TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT DATO ’SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

BERSEMPENA

PELANCARAN PROGRAM TREK KOMODITI 2023

PADA

10 JUN 2023 (Sabtu) 2.00 PETANG

BERTEMPAT DI

POKOK GETAH PERTAMA MALAYA, KUALA KANGSAR PERAK

 

Bismillahirrahmannirahim 

(SALUTASI)

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani. 

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggitinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, pegawai-pegawai Kementerian serta tidak dilupakan wakil pekebun-pekebun kecil getah di sekitar Kuala Kangsar dalam menjayakan Program Pelancaran Trek Komoditi 2023. Hadirin yang dihormati sekalian, 

2. Sejak beberapa dekad yang lalu, ekonomi Malaysia telah mengalami perubahan struktur daripada ekonomi berasaskan perladangan kepada ekonomi perindustrian. Walaupun begitu, sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, 2 sektor perladangan dan komoditi menjadi teraju dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Sektor ini juga merupakan antara penyumbang utama pembangunan negara.

Hadirin yang dihormati sekalian, 

3. Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis yang diadakan pada petang ini. Trek Komoditi merupakan program turun padang untuk bertemu pelanggan dan pemegang taruh Kementerian Perladangan dan Komoditi. Tahun 2023 menyasarkan tiga zon iaitu Utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Manakala Zon Utara Semenanjung menjadi destinasi pertama Trek Komoditi. 

4. Elemen utama Trek Komoditi ini ialah memperkasa Pekebun kecil dan pemegang taruh yang berkaitan. Selain itu, saya dapat berjumpa dengan tuan-tuan dan puan-puan, mendengar dan melihat sendiri pelaksanaan keberkesanan dasar, inisiatif dan insentif kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Kementerian sentiasa memastikan kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan oleh agensi serta inisiatif dapat memberikan impak kepada pekebun kecil terutamanya melibatkan produktiviti. 

5. Trek Komoditi merupakan satu perjalanan bagi mengumpul maklumat dan pandangan golongan sasar bagi merangka dasar dan mencari pendekatan proaktif dan efektif pekebun kecil dan pemain industri termasuk pengusaha sektor agrikomoditi. Usaha ini merupakan langkah proaktif kementerian dalam mempercepat usaha kerajaan merangsang dan meningkatkan ekonomi negara. Penganjuran Trek Komoditi adalah bertepatan dengan Konsep Malaysia Madani iaitu: 

(a) Kemampanan – penghasilan produk agrikomoditi yang lestari hasil daripada sektor perladangan dan komoditi negara; 

(b) Kesejahteraan – keseimbangan serta keharmonian ekonomi antara penduduk di bandar dan luar bandar yang mengusahakan produk berasaskan agrikomoditi; 

(c) Daya cipta – memupuk dan membudayakan inovasi di sektor agrikomoditi; 

(d) Hormat – membina imej sektor perladangan sebagai bidang yang berpotensi tinggi, bermaruah serta mampu membangunkan ekonomi negara sejak berabad; 

(e) Keyakinan – menanam keyakinan dan menyanjung tinggi terhadap produk agrikomoditi Malaysia yang bertaraf dunia; dan 

(f) Ihsan – konsep mengambil peduli dan belas kasihan kepada seluruh rakyat dengan memberi peluang yang saksama kepada semua, dalam kepelbagaian agama, bangsa dan latar belakang serta budaya.

Hadirin yang dihormati sekalian, 

6. Lokasi Kuala Kangsar telah dipilih sebagai lokasi acara Flag Off bagi program ini kerana terdapat nilai sejarah industri getah asli bertapak di Malaysia. Ia bermula sejak 1877 apabila 11 anak pokok getah yang dibawa oleh H. J. Murton dari Taman Botani, Singapura ke negara ini berjaya ditanam dan hidup subur. Biji benih asal dipungut dari lembah Hutan Hujan Amazon di Brazil dan disemai di Kew Gardens, England dan dibawa ke rantau Asia oleh Henry Nicholas Ridley. 

7. Sembilan daripada 11 anak pokok getah telah dibawa ke Kuala Kangsar untuk ditanam dan mula berbunga pada 1880 dan mengeluarkan buah pada 1881. Pada hari ini, salah satu pokok getah pertama negara masih teguh berdiri bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar di sini. Pokok getah ini telah pun berusia lebih kurang 146 tahun dan menjadi sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pelancaran Trek Komoditi. 

8. Perjalanan Trek Komoditi Zon Utara Semenanjung ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada hari ini, 10 Jun 2023. Antara aktiviti yang telah dijadualkan adalah sesi libat urus dan sembang santai bersama pekebun kecil, belia dan komuniti serta demonstrasi dan pameran peralatan mekanisasi sektor agrikomoditi. 

9. Selain itu, beberapa lokasi telah dipilih iaitu Sungai Bakap, Pulau Pinang untuk melihat perusahaan sektor perkayuan. Seterusnya, Trek Komoditi akan ke negeri Kedah bagi meninjau lebih dekat industri Getah di Baling dan perusahaan kecil Koko di Kodiang, Kedah. Pada hari ketiga, Trek Komoditi akan ke Perlis iaitu daerah Chuping dan Beseri bagi meninjau sektor industri Kenaf.

10. Trek Komoditi 2023 ini juga akan diteruskan kepada dua zon lagi iaitu Zon Sabah dan Sarawak bagi eksplorasi menarik sektor agrikomoditi yang lain iaitu sawit dan lada hitam. Melalui libat urus dan program seumpama ini, adalah diharapkan agar kelestarian produk agrikomoditi akan dapat dicapai dengan menyeluruh. Di samping itu, Kementerian ini juga sentiasa menggalakkan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pertanian pintar (smart farming) serta aplikasi berasaskan Internet Pelbagai Benda (Internet of Thing - IoT) yang terbukti dalam peningkatan produktiviti sektor perladangan dan komoditi. 

11. Sekali lagi, saya ingin menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati kerana diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk berada di Kuala Kangsar pada hari ini. Saya turut ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. 

12. Semoga kerjasama yang erat sebegini akan dapat diteruskan di masa hadapan. Saya mendoakan kesihatan tuan-tuan, puan-puan kesemuanya dan berharap agar kita 7 semua dapat bekerja lebih gigih, berdedikasi dengan penuh integriti demi kemajuan negara kita yang tercinta. 

AKHIR KATA, DENGAN LAFAZ BISMILLAHHIRRAHMAN NIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA MERASMIKAN DAN MELANCARKAN PROGRAM TREK KOMODITI 2023 ZON UTARA SEMENANJUNG MALAYSIA PADA HARI INI. 

Sekian, 

wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh. 

Terima kasih.