TEKS UCAPAN 

YB DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

 

HARI TEKNOLOGI LEMBAGA GETAH

MALAYSIA

  

23 JULAI 2024 (SELASA)

LGM SUNGAI BULOH

SENARAI SALUTASI

 

Yang Berbahagia Dato’ Yusran Shah bin Mohd Yusof

Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan

Komoditi;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor

Ketua Pengarah, Lembaga Getah Malaysia

(LGM);

Agensi-agensi pelaksana;

Persatuan-persatuan industri getah;

Para pekebun kecil getah;

Rakan media;

YBhg. Datuk-Datuk, tuan-tuan, puan-puan dan hadirin yang dirahmati sekalian.

Salam Sejahtera

PENDAHULUAN  

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerana telah mengundang saya untuk merasmikan majlis Hari Teknologi LGM pada hari ini. Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan semua yang terlibat dalam industri getah, dari pekebun kecil hingga penggiat teknologi. Kehadiran anda semua mencerminkan komitmen dan semangat untuk merangka masa depan yang lebih cerah untuk sektor getah negara kita.

PRESTASI INDUSTRI GETAH MALAYSIA

Hadirin sekalian,  

  1. Industri getah merupakan satu industri yang signifikan kepada negara. Sejak 1930-an sehinggalah tahun 1990, Malaysia merupakan pengeluar terbesar getah asli dunia. Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuklah permintaan tinggi bagi getah, peranan pusat penyelidikan seperti Rubber Research Institute of Malaysia (RRIM) dan penggiat industri yang dapat memanfaatkan peluang yang ada di pasaran dunia.
  1. Jika kita lihat kepada prestasi industri getah sejak 10 tahun yang lepas, walaupun keluasan tanaman tidak banyak berubah, pengeluaran getah telah menurun sebanyak 55% daripada 768,000 tan pada tahun 2013 kepada 347,000 tan pada tahun 2023. Daripada pengeluar getah terbesar pada tahun 1990, Malaysia kini merupakan antara pengimport terbesar getah di dunia. Tahun lepas, Malaysia telah mengimport sebanyak 1 juta tan getah asli dengan nilai RM5.7 bilion bagi menampung keperluan industri hiliran domestik.
  2. Malaysia telah menjadi net-importer bagi getah kerana bekalan tempatan tidak lagi boleh menampung keperluan industri hiliran getah negara seperti pembuatan sarung tangan getah, benang getah dan sebagainya. Sekiranya kita tidak menangani isu bekalan, sudah tentu status negara sebagai pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia dan antara pengeluar utama bagi produk-produk lain akan terancam.

KEPENTINGAN   TEKNOLOGI       DALAM INDUSTRI GETAH NEGARA  

Hadirin sekalian,

  1. Di samping inisiatif konsolidasi yang dirancang oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sebagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran getah melalui pendekatan yang bersifat komersial, teknologi tetap memainkan peranan penting untuk mendapat hasil yang tinggi dan produk yang berkualiti. Tema Hari Teknologi LGM iaitu "99 Tahun Penyelidikan Getah" menandakan hampir satu abad usaha gigih kita dalam penyelidikan dan inovasi sektor getah negara. Tema ini mengimbau kembali sumbangan besar para penyelidik dalam memajukan teknologi dan meningkatkan kualiti produk getah Malaysia.
  1. Dalam usaha meningkatkan produktiviti getah, LGM telah membangunkan beberapa hasil penyelidikan. Antaranya adalah klon-klon keberhasilan tinggi dan berdaya tahan, teknik torehan yang lebih produktif, prosedur pemulihan kawalan penyakit pokok getah seperti pestalotiopsis, bahan perangsang lateks seperti stimulan RRIM Hydrobest dan banyak lagi. Aplikasi-aplikasi ini, jika digabungkan dengan Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices - GAP) dijangka dapat meningkatkan produktiviti getah di Malaysia. Sebagai contoh, pengurusan ladang pintar dapat memastikan operasi ladang yang sistematik dan teratur dengan penggunaan teknologi seperti sensor tanah dan dron untuk pemantauan ladang yang lebih efisien. Solusi seperti ini dapat membantu pekebun kecil meningkatkan hasil dan mengoptimumkan kos operasi.
  1. Selain memperkenalkan teknologi yang meningkatkan produktiviti, LGM juga menghasilkan produk getah yang berinovasi.

Antaranya adalah:  

  1. High Damping Rubber Bearing (HDRB) yang digunakan pada struktur bangunan ikonik seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang untuk memberi perlindungan struktur gegaran gempa bumi;
  2. Bahan sebatian getah kalis api (fire retardant) yang pertama di dunia untuk aplikasi dalam produk getah yang dipasang di Station (Underground) Canary Wharf di

London; dan

  1. Penggunaan getah dalam pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya

(rubberised road).

  1. Dalam era globalisasi ini, kemajuan teknologi dan hasil penyelidikan berpotensi untuk menjadi pemangkin industri getah Malaysia untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, dan daya saing komoditi getah di pasaran global, sekaligus melonjakkan hasil getah negara dan seterusnya meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Pada hari ini juga, kita akan menyaksikan pelancaran beberapa program penting seperti RRIM e-Formulary (platform elektronik yang menawarkan formulasi produk getah kering), buku panduan klasifikasi getah dan barangan getah hasil kerjasama LGM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan. Syabas diucapkan kepada LGM kerana telah berjaya menyebar luas dan meningkatkan jaringan kerjasama dengan pihak industri dan berkepentingan.
  1. Saya yakin bahawa industri getah masih lagi berpotensi untuk menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Dengan adanya teknologi moden, industri getah sudah tentu dapat menjadi lebih produktif, efisien, dan berdaya saing.
  1. Saya berharap majlis seperti ini dapat menjadi titik tolak bagi kita semua untuk terus berusaha memperkasa dan memajukan industri getah Dengan          lafaz bismillahirrahmanirrahim,         saya dengan       ini merasmikan Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia 2024.

Sekian, terima kasih.