TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH HJ YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI
DAN
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK LKTN 2021 –
2025
DAN
ANUGERAH PENANAM, INDUSTRI DAN INOVASI KENAF
BAGI TAHUN 2021
30 JANUARI 2023 (ISNIN)



Bismillahirrahmanirrahim,


Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan


1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, atas kurnia serta keizinan-Nya jua, maka kita dapat samasama berkumpul di majlis yang penuh bermakna ini.


2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) atas penganjuran Majlis Pelancaran Pelan Strategik LKTN 2021-2025 dan Anugerah Penanam, Industri dan Inovasi Kenaf bagi tahun 2021.


3. Pelan Strategik merupakan salah satu elemen penting dalam pengurusan sesebuah organisasi dan merupakan tahap perancangan tertinggi yang memperlihatkan hala tuju organisasi bagi jangka masa yang ditentukan. Menyedari akan kepentingan tersebut, sebuah dokumen yang komprehensif telah dihasilkan sebagai rujukan dan panduan kepada LKTN. Tahniah dan syabas kepada LKTN atas komitmen yang dicurahkan dan memastikan kejayaan penerbitan seumpama ini.



Hadirin yang dihormati sekalian,


4. Pelan Strategik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2021 – 2025 yang dilancarkan pada hari ini merupakan dokumen perancangan strategik jangka panjang LKTN merangkumi strategi, pelan tindakan, indikator dan sasaran bagi tempoh lima tahun akan datang yang sejajar dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030), untuk mencapai output dan keberhasilan yang ditetapkan.


5. Saya difahamkan terdapat tujuh Teras Strategik merangkumi Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran, Keterangkuman, Pelesenan dan Penguatkuasaan serta Penyampaian Perkhidmatan Berkesan. Teras-teras ini telah dikenal pasti bagi membantu LKTN melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dan menangani cabaran-cabaran yang berbangkit dalam merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan.


6. Tempoh pelaksanaan Pelan Strategik LKTN 2021-2025 adalah amat kritikal dan mencabar memandangkan LKTN perlu menangani isu-isu utama bagi menyokong dan merealisasikan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang telah dilancarkan pada 9 Mac 2022, dalam memacu pembangunan sektor fiber semulajadi negara secara menyeluruh.


7. Pelan ini tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif, dengan sasaran yang spesifik berserta semakan prestasi berkala sepanjang perlaksanaannya. Dalam hal ini, saya yakin LKTN akan berusaha untuk melaksanakan strategi dan inisiatif yang telah digariskan mengikut tempoh yang ditetapkan dengan matlamat pencapaian yang maksimum.


Hadirin yang dihormati sekalian,


8. Bersempena dengan Majlis pada hari ini juga kita akan meraikan para penanam dan pemain industri atas dedikasi dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam pembangunan industri kenaf dengan pemberian anugerah sebagai pengiktirafan komitmen mereka terhadap pembangunan industri ini.


9. Saya difahamkan bahawa pemberian anugerah ini diadakan secara tahunan dan saya berharap dengan adanya anugerah seperti ini, ianya dapat menggalakkan semua pihak untuk mempertingkatkan lagi hasil pengeluaran dan kualiti serta mencipta inovasi baharu supaya dapat menarik minat lebih ramai pemain industri untuk terus berkecimpung dalam industri kenaf Negara.


10. Saya dimaklumkan terdapat tiga kategori anugerah yang akan disampaikan pada hari ini iaitu:


a. Anugerah Penanam Kenaf Jaya yang merupakan pengiktirafan khusus kepada penanam yang mencapai hasil penanaman yang tinggi merangkumi pengeluaran biji benih kenaf, pengeluaran batang kenaf dan pengeluaran fiber premium;


b. Anugerah Industri Kenaf yang mana memberi pengiktirafan kepada usahawan atau syarikat yang memberikan sumbangan besar dalam membangunkan industri kenaf; dan


c. Anugerah Inovasi Kenaf Tahun 2021 pula adalah untuk memberi pengiktirafan kepada syarikat, usahawan dan pihak yang berkaitan dalam mencetuskan inovasi baharu berkaitan industri kenaf. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah pada malam ini. Saya amat berbangga dengan usaha dan pencapaian anda semua dalam memartabatkan industri kenaf negara.


Hadirin yang dihormati sekalian,


11. Industri kenaf mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi baharu yang mampan kepada negara. Produk-produk berasaskan kenaf yang mempunyai ciri-ciri unik dan mesra alam telah dikenal pasti mampu memberi nilai ekonomi yang tinggi dalam industri berasaskan pembinaan, automotif, biokomposit, kesihatan dan sebagainya. Dalam hal ini, pelbagai program dan inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan oleh LKTN dalam usaha berterusan untuk membangunkan industri tersebut.


12. Selain itu, Kementerian melalui LKTN juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti ke arah pengkomersialan kenaf terutamanya aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Aktiviti R&D adalah merupakan pra-syarat dalam penghasilan produk-produk baru berasaskan kenaf, dan usaha untuk meningkatkan kepelbagaian produk ini adalah amat penting bagi meluaskan lagi pasaran dan meningkatkan permintaan hasil kenaf. Di samping itu, usaha meluaskan lagi jaringan pasaran dan meneroka pasaran baharu juga akan terus diberi perhatian. Ini penting agar sasaran untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dapat dicapai sepenuhnya demi kemajuan industri dan kesejahteraan pengusaha kenaf.


13. Ke arah itu, kerjasama dan komitmen semua pihak adalah amat diperlukan termasuk pegawai-pegawai kementerian, agensi, penanam, pemain industri dan semua yang terlibat. Ia penting bagi memastikan industri kenaf dapat terus berkembang maju di negara kita serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penanaman sahaja, tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri kenaf.


14. Potensi industri kenaf ini amat besar dan saya yakin potensi industri kenaf di Malaysia mampu berkembang dengan jayanya dan bergerak jauh ke hadapan bagi mencapai keberhasilan yang memberangsangkan. Industri kenaf Malaysia perlu merebut peluang di pasaran antarabangsa dengan mengetengahkan produk hasil kenaf Malaysia yang bersesuaian dengan tuntutan pasaran dan keadaan ekonomi semasa, sekaligus menjadikan produk kenaf Malaysia sebagai antara yang terbaik di pasaran global.


15. Transformasi berterusan dalam usaha memastikan industri kenaf terus selari dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), juga perlu dilakukan melalui penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi serta sistem yang lebih komprehensif dan efisien. Saya percaya LKTN amat peka dengan keperluan ini dan bersedia membantu para pengusaha untuk memperluaskan penggunaan teknologi bagi meningkatkan hasil dan pencapaian industri.


16. Jika semua ini dilakukan, dan jika semua pihak komited untuk memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan hasil dan kekuatan industri, saya amat yakin bahawa industri kenaf Malaysia akan dapat dikembangkan dengan pesat dan jauh lebih besar, malah mungkin menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan komoditi negara. Saya doakan agar aspirasi ini dapat kita capai bersama Insya Allah.


17. Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program pada hari ini.  Dengan lafaz Bismilllahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya, merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik LKTN 2021- 2025 dan Anugerah Penanam, Industri dan Inovasi Kenaf bagi tahun 2021.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih