UCAPAN ALUAN
TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
YB DATUK CHAN FOONG HIN
SD PLANTATION FUTURE FEST ‘24
Jumaat, 23 Februari 2024
MTU & Robotics Centre, Carey Island, Selangor
- Yang Berbahagia Dato’ Razali Mohamad
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi)
Kementerian Perladangan dan Komoditi
- Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan
Pengerusi, Sime Darby Plantation Berhad
- Yang Berbahagia Datuk Mohamad Helmy Othman Basha
Pengarah Urusan Kumpulan, Sime Darby Plantation Berhad
Dif-dif kehormat, Tuan-tuan, Puan-puan serta Wakil-wakil media,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,
- Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan Salam Hormat daripada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi yang tidak dapat hadir pada petang ini atas urusan rasmi bersama YAB Perdana Menteri.
- Saya mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada Sime Darby Plantation atas penganjuran buat julung kalinya Program SD Plantation Future Fest ’24 (SDPFF’ 24).
- Kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), amat berbesar hati dengan kerjasama Sime Darby Plantation dalam merealisasikan hasrat Kerajaan melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.
- IMPAC merupakan sebuah institusi induk yang dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor perladangan dan komoditi.
- IMPAC dalam perkara ini telah memainkan peranan yang proaktif bersamasama pemegang taruh demi mewujudkan satu ekosistem yang dapat menarik minat generasi muda untuk memilih bidang pekerjaan di sektor agrikomoditi sebagai antara pilihan kerjaya yang menjamin masa hadapan.
- Melalui penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan, sektor ini dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value job) yang menjamin pendapatan yang kompetitif.
- Inisiatif Sime Darby Plantation dalam memodenkan sektor perladangan melalui projek kolaborasi penghasilan alat pemotong laser bersama Universiti Malaya perlu dicontohi bagi melestarikan sektor perladangan menerusi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang berterusan.
- Saya turut dimaklumkan, Akademi Sime Darby Plantation telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menjalankan program TVET micro-credential bidang Operasi Mekanisasi Ladang Sawit. Syabas dan tahniah sekali lagi Sime Darby Plantation!
- Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong usaha Kementerian ini untuk memaju dan mempertingkatkan daya saing industri perladangan dan agrikomoditi negara.
- Akhir kata, saya berharap semoga inisiatif kerjasama ini menjadi penanda aras dan lonjakan kepada pembangunan modal insan berkualiti yang mampan.
Sekian, terima kasih.