UCAPAN PERASMIAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN LEMBAGA LADA MALAYSIA

 

15 JULAI 2023 (SABTU)

JAM 12.00 TENGAHARI

JALAN PENRISSEN, SEMENGGOK

KUCHING, SARAWAK

           

SALUTASI

Terima kasih saudara / saudari Pengacara Majlis

Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi anak Utom

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah

Sarawak (MFICORD)

Yang Berbahagia Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli

Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi 

 

Yang Berhormat Dato Anyi Ngau

Pengerusi Lembaga Lada Malaysia 

 

Yang Berhormat Datuk Willie anak Mongin

Ahli Parlimen P198 Puncak Borneo

 

Yang Berusaha Puan Jenny George

Ketua Pengarah

Lembaga Lada Malaysia

Dif – dif jemputan

Rakan – rakan media 

Pegawai-pegawai  Kementerian dan Lembaga Lada Malaysia

Para pekebun kecil lada serta hadirin yang dihormati sekalian. 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,  Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

  1. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan hidayah-Nya kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memeriahkan Majlis Perasmian Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) pada hari ini. Syabas diucapkan kepada MPB dan semua pihak atas usaha dan persediaan rapi yang dibuat bagi memastikan majlis pada hari ini dilaksanakan dengan jayanya.
  1. Pertamanya saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada MPB kerana berjaya memiliki Stesen Penyelidikan sendiri bagi memastikan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi dapat dijalankan dengan lebih bersepadu ke arah pembangunan industri lada negara yang mampan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India. Industri lada negara telah mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada tahun 2022 berbanding RM153.5 juta pada tahun 2021. Sehingga Mei 2023, nilai eksport lada negara direkodkan pada RM54.5 juta. Kementerian berharap agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan yang sedikit mencabar pada tahun ini.
  1. Seperti mana yang semua sedia maklum, MPB merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan industri lada. Ia merangkumi aspek penyelidikan, pengeluaran dan pengembangan lada di negara ini.
  1. Kementerian melalui MPB sedang melaksanakan pelan tindakan sepertimana digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030). Langkah ini adalah penting untuk memastikan industri lada negara terus berkembang maju dan kekal berdaya saing. Dasar ini dirangka berdasarkan lima teras utama merangkumi aspek kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman. Kementerian yakin dengan berpandukan DAKN2030, industri lada negara mampu menjadi lebih berdaya saing.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. MPB sejak penubuhannya, telah menjalankan banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti kajian inovasi amalan penanaman lada bertujuan untuk mengkaji penggunaan teknologi (IOT) dalam meningkatkan penghasilan lada dan pelbagai kajian lagi.
  1. Saya difahamkan bahawa MPB juga telah menjalinkan beberapa bentuk kerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia.
  1. Selain itu, MPB juga sedang bekerjasama dengan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (iPharm), Behn Meyer Agricare (M) Sdn Bhd dan juga Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
  1. Dalam hal ini, saya berharap agar kerjasama yang sedia terjalin akan terus dipupuk dan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam membawa industri lada ke satu tahap yang lebih baik. Nasib pekebun kecil haruslah menjadi keutamaan dalam apa jua perancangan dan langkah yang akan dilaksanakan oleh MPB.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan harga input pertanian dan harga lada yang tidak stabil telah memberi kesan secara langsung kepada produktiviti dan hasil pendapatan para pekebun kecil lada tempatan.
  1. Kementerian sedar bahawa para pekebun kecil lada sedang berhadapan dengan kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun dan dolomite semenjak tercetusnya konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine sejak awal tahun 2022 yang turut memberi kesan kepada peningkatan kos penanaman lada.
  1. Bagi memastikan nasib para pekebun kecil lada terus terbela, Kementerian melalui MPB telah mengambil inisiatif dengan menyemak semula skim-skim bantuan yang telah disediakan selama ini kepada pekebun lada.
  1. Kementerian melalui MPB telah menaikkan had bagi Skim Tanaman Lada Baru (STLB) kepada RM46,000 per hektar berbanding RM26,000 per hektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 per hektar berbanding RM13,000 per hektar. Proses semakan semula ini bertujuan memastikan para pekebun tidak terkesan dengan kenaikan input pertanian. Kesemua inisiatif ini melibatkan kos projek sebanyak RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat di pasaran antarabangsa, Kementerian melalui MPB akan memberi fokus utama kepada penghasilan dan penjualan lada berkualiti tinggi dan lada premium. Lada Putih Berkrim atau Creamy White Pepper (CWP) mampu memberikan pulangan lebih lumayan kepada para pekebun lada. Strategi ini akan lebih menguntungkan para pekebun kerana pasaran di luar negara sedang mencari produk lada yang berkualiti tinggi, bebas kandungan racun dan beraroma unik seperti CWP.
  1. Usaha untuk mengembalikan semula industri lada negara ke tahap gemilang tidak terhenti di sini sahaja, malah Kementerian sedang menumpukan usaha dan tenaga secara bersama dengan agensi-agensi lain dalam misi perdagangan antarabangsa. Misi perdagangan akan terus dilaksanakan untuk mengkaji sentimen pasaran dan peluang pasaran baharu lada termasuk pasaran ‘niche market’ seperti di negara-negara Skandinavia, Jepun dan Korea Selatan yang mementingkan mutu dan kualiti tinggi.
  1. Pada masa ini, Kementerian juga sedang melipatgandakan usaha untuk menggalakkan penyertaan belia dalam sektor lada melalui promosi, kursus dan sesi dialog yang konsisten dan intensif. Pendekatan ini bagi memastikan cabaran untuk mengatasi isu tenaga kerja berusia dalam sektor huluan lada dapat diatasi secara sistematik.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada MPB di atas kejayaan menubuhkan stesen penyelidikan ini. Saya berharap dengan tertubuhnya stesen penyelidikan seumpama ini, MPB perlu tekad memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penggiat industri lada di negara ini.
  1. Selain itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan dan warga MPB atas penganjuran majlis yang bermakna dan memberi signifikan kepada aktiviti R&D secara menyeluruh.
  1. Dengan kata-kata dan harapan tersebut serta lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya merasmikan Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih