UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO ’SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI
DAN
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
SEMPENA
PROGRAM PEMERKASAAN PENGGIAT INDUSTRI LADA
PERINGKAT NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM
22 OGOS 2023 (SELASA) JAM 11.30 PAGI
LE GRANDEUR PALM RESORT, JOHOR DARUL TAKZIM
Bismillahirrahmanirrahim
Salutasi
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
- Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul bagi memeriahkan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada Peringkat Negeri Johor Darul Takzim pada hari ini.
- Program seumpama ini penting kerana ia boleh menjadi platform bagi menghubungkan Agensi Kerajaan dan golongan sasar dalam satu forum yang sama untuk mendapatkan input, berkongsi pandangan dan isu-isu semasa daripada penggiat industri terutamanya golongan pekebun kecil.
- Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada MPB dan semua yang terlibat dalam penganjuran program ini. Ia sejajar dengan kerangka “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” yang memfokuskan kepada usaha-usaha menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
- Inisiatif yang dilakukan MPB melalui penganjuran program seumpama ini memberi gambaran positif bahawa Kementerian serta jabatan mahupun agensi Kerajaan sentiasa cakna dengan nasib pekebun kecil agrikomoditi dan pembangunan Sektor Agrikomoditi secara keseluruhannya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia. Industri lada negara telah mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada tahun 2022 berbanding RM153.5 juta pada tahun 2021. Sehingga Jun 2023, nilai eksport lada negara sebanyak RM65.94 juta. Pencapaian ini saya kira amat mebanggakan dan adalah menjadi harapan kita semua, khususnya pihak Kementerian, agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan yang mencabar pada tahun ini.
- Seperti mana yang semua sedia maklum, MPB merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan industri lada. Peranan holistik MPB merangkumi aspek penyelidikan, pengeluaran dan pengembangan lada di negara ini.
- Kementerian melalui MPB sedang melaksanakan pelan tindakan khusus untuk industri Lada, sepertimana digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030). Langkah ini penting untuk memastikan industri lada negara terus berkembang maju dan kekal berdaya saing di pasaran dunia. Dasar ini dirangka berdasarkan lima teras utama merangkumi aspek kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman. Kementerian yakin dengan berpandukan DAKN2030, industri lada negara mampu mengorak langkah ke hadapan menjadi lebih berdaya saing.
- Dalam konteks ini, Kementerian meletakkan sepenuh kepercayaan kepada MPB sebagai agensi peneraju komoditi lada di Malaysia, untuk memacu serta menjana aktiviti mempromosi agrikomoditi lada baik di sektor huluan, pertengahan mahupun hiliran.
- Saya difahamkan setakat hari ini, jumlah pekebun lada di wilayah Semenanjung yang berdaftar dengan MPB adalah seramai 294 orang dengan keluasan tanaman seluas 92 hektar. Daripada jumlah tersebut, Negeri Johor mencatatkan bilangan pekebun lada paling ramai di Semenanjung iaitu seramai 155 pekebun dengan keluasan tanaman 38 hektar.
- Selain pekebun lada, MPB turut berperanan membimbing golongan sasar yang berpotensi serta berminat untuk menceburi bidang keusahawanan lada sejajar dengan usaha meningkatkan daya saing serta membuka peluang pasaran baharu dan lebih meluas. Saya difahamkan, usahawan hiliran lada dan PKS yang aktif menghasilkan produk lada dan produk berasaskan lada di Semenanjung, sehingga ke hari ini, adalah seramai 30 orang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Kerajaan prihatin dengan nasib pekebun kecil komoditi yang rata-ratanya terkesan dengan impak ekonomi yang melanda dunia. Oleh itu, saya telah mengarahkan agensi-agensi di bawah Kementerian untuk turun padang serta memantau pelaksanaan program yang dapat membantu menambah pendapatan pekebun kecil dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, sekaligus menyumbang kepada usaha Kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan secara mapan.
- Justeru bagi menangani isu kenaikan harga input pertanian, Kementerian melalui MPB telah mengambil inisiatif menyemak semula nilai bantuan, dengan meningkatkan bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 bagi setiap hektar berbanding RM26,000 bagi setiap hektar sebelum ini; manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan dari RM13,000 bagi setiap hektar kepada RM25,000 bagi setiap hektar.
- Had pemberian bantuan juga telah dinaikkan daripada 0.5 hektar sebelum ini kepada sehingga 1 hektar untuk STLB dan dinaikkan juga daripada 0.2 hektar sebelum ini kepada sehingga 2 hektar untuk STLM bertujuan untuk terus menggalakkan para pekebun meningkatkan keluasan serta produktiviti pengeluaran tanaman mereka.
- Secara keseluruhannya, bantuan sebanyak RM1.14 juta telah diluluskan di bawah STLB dan STLM dengan jumlah keluasan tanaman seluas 47 hektar serta memanfaatkan seramai 241 orang pekebun.
- Susulan daripada kenaikan nilai bantuan ini, MPB mendapat maklum balas positif dari para pekebun, dimana minat dan permintaan untuk mengusahakan tanaman lada turut mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa. Ditambah pula dengan proses permohonan yang telah dipermudahkan melalui sistem permohonan secara dalam talian.
- Inisiatif pendigitalan ini bukan sahaja memudahkan golongan sasar sektor lada berurusan dengan pihak MPB, malah ia seiring dengan sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) agar Kementerian dan agensi Kerajaan meningkatkan peratusan perkhidmatan dalam talian secara end-to-end.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Sehingga kini, masih terdapat pekebun kecil lada di negeri ini yang terus mengusahakan tanaman lada kerana menyedari potensi komoditi ini mampu memberi pulangan yang baik, sekaligus menambahkan pendapatan pekebun kecil.
- Bukan itu sahaja, negeri Johor yang berdekatan dengan Singapura turut memiliki pasaran yang luas terutamanya dalam industri pemprosesan makanan yang merupakan pasaran berpotensi untuk lada.
- Perkara ini dilihat mampu melonjakkan pembangunan industri hiliran lada, susulan daripada perkembangan sektor pemprosesan makanan yang merupakan pengguna bahan mentah lada yang tinggi.
- Justeru, saya menyeru kepada para pekebun kecil di Semenanjung untuk merebut peluang ini dengan mengisi jurang permintaan lada yang tinggi di wilayah ini agar kita tidak lagi bergantung kepada import lada dari negara luar.
- Kementerian juga sedang menumpukan usaha dan tenaga secara bersama dengan agensi-agensi lain dalam misi perdagangan antarabangsa. Misi perdagangan akan terus dilaksanakan untuk mengkaji sentimen pasaran dan peluang pasaran baharu termasuk pasaran ‘niche market’ seperti di negara-negara Skandinavia, Jepun dan Korea Selatan yang mementingkan mutu dan kualiti tinggi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Marilah kita bersama-sama terus memainkan peranan masing-masing demi mewujudkan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi mengembangkan dan memajukan lagi industri lada negara.
- Semoga usaha ini sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak di setiap peringkat dan akhirnya akan membuahkan hasil yang membanggakan buat semua. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada Peringkat Negeri Johor Darul Takzim.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih