TEKS UCAPAN

 

YB DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN ULANG TAHUN MSPO KE-10 DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

 

13 MEI 2024 | DOUBLETREE BY HILTON, KUALA LUMPUR

 

Pendahuluan

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada MSPO kerana menjemput saya untuk berucap pada majlis pelancaran sambutan ulang tahun MSPO ke-10 hari ini.
  1. Usaha MSPO untuk memartabatkan industri ini melalui pensijilan sawit mampan adalah satu langkah penjenamaan semula yang bersifat progresif dan sudah pasti akan meningkatkan tahap daya saing produk sawit keluaran kita.

Latar Belakang Industri Sawit

Hadirin sekalian,

  1. Industri sawit merupakan tonggak kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia. Pada tahun 2023, kita telah mengeksport sekitar 80% (atau 14.8 juta tan) daripada 18.6 juta tan keluaran minyak sawit negara. Sektor ini juga menyumbang 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi punca rezeki kepada 1 juta individu.
  1. Penghasilan minyak sawit adalah lebih efisien dan economical berbanding dengan minyak masak yang lain seperti soya, rapeseed dan sunflower. Semestinya, Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memastikan keterjaminan makanan bagi seluruh penduduk dunia. Namun begitu, minyak sawit Malaysia telah menjadi sasaran kepada tuduhan-tuduhan berat sebelah serta dasar-dasar berunsurkan proteksionisme yang memihak kepada minyak masak lain.

 

MSPO Memberi Jaminan kepada Pengeluaran Minyak Sawit Mampan

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pihak Kerajaan mengambil serius isu kelestarian alam, dimana pembangunan ekonomi negara mestilah bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar. Negara kita juga komited dalam mencapai matlamat yang sejajar dengan agenda kemampanan, seperti mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases) hingga 45 peratus menjelang 2030 antara lain.
  1. Mengambil kira hala tuju negara-negara pembeli minyak sawit, agenda kemampanan kian menjadi keutamaan dalam dasar-dasar mereka. Dasar-dasar ini, seperti EUDR, berperanan dalam mempengaruhi corak permintaan negara-negara lain terhadap minyak sawit mampan. Oleh yang demikian, penerapan amalan kemampanan mampu memberi nilai ekonomi (economic value) kepada produk sawit negara.
  1. Sejak MSPO diasaskan, ia telah berjaya dalam memastikan industri sawit negara mematuhi sepenuhnya amalan kemampanan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menangani isu perubahan iklim, pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti, pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases), serta isu amalan buruh yang baik.
  1. Skim pensijilan MSPO dapat memberi jaminan kepada pembeli berkenaan pematuhan terhadap piawaian kemampanan antarabangsa. Pihak kerajaan akan terus gigih berusaha untuk memastikan MSPO mendapat pengiktirafan global yang sewajarnya supaya dapat memberi nilai tambah atau value-add kepada pengusaha-pengusaha yang diiktiraf MSPO. Saya yakin Malaysia mampu mengeluarkan produk sawit berkualiti tinggi dengan nilai yang premium sambil mengekalkan tahap daya saing yang tinggi.

 

Kejayaan MSPO Sepanjang 10 Tahun

Hadirin sekalian,

  1. Sepanjang tempoh 10 tahun penubuhan MSPO, usaha Kerajaan dan pemain industri dalam meningkatkan taraf kemampanan industri ini telah membuahkan hasil. Setakat April 2024, 4.94 juta hektar atau 87.4% daripada keluasan tanaman sawit, 407 daripada 446 kilang sawit dan 151,152 pekebun kecil (66.0%) yang merangkumi 542,215 hektar telah dipersijilkan.
  1. Tambahan lagi, MSPO telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemegang taruh di negara-negara pembeli seperti Jepun, China, India, Mongolia dan Filipina. MSPO juga telah menandatangani MoU bersama Halal Development Centre (HDC) bagi mempromosi hasil sawit negara ke pasaran halal di seluruh dunia.
  1. Baru-baru ini, di dalam perbincangan dua hala antara pihak Kementerian dan pihak Kesatuan Eropah (EU) berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, kita telah mendapat respon yang positif berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan. Pihak Kesatuan Eropah (EU) juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan.

MSPO Dikemaskini untuk Kekal Relevan

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Dalam memastikan MSPO dapat terus memberi nilai tambah kepada industri sawit negara, MSPO mesti memberi perhatian kepada tiga perkara.
  1. Pertama, MSPO perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah. Kementerian akan memastikan skim pensijilan MSPO sentiasa ditambah baik supaya dapat kekal relevan demi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, terutamanya berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penebangan hutan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik.
  1. Saya menyambut baik piawaian MSPO 2.0 yang merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan kredibiliti pensijilan melalui penambahan beberapa elemen baharu seperti Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA), Pengiraan Gas Rumah Hijau (GHG) serta elemen bagi menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.
  1. Kedua, kita wajar mengadakan sesi libat urus yang efektif dengan pemegang taruh seperti pembuat dasar, persatuan pengguna, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan peniaga, bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang inisiatif dan komitmen Malaysia. Melalui langkah ini, MSPO akan diiktiraf oleh komuniti perniagaan dan pengguna antarabangsa. MSPO mesti lebih aktif dalam melibatkan diri dalam mana-mana forum atau persidangan tempatan dan antarabangsa khususnya yang membincangkan isu-isu berkaitan kemampanan ataupun industri minyak masak dunia.
  1. Ketiga, kesemua minyak sawit yang dikeluarkan oleh pengusaha yang dipersijilkan oleh MSPO, mesti meletakkan logo MSPO pada produk minyak sawit yang dijual, baik di pasaran tempatan ataupun antarabangsa. Hal ini penting sebagai satu langkah untuk menjadikan MSPO sebagai badan pensijilan yang boleh dipercayai (credible) dan dipercayai dan seterusnya kerajaan boleh menjadi benteng pertahanan yang utama dalam menangani persepsi negatif terhadap industri sawit.
  1. Maka, MSPO akan melancarkan Pelan Tindakan Strategi MSPO 2024-2026, yang berteraskan tiga strategi utama:
    1. Pertama, membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai;
    2. Kedua, memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO; dan
    3. Ketiga, memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO.

Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MSPO atas segala pencapaian sepanjang 10 tahun ini. Saya harap MSPO dapat terus menerajui industri ini dan pihak Kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama agar kita dapat menjulang imej industri sawit negara ke satu tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa.
  1. Saya juga ingin mengumumkan secara rasmi bahawa Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), kini telah dijenamakan semula sebagai Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). Penjenamaan kepada MSPO dilihat sebagai satu strategi pemasaran dan pemerkasaan jenama dan imej pensijilan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa. Semoga MSPO akan meneruskan kecemerlangan dan membantu menabur bakti kepada ekonomi serta kemajuan industri minyak sawit negara.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun MSPO ke-10.

Sekian, terima kasih.