UCAPAN PERASMIAN
YB DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING
TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPK)

MAJLIS PERASMIAN
PUSAT TIMBANG KPSM BEAUFORT SABAH BERHAD

DEWAN PERSATUAN BISAYA BERSATU SABAH (PBBS)
BEAUFORT, SABAH
AHAD, 19 FEBRUARI 2023


YBhg. Datuk Isnin bin Haji Aliasnih @ Liasnih
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias

YB. Datuk Limus bin Jury
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu

Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Yang Berusaha Encik Jonathan Isaac Chong June Yung
Pengerusi KPSM Beaufort Sabah Berhad

Dif-dif jemputan,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Assalamualaikum w.b.t., Salam Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam Malaysia Madani.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bersama-sama hadir pada Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Sabah di peringkat daerah Beaufort, Sabah pada hari ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Beaufort Sabah Berhad atas kesudian menjemput saya dalam majlis yang penuh bermakna pada hari ini. Kesempatan yang diberikan ini membolehkan saya bersemuka dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang menjadi tulang belakang kepada industri sawit negara. Sumbangan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan dalam memacu kejayaan industri sawit amat saya hargai.

3. Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu pendekatan turun padang Kerajaan untuk bersemuka dengan pekebun kecil sawit terutamanya di Sabah selain menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan juga insentif-insentif yang disediakan oleh Kerajaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Industri sawit negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan tohmahan terutama berkaitan isu kemampanan yang boleh menggugat pasaran produk sawit serta telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat semulajadi hidupan liar. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit Malaysia. Salah satunya ialah Skim Pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan.


5. Pelaksanaan Pensijilan MSPO adalah berdasarkan peraturan dan amalan kemampanan yang memberi faedah kepada pekebun kecil seperti pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP), pematuhan kepada pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar dan peningkatan kualiti buah sawit, yang akhirnya dapat meningkatkan pendapatan.

6. Justeru, penganjuran program pada hari ini mengenai Skim Pensijilan MSPO kepada pekebun kecil adalah sangat perlu dan penting. Kerajaan melalui MPOB komited untuk memastikan penanam sawit dapat memenuhi kriteria Pensijilan MSPO. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menyediakan bantuan merangkumi kos yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Kerajaan melalui MPOB giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan pembangunan pekebun kecil sawit persendirian. Antaranya ialahSkim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).

8. Bagi Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), sebanyak 134 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah yang merangkumi keluasan 590.51 hektar kawasan tanaman sawit. Di daerah Beaufort, sebanyak tujuh (7) permohonan TSPKS telah diluluskan dengan kawasan tanaman sawit seluas 17.61 hektar.
9. Manakala, bagi Skim Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), sebanyak 34 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah dengan jumlah keluasan tanaman sawit adalah 169.26 hektar. Saya dimaklumkan bahawa tiada permohonan bagi Skim IPPKS diterima di daerah Beaufort.

10. Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe) bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian. Di Sabah, sebanyak 184 projek integrasi ternakan telah diluluskan sehingga 31 Januari 2023 yang terdiri daripada 128 projek ayam dan 56 projek itik. Bagi daerah Beaufort, sebanyak enam (6) projek telah diluluskan yang terdiri daripada empat (4) projek ayam dan dua (2) projek itik.

11. Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) pula diperkenalkan dengan objektif untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum. Program integrasi ini melibatkan tanaman kontan pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas. Sehingga akhir bulan Januari 2023, sebanyak 18 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah yang terdiri daripada enam (6) projek pisang, 11 projek nanas dan satu (1) projek tembikai.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

12. Bagi program pembangunan pekebun kecil sawit, Kerajaan juga menggalakkan penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM ini adalah untuk membantu pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang.

13. Sehingga Januari 2023, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 27 daripadanya beroperasi di Negeri Sabah. Jumlah keahlian bagi KPSM di Negeri Sabah adalah seramai 2,537 orang peserta. Saya dimaklumkan bahawa keahlian KPSM Beaufort Sabah Berhad sehingga hari ini adalah seramai 27 orang. Justeru, saya menggesa lebih ramai pekebun kecil di daerah Beaufort ini untuk menyertai KPSM.

14. Saya difahamkan, sebanyak 69 buah Pusat Timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya di seluruh Malaysia sehingga hujung bulan Januari 2023, dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 437,157.16 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah sebanyak 535 tan sebulan. Secara amnya, hampir 7,943 orang pekebun kecil sawit mendapat manfaat dari kewujudan KPSM ini apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun kecil setara dengan tawaran harga KPSM. Kerajaan melalui MPOB memperuntukkan RM200,000 kepada KPSM bagi pembinaan Pusat Timbang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

15. Tanaman sawit di Beaufort ini telah memberi banyak faedah terutamanya dalam membangunkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Dengan pelbagai bantuan dan insentif yang telah diberikan oleh Kerajaan, saya amat berharap pengeluaran hasil sawit pekebun-pekebun kecil dapat ditingkatkan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pekebun-pekebun kecil di daerah Beaufort atas usaha-usaha yang telah dicurahkan dalam pembangunan industri sawit di daerah ini.

16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Sabah, peringkat daerah Beaufort dan juga Pusat Timbang KPSM Beaufort Sabah Berhad.

Sekian, terima kasih.