TEKS UCAPAN PERASMIAN


YANG AMAT BERHORMAT DATO ’SRI HAJI FADILLAH BIN
HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI


WOOD & LIFESTYLE FAIR (WLF)
(MTIB 50 TAHUN TEGUH SEIRING USIA)


SEMPENA
SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN MTIB


9 Mac 2023 (Khamis)
3.00 Petang
Malaysia Grand Bazaar, Bukit Bintang, Kuala Lumpur


Bismillahirrahmannirahim


SALUTASI


Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Persatuan Usahawan Kayu-Kayan dan
Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA) dan Persatuan Jaringan Usahawan Laser Bumiputera (JULB) atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan Wood & Lifestyle Fair (MTIB 50 Tahun
Teguh Seiring Usia) pada hari ini.


Saya juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada MTIB yang menyambut Jubli Emas 50 Tahun dengan Tema “Teguh Seiring Usia”. Ucapan syabas juga diucapkan kepada MTIB dan JULB atas daya usaha dan inisiatif menganjurkan pameran Wood & Lifestyle Fair yang dapat menghimpunkan usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan. Saya amat berbesar hati kerana dapat bersamasama tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis yang diadakan pada petang ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,


Industri perkayuan merupakan salah satu agrikomoditi utama dan amat signifikan peranannya kepada sumbangan pembangunan ekonomi negara. Pada tahun 2021, nilai keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara adalah berjumlah RM22.7 bilion. Manakala pada tahun 2022, nilai eksport kayu dan produk kayu negara adalah berjumlah RM25.2 bilion dengan peningkatan sebanyak 11%. Tiga produk utama perkayuan yang menyumbang kepada nilai eksport ialah perabot kayu, papan lapis dan kayu bergergaji dengan nilai eksport masing-masing berjumlah RM10.4 bilion, RM3.1 bilion dan RM2.5 bilion.


Pada masa ini, perabot Malaysia telah berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara. Antara negara-negara yang menjadi pasaran utama perabot Malaysia adalah Amerika Syarikat, Jepun, China, Australia dan Singapura. Dalam hal ini, saya difahamkan bahawa Malaysia adalah antara 10 pengeksport perabot utama dunia. Sementara, pasaran domestik industri perkayuan pada
tahun 2021 pula adalah bernilai sebanyak RM17 bilion menunjukkan peningkatan 6.25% iaitu sebanyak RM16 bilion berbanding tahun 2020.

Namun begitu, penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan masih lagi terhad. Usahawan Bumiputera hanya menyumbang kurang 1.0% daripada jumlah eksport kayu dan
produk kayu pada tahun 2022. Bilangan usahawan Bumiputera juga adalah kecil iaitu seramai 524 usahawan. Saya difahamkan hampir 66.8% daripada usahawan Bumiputera adalah dalam
kategori perusahaan kecil atau bersaiz mikro.


Sehubungan itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui agensinya MTIB, sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan melalui teras dasar dan strategi yang digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) (2021- 2030) dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) (2021-2025). DAKN menyasarkan peningkatan 71% penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan iaitu sebanyak 600 syarikat Bumiputera pada tahun 2030 di peringkat Pertengahan dan Hiliran. Manakala NTISP menyasarkan penguasaan produk perkayuan Bumiputera sebanyak 10% di pasaran tempatan dan 5% di pasaran antarabangsa menjelang tahun 2025.


Bagi tujuan tersebut, pelbagai program pembangunan usahawan dan pemerkasaan Bumiputera industri perkayuan sedang dilaksanakan. Antaranya adalah Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera yang telah dilaksanakan sejak RMKe-10 sehingga RMKe-12 dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM39.73 juta. Usahawan Bumiputera yang layak telah diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran.


Program ini kini telah memanfaatkan seramai 119 usahawan Bumiputera. Bantuan berbentuk pinjaman mesin kerja kayu berteknologi tinggi kepada usahawan Bumiputera bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran yang seterusnya akan dapat menjurus kepada peningkatan prestasi jualan tahunan. Pada masa kini, kesemua syarikat penerima mesin telah mencapai purata jualan sebanyak RM147.2 juta setahun.


Hadirin yang dihormati sekalian,


Saya juga difahamkan bahawa MTIB turut menyediakan Program Sokongan Bahan Mentah iaitu dana pusingan berjumlah RM16 juta sebagai pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan usahawan Bumiputera membuat perolehan bahan mentah kayu dalam pembuatan perabot dan produk bernilai tambah tinggi. Pembiayaan ini diberikan kepada usahawan Bumiputera yang mempunyai kontrak kerja yang telah dimuktamadkan dan masih berkuat kuasa. 

Secara kumulatifnya, sebanyak 139 kelulusan pinjaman diluluskan oleh MTIB kepada 42 syarikat dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM29.4 juta daripada tahun 2012 hingga 2022. Manakala jumlah nilai kontrak kerja yang telah berjaya dimuktamadkan daripada pinjaman ini adalah berjumlah RM197.5 juta.


Selain itu, usaha untuk meningkatkan sumbangan Bumiputera perkayuan di dalam pasaran domestik juga diberi tumpuan. MTIB turut menganjurkan Wood & Lifestyle Fair di beberapa
buah negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Sabah pada setiap tahun semenjak dilancarkan pada tahun 2016. Hasilnya adalah amat
menggalakkan di mana daripada tahun 2016 hingga ke tahun 2022 dengan nilai penganjuran berjumlah RM5.8 juta, usahawan bumiputera telah berjaya mencipta jualan sehingga RM52.5 juta
iaitu pulangan sebanyak hampir 10 kali ganda melalui penyertaan pameran dalam program tersebut.


Begitu juga untuk pasaran eksport, MTIB akan terus melaksanakan program dengan melibatkan penyertaan usahawan di pameran antarabangsa dan misi teknikal serta akses pasaran ke luar negara. Bagi program ini, dengan adanya data pemprofilan (profiling) usahawan yang sedang diusahakan oleh MTIB dapat memastikan usahawan yang benar-benar bersedia ke pasaran eksport diberi bimbingan yang bersesuaian termasuk aspek reka bentuk produk dan negara pasaran yang akan diterokai.


Hadirin yang dihormati sekalian,


Industri ukiran kayu merupakan salah satu industri yang mempunyai potensi yang amat besar dan menjamin pulangan yang memberangsangkan. Untuk itu, NTISP telah dirangka
dengan kerjasama pelbagai pihak demi mencapai matlamat yang unggul ke arah pengembangan industri ukiran Negara. Salah satu langkah yang sedang dilaksanakan oleh MTIB dalam
membantu industri ukiran adalah melalui peralihan teknologi menggunakan mesin berteknologi tinggi.


Untuk itu, MTIB turut melaksanakan Program Aplikasi Teknologi Pendigitalan Dalam Pembangunan Reka Bentuk Produk Kayu bagi membantu pengusaha meningkatkan pengeluaran produk.
Melalui kaedah ini, pengukir dapat menghasilkan produk ukiran kayu dalam masa yang singkat dan dapat membuat jualan secara pukal berbanding dengan hanya menggunakan
peralatan asas sahaja.


Diharapkan lebih banyak kolaborasi boleh dilaksanakan padamasa hadapan dengan pemegang taruh industri perkayuan bagi memajukan sektor perkayuan demi kemampanan dan kemakmuran bersama. Akhir kata, dengan lafaz suci kalimah Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Wood & Lifestyle Fair (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) sempena sambutan jubli emas 50 tahun MTIB.


Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.


Terima kasih.