UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO' SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI
DAN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN & KOMODITI
BERSEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM PENGUMPULAN MINYAK MASAK TERPAKAI
PADA
18 JULAI 2023
DI
STESEN PETRONAS PUTRAJAYA 1, PRESINT 9,
PUTRAJAYA
Bismillahirrahmanirrahim
Salutasi
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
- Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT yang dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, membolehkan kita untuk berada di sini pada hari ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS di atas inisiatif yang dilaksanakan menerusi Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sebagai salah satu agenda Ekonomi Kitaran Agrikomoditi. Program ini amat penting dan berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Saya amat teruja untuk melihat program ini dikembangkan ke seluruh negara dalam masa yang terdekat Insya-Allah.
- Daripada permulaan yang kecil, minyak sawit kini antara industri utama di Malaysia dan merupakan penyumbang pendapatan eksport terbesar sektor agrikomoditi di negara ini.
- Sejak diperkenalkan di Malaysia lebih satu abad yang lalu, industri sawit telah memberi pekerjaan langsung kepada lebih 650,000 orang termasuk kira-kira 450,000 pekebun kecil. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, kami sentiasa berusaha untuk membantu para pengusaha dan juga pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti mereka, selain menyediakan platform kepada mereka meneroka peluang dalam sektor hiliran.
- Atas dasar inilah, pihak Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama PETRONAS melaksanakan inisiatif untuk mengumpul minyak masak terpakai dan menjadikannya sebagai salah satu sumber bahan mentah utama untuk menghasilkan biobahan api penerbangan lestari atau sustainable aviation fuel (SAF).
- Inisiatif ini bukan sahaja mampu menyahut aspirasi matlamat kelestarian dan memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan industri sawit, malah akan memberi impak positif kepada harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Seperti yang kita sedia maklum, minyak masak yang dipakai untuk menggoreng berulang kali tidak disarankan untuk terus digunakan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Justeru, minyak masak terpakai tersebut perlu diuruskan dengan baik dan tidak sewajarnya dibuang ke dalam singki atau dituang ke dalam longkang atau dibungkus ke dalam plastik dan dimasukkan ke tong sampah sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir pengguna atau peniaga. Tindakan ini akan menyebabkan berlakunya insiden paip tersumbat yang akhirnya memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih.
- Kerana itulah, pada hari ini saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menjadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai salah satu langkah bijak dalam menguruskan sisa, yang sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu yang bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
- Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen PETRONAS ini merupakan usaha bersama antara PETRONAS dan KPK dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar, pada masa yang sama berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).
- Bagi memudahkan pengurusan minyak masak terpakai tersebut, pihak PETRONAS akan menjadikan beberapa stesen-stesen PETRONAS yang terpilih sebagai Pusat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai bagi memudahkan orang ramai untuk menghantar dan menjual minyak masak terpakai.
- Sebagai permulaan, pusat pengumpulan ini akan bermula di Stesen PETRONAS 1, Presint 9, Putrajaya; Stesen PETRONAS Subang Bestari dan Stesen PETRONAS Kota Kemuning 1, Shah Alam. Pusat pengumpulan ini seterusnya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat ke stesen-stesen PETRONAS yang terpilih.
- Justeru, orang ramai digalakkan untuk mengumpulkan sebanyak mana yang boleh minyak masak terpakai dan seterusnya dibawa ke stesen-stesen minyak terpilih PETRONAS untuk dijual.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
- Untuk makluman semua, pengumpulan minyak masak terpakai ini bukan sahaja semata-mata bagi usaha menguruskan sisa minyak masak dengan baik tetapi juga bagi mengembangkan potensi pemprosesan semula minyak masak terpakai kepada biobahan api penerbangan.
- Program pengumpulan minyak masak terpakai ini juga merupakan langkah proaktif pihak PETRONAS sebagai persediaan untuk mengkomersialkan biobahan api penerbangan yang lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) bagi memenuhi tuntutan Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA).
- Untuk makluman semua, CORSIA merupakan satu skim antarabangsa yang dibangunkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) dengan tujuan untuk mengurangkan jejak karbon dan memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon bagi sektor penerbangan antarabangsa. Fasa Rintis CORSIA bermula pada tahun 2021 manakala Fasa 1 bermula pada tahun 2024, di mana penyertaan oleh negara-negara anggota adalah secara sukarela. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang telah menyertai CORSIA secara sukarela dalam fasa ini. Bermula pada tahun 2027, penggunaan SAF adalah mandatori bagi semua negara anggota ICAO.
- Pihak Petronas kini dalam usaha untuk membangunkan loji penapisan bio untuk menghasilkan biobahan api SAF yang akan dibina di RAPID, Pengerang, Johor bermula tahun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
- Walaupun industri sawit berdepan dengan pelbagai cabaran, pihak Kerajaan tetap komited dalam membangunkan industri ini dan menambah baik kehidupan pengusaha dan pekebun kecil serta rakyat Malaysia, termasuk melalui pengumpulan minyak masak terpakai sebagai satu sumber pendapatan tambahan isi rumah.
- Namun begitu, matlamat ini hanya akan dapat dicapai melalui kerjasama dan tindakan bersama semua pihak – daripada pembekal, pemain industri, pengguna, pihak Kerajaan hinggalah ke syarikat petroleum seperti PETRONAS.
- Sehubungan ini, saya ingin mengucapkan sekali lagi, setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PETRONAS kerana telah sama-sama mendukung program ini dan sokongan padu yang telah diberikan kepada KPK dalam melaksanakan inisiatif strategik ini. Saya doakan kerjasama dan sokongan ini akan berjaya dan mencapai matlamat yang disasarkan dan saya harap apabila dilaksanakan sepenuhnya, semua isi rumah di seluruh negara akan dapat memanfaatkan inisiatif ini untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama. Semoga usaha ini dapat membantu negara dalam terus memelihara alam sekitar dan pada masa yang sama membantu meningkatkan pendapatan tambahan isi rumah rakyat di negara ini.
- Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di stesen-stesen PETRONAS yang terpilih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabaratuh
Terima kasih