UCAPAN PERASMIAN
YB DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING
TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPK)

MAJLIS PERASMIAN
PROGRAM PEMANTAPAN MSPO PEKEBUN KECIL NEGERI SABAH
LAHAD DATU, SABAH

DEWAN SERBAGUNA PLASMA
STESEN PENYELIDIKAN MPOB LAHAD DATU, SABAH

SABTU, 18 FEBRUARI 2023


YB Datuk Mohammad Yusof Apdal
Ahli Parlimen Lahad Datu

Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Dif-dif jemputan,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Assalamualaikum w.b.t., Salam Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam Malaysia Madani.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bersama-sama hadir ke Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Sabah di peringkat Daerah Lahad Datu, Sabah pada hari ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas kesudian menjemput saya dalam majlis yang penuh bermakna pada hari ini. Kesempatan yang diberikan ini membolehkan saya bersemuka dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang menjadi tulang belakang kepada industri sawit negara. Sumbangan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan dalam memacu kejayaan industri sawit amat saya hargai.

3. Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu pendekatan turun padang Kerajaan untuk bersemuka dengan pekebun kecil sawit terutamanya di Sabah selain menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan juga insentif-insentif yang disediakan oleh Kerajaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Industri sawit negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan tohmahan terutama berkaitan isu kemampanan yang boleh menggugat pasaran produk sawit serta telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat semulajadi hidupan liar. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuh imej industri sawit Malaysia. Salah satunya ialah Skim Pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan.

5. Pelaksanaan Pensijilan MSPO adalah berdasarkan peraturan dan amalan kemampanan yang memberi faedah kepada pekebun kecil seperti pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP), pematuhan kepada pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar dan peningkatan kualiti buah sawit, yang akhirnya meningkatkan pendapatan.

6. Justeru, penganjuran program pada hari ini mengenai Skim Pensijilan MSPO kepada pekebun kecil adalah sangat perlu dan penting. Kerajaan melalui MPOB komited untuk memastikan penanam sawit dapat memenuhi kriteria Pensijilan MSPO. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menyediakan bantuan merangkumi kos yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Kerajaan melalui MPOB giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan pembangunan pekebun kecil sawit persendirian. Antaranya ialah Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).

8. Bagi Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), sebanyak 134 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah yang merangkumi keluasan 590.51 hektar kawasan tanaman sawit. Di daerah Lahad Datu sendiri, sebanyak lima (5) permohonan TSPKS telah diluluskan dengan kawasan tanaman sawit seluas 31.76 hektar.
9. Manakala, bagi Skim Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), sebanyak 34 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah dengan jumlah keluasan tanaman sawit adalah 169.26 hektar. Sukacita dimaklumkan bahawa enam (6) permohonan IPPKS telah diluluskan di daerah Lahad Datu, dengan keluasan 25.28 hektar.

10. Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe) bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian. Di Sabah, sebanyak 184 projek integrasi ternakan telah diluluskan sehingga 31 Januari 2023 yang terdiri daripada 128 projek ayam dan 56 projek itik. Bagi daerah Lahad Datu, sebanyak lima (5) projek telah diluluskan yang terdiri daripada dua (2) projek ayam dan tiga (3) projek itik.

11. Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) pula diperkenalkan dengan objektif untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum. Program integrasi ini melibatkan tanaman kontan pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas. Sehingga akhir bulan Januari 2023, sebanyak 18 permohonan telah diluluskan di Negeri Sabah yang terdiri daripada enam (6) projek pisang, 11 projek nanas dan satu (1) projek tembikai.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

12. Bagi program pembangunan pekebun kecil sawit, Kerajaan juga menggalakkan penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM ini adalah untuk membantu pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang.

13. Sehingga Januari 2023, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 27 daripadanya beroperasi di Negeri Sabah. Jumlah keahlian bagi KPSM di Negeri Sabah adalah seramai 2,537 orang peserta. Saya dimaklumkan bahawa keahlian KPSM Daerah Tungku Berhad sehingga hari ini adalah seramai 104 orang. Justeru, saya menggesa lebih ramai pekebun kecil di daerah Lahad Datu ini untuk menyertai KPSM.

14. Saya difahamkan, sebanyak 69 buah Pusat Timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya di seluruh Malaysia sehingga hujung bulan Januari 2023, dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 437,157.16 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah sebanyak 535 tan sebulan. Secara amnya, hampir 7,943 orang pekebun kecil sawit mendapat manfaat dari kewujudan KPSM ini apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun kecil setara dengan tawaran harga KPSM. Kerajaan melalui MPOB memperuntukkan RM200,000 kepada KPSM bagi pembinaan pusat timbang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

15. Tanaman sawit di Lahad Datu ini telah memberi banyak faedah terutamanya dalam membangunkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Dengan pelbagai bantuan dan insentif yang telah diberikan oleh Kerajaan, saya amat berharap pengeluaran hasil sawit pekebun-pekebun kecil dapat ditingkatkan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pekebun-pekebun kecil di daerah Lahad Datu atas usaha-usaha yang telah dicurahkan dalam pembangunan industri sawit di daerah ini.

16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Sabah, peringkat daerah Lahad Datu.

Sekian, terima kasih.