TEKS UCAPAN PERASMIAN 

YANG AMAT BERHORMAT DATO ’SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

 

MAJLIS MALAM APRESIASI MTIB (MTIB 50 TAHUN TEGUH SEIRING USIA) 

SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN MTIB 

 

8 Jun 2023 (Khamis) 8.00 malam – 10.30 malam

Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur

 

Bismillahirrahmannirahim, 

Yang Berhormat Datuk Hajah Siti Aminah Aching Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi 

Yang Berbahagia Dato ’Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi 

Yang Berhormat Datuk Larry Sng Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Yang Berbahagia Datuk/Dato’/YBrs. Dr/Tuan/Puan Ahli-ahli Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) 

Yang Berusaha Dr. Mohd Nor Zamri bin Mat Amin Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) 

Wakil-wakil Kementerian, Agensi dan Jabatan Kerajaan 

Wakil-wakil Persatuan Industri Perkayuan serta 

Wakil-wakil Pengurusan dan warga kerja MTIB yang saya kasihi sekalian 

 

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Malam Apresiasi MTIB pada malam ini yang bertemakan “ MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia”. Sudah tentu sambutan Jubli Emas ini amat bersejarah, dan saya amat berbesar hati dapat bersama warga MTIB untuk meraikannya. 

2. Pada malam ini, saya dimaklumkan bahawa dua anugerah akan 3 disampaikan iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MTIB 2022 dan Anugerah Kecemerlangan Industri Perkayuan kepada sebahagian daripada warga kerja MTIB dan pemain industri perkayuan. Selain itu, Penghargaan “Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung” kepada Mantan-Mantan Ketua Pengarah MTIB juga akan disampaikan bagi menghargai jasa bakti, sumbangan dan komitmen tinggi yang telah diberikan dalam membangun dan memajukan industri perkayuan negara. Saya kira semua penganugerahaan ini lebih bermakna lagi mengambil kira genapnya 5 dasawarsa perjalanan MTIB sebagai sebuah institusi, dan saya yakin ianya akan membakar semangat warga MTIB untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi industri perkayuan tanahair. 

Hadirin yang dihormati sekalian, 

3. MTIB telah ditubuhkan pada tanggal 1 Jun 1973, di bawah Akta 105 Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) 1973. Berdasarkan rekod sejarah, penubuhan asal MTIB adalah pada tahun 1966 dan dikenali sebagai Malaysian Timber Export Industry Board (MTEIB). Sudah tentu dalam tempoh 50 tahun beroperasi, pelbagai pengalaman pahit, manis, suka dan duka telah dilalui oleh MTIB sehingga hari ini, dan pelbagai pencapaian telah direkodkan. 

4. Dalam tempoh 50 tahun, nilai eksport kayu dan produk kayu negara telah meningkat 33 kali ganda iaitu RM25.2 billion pada tahun 2022 berbanding RM749 juta pada tahun 1973. Hanya 4 produk perkayuan yang dieksport pada tahun 1973 berbanding 24 produk yang dieksport ke seluruh dunia sehingga tahun lalu. Jelas sekali, sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara amat besar. 4 

5. Justeru, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya MTIB di atas usaha gigih yang berterusan dalam memajukan dan meningkatkan pertumbuhan industri kayu Malaysia secara konsisten. Hasil dari perkhidmatan berkualiti dan kerjasama yang baik di antara MTIB dan pihak industri telah membantu industri perkayuan terus berkembang dan adalah diharapkan agar hal ini dapat diteruskan bagi memperkukuhkan lagi industri perkayuan negara, khususnya dalam berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu pada hari ini. 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Pelbagai kejayaan MTIB yang direkodkan dalam menerajui industri perkayuan negara dalam 50 tahun ini. Antaranya adalah: 

(1) Pembangunan Sistem Jaminan Kesahihan Kayu Kayan Semenanjung Malaysia (MyTLAS) dan pengeluaran Sijil MyTLAS bagi tujuan eksport. Sehingga kini, sejumlah 106,910 Sijil MyTLAS telah dikeluarkan untuk pengeksport memenuhi keperluan negara pembeli di pasaran antarabangsa; 

(2) Pelaksanaan Program Pengurusan Lean dan Good Manufacturing Practices (GMP) 5S yang membantu syarikat perkayuan terlibat dari segi penjimatan kos operasi pengeluaran syarikat. Melalui Program Pengurusan Lean, sebanyak RM84 juta penjimatan kos operasi telah berjaya dicapai oleh 96 buah syarikat sepanjang tempoh 2014 hingga 2021. Manakala, bagi Program GMP 5S pula, penjimatan sebanyak RM1.7 juta untuk 91 buah syarikat telah dicapai dari tahun 2015 5 sehingga tahun 2019; 

(3) MTIB sentiasa menyertai pelbagai pameran yang turut dihadiri pengunjung dari dalam dan luar negara seperti Malaysian International Furniture Fair (MIFF), Export Furniture Exhibition (EFE), dan Home Design and Interior Exhibition (HOMEDEC). Setiap tahun, hampir 80 usahawan mendapat manfaat daripada penyertaan pameran-pameran ini dengan nilai jualan mencecah lebih RM10 juta; 

(4) Sejak tahun 2016, MTIB turut menganjurkan karnival jualan di bawah jenama sendiri iaitu Wood & Lifestyle Fair (WLF). Sehingga kini, sebanyak 35 siri WLF telah dianjurkan dengan penyertaan seramai 651 usahawan. Hasil jualan keseluruhan penganjuran program ini telah mencecah RM52.41 juta. 

(5) MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) telah melatih lebih daripada 20,000 peserta sejak penubuhannya. WISDEC telah diiktiraf oleh Skills Malaysia sebagai Centre of Excellence (COE) bagi bidang Cabinet Making oleh Kementerian Sumber Manusia dan Joinery serta Carpentry oleh Kementerian Kerja Raya untuk melatih peserta negara yang membawa cabaran ke pertandingan ASEAN Skill Competition dan juga WorldSkills Competition. Antara peserta negara yang telah meraih kejayaan dalam bidang kemahiran Cabinet Making adalah: 

i. Encik Musalman bin Kamal, pemenang Silver Medal di ASEAN Skill Competition Hanoi 2014, Gold Medal di Worldskills Oceana, New Zealand dan Medallion of Excellence di Worldskills Competition, Brazil pada tahun 2015; dan 

ii. Encik Mohd Izuwan bin Mohd Rabi, pemenang Gold Medal di 6 ASEAN Skill Competition Kuala Lumpur 2016 dan Medallion of Excellence di WorldSkills Competition Abu Dhabi 2017. Bagi bidang joinery pula, Encik Lau King Heing telah mengharumkan nama negara dengan memperoleh Medallion of Excellence di ASEAN Skill Competition Hanoi 2014, Gold Medal di Worldskill Oceana New Zealand dan Medallion of Excellence di Worldskill Competition Brazil pada tahun 2015. 

(6) MTIB juga menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Perabot MOBILI dan membangunkan jenama dan kumpulan pereka TANGGAM. Program ini telah memberi impak yang besar iaitu beberapa pereka TANGGAM ini telah berjaya meraih pendapatan melebihi RM100,000 setahun dan merangkul pelbagai anugerah. Hadirin yang dihormati sekalian, 

7. Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) telah digubal bagi menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara. Bagi memastikan kesinambungan industri perkayuan secara khusus, Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) MTIB 2021-2025 telah dilancarkan dengan lima teras strategik meliputi Bahan Mentah dan Kemampanan Industri; Teknologi, Inovasi dan Sokongan Industri; Modal Insan dan Produktiviti; Pembangunan Pemasaran dan Perdagangan; dan juga Peningkatan Penglibatan Bumiputera. 

8. Saya percaya teras strategik ini menjadi panduan kepada MTIB dalam memastikan sasaran industri perkayuan menjelang tahun 2025 dapat dicapai sekaligus meneruskan pencapaian membanggakan MTIB selama tempoh 50 tahun ini. Apa yang penting, semua kejayaan dan pencapaian 7 sebelum ini tidak harus diambil ringan atau ‘taken for granted’, malah ia sepatutnya menjadi penanda aras untuk pencapaian yang lebih baik lagi di masa hadapan. Insya-Allah, saya yakin setelah 50 tahun berbakti, MTIB akan terus memainkan peranan yang cemerlang bagi memantapkan lagi industri perkayuan negara untuk 50 tahun yang akan datang. Hadirin yang dihormati sekalian, 

8. Seperti yang saya sebut pada awal bicara saya, pada malam ini kita akan mengumumkan pemenang-pemenang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MTIB 2022 dan Anugerah Kecemerlangan Industri Perkayuan serta Penghargaan “Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung” kepada Mantan-Mantan Ketua Pengarah MTIB. Saya difahamkan seramai 38 orang pegawai yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang pada tahun 2022 akan diraikan sebagai penerima APC MTIB 2022, manakala Anugerah Kecemerlangan Industri Perkayuan pula akan dianugerahkan kepada 14 penerima sebagai tanda pengiktirafan kepada pemain industri yang sentiasa memastikan industri perkayuan negara terus kekal di arus perdana global. 

9. Saya berharap agar, dengan pengiktirafan dan penghargaan APC ini, ia akan mencetus inspirasi kepada semua pegawai perkhidmatan awam untuk menampilkan 'THE G.R.E.A.T CIVIL SERVICE' iaitu merangkumi nilai-nilai Good governance, Responsibility, Empathy, Accountability dan Tenacity of purpose dalam perkhidmatan awam, dengan kembali kepada asas nilai individu dan organisasi, demi Malaysia yang lebih baik. 

10. Tahniah juga diucapkan kepada 14 penerima Anugerah Kecemerlangan Industri Perkayuan. Semoga terus maju dalam memberi 8 sumbangan kepada industri perkayuan negara agar kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain utama sektor ini di peringkat global. 

11. Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh warga MTIB di atas sambutan Jubli Emas dan penganjuran majlis pada malam ini. Saya doakan MTIB dan seluruh sektor perkayuan Malaysia akan terus maju dan berkembang, demi memperkukuhkan ekonomi negara. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua, dan dengan itu, dengan lafaz kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Malam Apresiasi MTIB, dengan tema “MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia”, bersempena dengan Sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan MTIB. 

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.