TEKS UCAPTAMA DAN PERASMIAN
OLEH
YB DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN
INDUSTRI LADA MALAYSIA TAHUN 2024
(PKILM 2024)
PADA
15 MEI 2024 (RABU)
BERTEMPAT DI
SUNWAY PUTRA HOTEL KUALA LUMPUR, MALAYSIA
SALUTASI
Hari ini saya mewakili YB Menteri untuk membaca teks ucapan beliau bagi Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024.
Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis.
Yang Berhormat Dato Anyi Ngau
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
Yang Berhormat Dato Sri Doris Sophia Brodi Pengerusi Saraspice Sdn Bhd.
Yang Berbahagia Dato’ Abdul Hadi bin Omar
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan)
Yang Berbahagia Dato’ Razali bin Mohamad
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi)
Yang Berusaha Encik Vincent Sawat
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
Puan Firna Azura Ekaputri binti Marzuki
Executive Director of International Pepper Community
Pegawai – Pegawai Kanan di Kementerian Perladangan dan Komoditi;
Pegawai – Pegawai Kanan dan Kakitangan Lembaga Lada
Malaysia;
Ketua – Ketua dan Wakil Ketua Jabatan, Bahagian dan Agensi;
Para pemain industri lada;
Persatuan – persatuan penanam lada;
Rakan – rakan media;
Seterusnya, tuan – tuan dan puan – puan para hadirin yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI!
- Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada tuan - tuan dan puan – puan yang hadir menjayakan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 yang berlangsung selama tiga (3) hari di Kuala Lumpur ini.
- Ucapan syabas dan terima kasih juga saya tujukan kepada penganjur iaitu Lembaga Lada Malaysia (MPB) di atas kejayaan penganjuran acara berprestij ini.
- Penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 buat julung kalinya pada tahun ini telah mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada” yang amat bersesuaian dan relevan dengan situasi semasa serta bertepatan dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) untuk memajukan Agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama.
- Dengan menghimpunkan rantaian pemegang taruh sektor lada dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeksport, pengimport, industri makanan, hotel, restoran dan kafe, persidangan ini bertujuan meningkatkan permintaan dan penggunaan lada serta memperkukuh dan memperluas sektor hiliran lada di peringkat pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
- Persidangan ini menjadi platform untuk mendekati penggiat industri lada bagi mengukuhkan saluran pemasaran lada yang terjamin dan hubungan perdagangan yang harmoni di sepanjang rantaian pengeluaran sektor lada.
- Justeru, penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 merupakan bukti komitmen Kerajaan melalui MPB ke arah pertumbuhan dan kemampanan industri lada tempatan yang berdaya saing sekaligus mampu menjana nilai berganda kepada ekonomi negara.
Hadirin sekalian,
- Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran sekitar 31 ribu tan pada tahun 2023 dibelakang Viet Nam, Brazil, India dan Indonesia. Sejak kebelakangan ini, industri lada sama ada di peringkat tempatan mahupun global menghadapi situasi yang sedikit mencabar, terutamanya isu ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan yang telah menimbulkan tekanan yang besar terhadap harga lada.
- Pada tahun 2023, Malaysia telah mengeksport 5.8 ribu tan lada dengan nilai sebanyak RM149 juta, sedikit menurun berbanding 6.7 ribu tan dengan nilai RM180 juta pada tahun sebelumnya.
- Namun, statistik pada tahun 2023 menunjukkan
penggunaan lada dunia kira – kira 291,000 tan metrik, iaitu peningkatan sekitar 40,000 tan metrik berbanding tahun sebelumnya.
- Potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti bidang farmaseutikal dan kosmeseutikal merupakan antara faktor yang mendorong kepada trend peningkatan positif terhadap permintaan lada kebelakangan ini.
- Trend permintaan lada dijangkakan terus meningkat merancakkan lagi aktiviti perdagangan lada dunia pada tahun ini dan dikenal pasti berterusan sehingga tahun hadapan.
Hadirin sekalian,
- Bagi memastikan industri lada negara terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global, Kerajaan melalui MPB sedang melaksanakan beberapa program, projek dan juga bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu.
- Menyedari akan hakikat kenaikan harga input pertanian dan keperluan untuk mengetengahkan lagi potensi pasaran lada tempatan di peringkat antarabangsa, Kerajaan turut menawarkan pelbagai insentif dan bantuan bukan sahaja kepada pekebun dan usahawan lada bagi merancakkan lagi perkembangan industri lada baik dari segi huluan mahupun hiliran.
- Antara bantuan yang ditawarkan ialah Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM). Bantuan – bantuan ini ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos yang ditanggung oleh pekebun lada. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan telah menyediakan RM50 juta untuk memastikan usaha ini berjaya.
Hadirin sekalian,
- Kerajaan juga sedar akan potensi yang amat memberansangkan terhadap lada berkualiti premium pada masa ini. Oleh itu, MPB sedang melaksanakan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP) di bawah RMK-12 dengan menyediakan peruntukkan sebanyak RM3 juta untuk memastikan usaha ini berjaya.
- Di samping itu, MPB turut membantu usahawan bimbingan melalui pemberian mesin dan kursus-kursus agropreneur dan keusahawanan bagi meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan bagi tujuan ini.
- Pada masa yang sama, MPB juga sedang bergiat aktif dalam menerokai potensi pasaran baharu dalam memastikan rantaian permintaan dan bekalan yang berterusan. Antara pasaran yang dikenalpasti ialah pasaran di negara-negara Scandinavia seperti Sweden dan Finland yang mampu menawarkan harga yang lebih premium dan memberikan pulangan yang lumayan kepada industri lada negara.
Hadirin sekalian,
- Mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan
Industri Lada”, persidangan PKILM 2024 dilihat menjadi platform perbincangan dan percambahan idea antara pemegang taruh di setiap peringkat sektor lada sekaligus menekankan keperluan dalam menangani cabaran semasa yang berlaku dalam industri lada.
- Di kala dunia menghadapi krisis ekonomi global yang meruncing, usaha ke arah mencapai kestabilan dan kemampanan sektor lada tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar amat penting bagi menjamin kemakmuran ekonomi tempatan dan antarabangsa.
- Justeru, saya yakin bahawa kerjasama yang terbentuk daripada persidangan ini bukan hanya meninggalkan kesan berkekalan ke atas industri lada dunia tetapi juga menyumbang kepada matlamat yang lebih luas terutamanya dalam aspek keselamatan makanan global.
- Kerajaan tekad meneruskan sokongan terhadap industri lada negara melalui agihan peruntukan yang diberikan bagi pelaksanaan program – program pembangunan yang pada akhirnya mampu memberikan limpahan hasil kepada ekonomi negara.
Hadirin sekalian,
- Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada MPB atas kejayaan penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 ini.
- Secara keseluruhannya, saya amat bangga dan segala pujian ditujukan kepada segala usaha yang dilakukan oleh MPB, dalam mengukuhkan sektor agrikomoditi lada negara dan sekaligus membuka mata kita semua bahawa Malaysia memiliki komoditi berkualiti taraf antarabangsa.
- Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024.
Sekian, terima kasih.
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 MEI 2024