TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT
DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPK)
BERSEMPENA
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
(APC 2023) DAN
SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024
LEMBAGA PERINDUSTRIAN KAYU MALAYSIA
(MTIB)
25 APRIL 2024 (KHAMIS)
9.30 PAGI
DEWAN PERSIDANGAN MTIB,
TINGKAT 13, MENARA PGRM
Bismillahirrahmannirahim.
Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi
Yang Berusaha Encik Abdul Hadi Omar
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik &
Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Dato' Razali Mohamad
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi)
Kementerian Perladangan dan Komoditi
Yang Berhormat Datuk Larry Sng Wei Shien
Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Yang Berbahagia
Ahli-ahli Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Yang Berusaha Ts. Dr. Mohd Nor Zamri Mat Amin
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
(MTIB)
Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
- Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MTIB bagi tahun 2023 dan bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada petang ini.
- Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada MTIB yang telah melaksanakan peranan dan fungsinya sebagai agensi peneraju dalam pembangunan industri perkayuan negara dengan cemerlang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Majlis kita pada hari ini akan meraikan 36 orang warga MTIB yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MTIB hasil prestasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan kerja sepanjang tahun lepas. Seterusnya, MTIB akan melancarkan Polisi Keselamatan Siber (PKS) MTIB.
Hadirin sekalian,
- Sejak penubuhan MTIB yang telah menjangkau 50 tahun, sumbangan industri perkayuan kepada pendapatan eksport negara tidak boleh dinafikan. Di bawah sektor agrikomoditi, industri perkayuan merupakan penyumbang kedua terbesar dari segi KDNK dan ketiga terbesar dari segi pendapatan eksport negara. Pada tahun 2023, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak 8 bilion kepada pendapatan eksport negara. Produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih 173 negara di seluruh dunia.
- Namun begitu, sama seperti industri agrikomoditi yang lain, prestasi industri perkayuan juga terkesan akibat isu dan cabaran yang dihadapi baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Antara isu dan cabaran ini adalah seperti ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan oleh negara pengimport, persepsi negatif serta persaingan dengan negara-negara pengeksport produk kayu di dunia. Susulan itu, nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu telah jatuh sebanyak 13.3% pada tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya manakala kuantiti pula telah menurun dengan kadar 4.2% pada tempoh yang sama.
- Justeru itu, saya amat menggalakkan KPK dan MTIB untuk terus bekerjasama dengan pihak industri dalam menangani cabaran-cabaran global. Ia bagi memastikan hala tuju pembangunan industri kayu negara adalah selari dengan sasaran yang telah ditetapkan. Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021 – 2030 dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2021-2025 telah menyasarkan agar nilai eksport industri perkayuan dapat mencapai RM28 bilion manakala nilai pasaran domestik mencapai RM20 bilion menjelang 2025.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
- Majlis kita pada hari ini juga akan menyaksikan pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB yang baharu. Polisi ini berperanan sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pengurusan keselamatan siber yang cekap.
- Dalam dunia yang kian hari kian didominasi oleh pendigitalan, saya menyambut baik usaha MTIB untuk mengemaskini dasar keselamatan sedia ada untuk menyesuaikan dengan keperluan dan persekitaran yang begitu dinamik. Penting juga bagi MTIB sebagai salah satu agensi utama dalam sektor perkayuan untuk melindungi pihak-pihak yang terlibat.
Hadirin sekalian,
- Komitmen yang tinggi dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak amat penting bagi meningkatkan prestasi industri perkayuan negara. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini melambangkan pengiktirafan MTIB kepada warga kerja MTIB yang telah membantu dalam memastikan industri perkayuan Malaysia terus kekal sebagai antara sektor utama negara.
- Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta pegawai yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran majlis pada pagi ini.
- Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023 dan Melancarkan Polisi Keselamatan Siber MTIB.
Sekian, Terima Kasih.