TEKS UCAPAN PERASMIAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

 

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PUSAT KORPORAT SALIHIN

DAN

PELANCARAN SALIHIN ACADEMY

 

28 OGOS 2023 (ISNIN)

JAM 10.00 PAGI

LEVEL 25 - 02, MENARA FELDA,

PERSIARAN KLCC, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim

SALUTASI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan

Salam Malaysia MADANI

  1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama pada hari ini, sempena Majlis Perasmian Pusat Korporat SALIHIN dan Pelancaran Akademi SALIHIN.
  1. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Firma SALIHIN kerana telah mencapai kejayaan yang membanggakan sejak awal penubuhannya. Komitmen SALIHIN yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, profesionalisme dan amalan beretika telah membuahkan hasil yang boleh dibanggakan, dan acara pada hari ini adalah bukti kecemerlangan SALIHIN sebagai firma perkhidmatan profesional Bumiputera tempatan yang dihormati dan disegani.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

  1. Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa kini dan mengambil kira ketidaktentuan pasaran dunia yang masih melalui proses pemulihan pasca pandemik, kita boleh berbangga apabila ada firma swasta Bumiputera yang berdaya tahan, kalis kegawatan serta bersifat inovatif lagi kreatif dalam memburu peluang-peluang perniagaan. Ciri-ciri inilah yang membolehkan firma SALIHIN bukan sahaja terus beroperasi dalam keadaan yang amat mencabar, malah terus berkembang dan kekal berdaya saing.  
  1. Saya difahamkan sejak penubuhannya pada awal tahun 2002, dengan bermodalkan RM10,000, dengan hanya seorang kakitangan, kini firma SALIHIN menjana perolehan sebanyak RM25 juta setahun dengan tenaga kerja 250 orang professional bertauliah dan pakar dalam pelbagai disiplin termasuk dalam bidang ekonomi, perakaunan, percukaian, kewangan korporat, perundingan syariah, teknologi maklumat serta pengauditan dan jaminan.
  1. Daripada permulaan yang sederhana di sebuah ruang pejabat yang dikongsi, pada hari ini Kumpulan SALIHIN, bukan sahaja mengukir nama di tengah-tengah ibu kota, tetapi juga mempunyai cawangan di Kuching, Johor Bahru dan Gombak. Malah, saya dimaklumkan bahawa di Nairobi, Kenya pun Kumpulan SALIHIN telah membuka sebuah cawangan sebagai langkah permulaan melebarkan sayap di peringkat antarabangsa. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan wawasan kepimpinan Kumpulan SALIHIN.
  1. Kini kemuncak kejayaan Kumpulan SALIHIN dapat kita lihat dengan wujudnya pusat korporat baharu yang bakal dirasmikan pagi ini yang sekaligus membentuk sebuah penanda aras kesungguhan Kumpulan SALIHIN untuk menyumbang secara bermakna kepada professionalisme dan pembangunan modal insan di negara kita. Serentak dengan itu, Akademi SALIHIN akan dilancarkan bersama dengan termetrainya memorandum persefahaman dan nota kerjasama bagi perkongsian strategik antara industri dan akademi. Ini juga telah membuka satu lagi lembaran baharu dalam kisah kejayaan Kumpulan SALIHIN.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Saya amat mengalu-alukan langkah firma SALIHIN untuk mewujudkan Akademi SALIHIN sebagai pelengkap kepada perkhidmatan-

perkhidmatan profesional yang ditawarkan oleh firma ini. Saya kira langkah ini memenuhi tanggungjawab sosial korporat Kumpulan SALIHIN bagi melatih anak bangsa untuk lebih berdaya saing dan berpeluang lebih cerah bagi mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi. 

  1. Saya dimaklumkan bahawa Akademi ini akan memberi penyelesaian pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik, penyelesaian perakaunan dan lain-lain bidang yang pastinya akan menambah nilai kepada sesiapa sahaja yang mengikuti latihan tersebut.
  1. Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat dimajukan dan dikembangkan lagi bagi manfaat lebih ramai rakyat tempatan khususnya dari kalangan Bumiputera. Saya juga telah dimaklumkan bahawa bermula tahun 2024, Akademi SALIHIN meletakkan sasaran untuk melatih seramai 60 orang penuntut yang akan menyertai program-program pensijilan profesianal setiap tahun merangkumi bidang kelulusan dibawah AAOIFI (Accounting and Auditing Organisation For Islamic Financial Institutions) ; CIBAFI (General Council for Islamic Banks and Financial Institutions) serta IICRA (The International Islamic Centre for Reconciliation and Arbitration). Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universitiuniversiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan.
  1. Saya kira keseriusan Kumpulan SALIHIN menceburi bidang latihan ini jelas terserlah dengan termetrainya perjanjian yang akan kita saksikan sebentar lagi. Perjanjian Program Rakan Kongsi antara SALIHIN dengan firma digital antarabangsa Diligent Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, akan membuka peluang baharu pertumbuhan serta inovasi, sekaligus meletakkan SALIHIN sebagai firma kewangan yang membawa permodenan dan perubahan paradigma di dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perundingan korporat melalui pendigitalan dan automasi robotik. Semoga lebih banyak usahasama seperti ini dapat diadakan di masa hadapan, bagi membolehkan Akademi SALIHIN menjadi perintis dalam menawarkan latihan dalam bidang-bidang baharu yang mampu meningkatkan daya saing golongan profesional yang menceburinya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya kasihi sekalian,

  1. Dedikasi teguh firma SALIHIN untuk menegakkan integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatannya selama dua puluh satu tahun ini adalah resipi kejayaan yang membina keyakinan para pelanggan dan rakan-rakan berkepentingan termasuklah pihak berkuasa undang-undang, agensi pelaksana serta pesaing industri. Ia menjadi contoh yang baik bagi golongan profesional tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka. Saya meletakkan harapan tinggi agar firma SALIHIN tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan setakat ini sahaja, tetapi terus meneroka peluang-peluang yang lebih besar melalui penyumberan pakar tempatan berprestasi tinggi di persada antarabangsa sepertimana yang dilakukan oleh golongan profesional dari negaranegara maju yang membantu pemacuan ekonomi mereka melalui eksport perkhidmatan.
  1. Sebagai anak watan Malaysia, saya ingin melihat SALIHIN terus berdiri teguh mendepani era-era mendatang dan menjadi contoh motivasi kepada usahawan muda tempatan bahawa sesuatu kejayaan boleh dicapai, jika kita menetapkan keazaman yang tinggi dan tidak cepat menyerah kalah dalam perjuangan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Saya Hormati Sekalian,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan setinggitinggi penghargaan berserta ucapan syabas dan tahniah kepada Tuan Haji (Dr.) Salihin bin Abang yang merupakan seorang anak jati berasal dari Petra Jaya, Kuching, Sarawak, serta seluruh warga firma SALIHIN yang lain atas dedikasi, komitmen dan kesungguhan dalam menjadikan firma ini antara firma tempatan yang paling pesat berkembang.
  1. Saya doakan Kumpulan SALIHIN terus maju jaya, apatah lagi setelah kini bertapak di ‘Segitiga Emas’ Kuala Lumpur. Semoga firma ini terus berada di barisan hadapan dalam menjana perubahan positif untuk kebaikan masyarakat dan terus memberi inspirasi kepada usahawan lain.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Pusat Korporat SALIHIN Kuala Lumpur dan melancarkan Akademi SALIHIN . Sekian, Salam Merdeka dan semoga Allah Subhanahu Wataala merahmati negara kita dan rakyatnya.

Wabillahitaufik      Walhidayah      Wassalamualaikum      Warahmatullahi

Wabarakatuh

Terima kasih