oleh LKM. Saya juga berharap agar lebih ramai belia atau generasi muda pengusaha koko terlibat dengan penanaman koko. Bagi mencapai objektif ini, saya difahamkan LKM sedang berusaha mewujudkan Kelab Belia Koko di mana bakal ahli-ahlinya turut hadir di majlis pada hari ini. Mereka terdiri daripada kalangan anak-anak petani

koko dan dibuka kepada sesiapa yang berminat. LKM menyediakan program untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para belia mengenai industri koko dan melibatkan kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Belia dan Sukan Negara. Diharapkan ahli Kelab Belia Koko dapat dibangunkan sebagai pelapis kepada pengusaha koko sedia ada dan secara tidak langsung mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja di sektor penanaman koko kelak.

  1. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan dan warga LKM di atas usaha berterusan untuk membangunkan tanaman koko demi kelangsungan semua pemegang taruh dan industri terutama di daerah Keningau ini.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kursus Teknologi Pasca Tuai dan Pemantapan

Kelompok, Keningau, pada hari ini, 29 Julai 2024.

Sekian terima kasih.

 

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 29 JULAI 2024