UCAPAN 2021

Jata

TEKS UCAPAN


YB DATO’ SRI DR. WEE JECK SENG
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN
KOMODITI


MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN
(MoU) ANTARA MTIB, SIRIM STS SDN. BHD. DAN MTC
DEWAN PERSIDANGAN MTIB, TINGKAT 13 MENARA PGRM,
CHERAS KUALA LUMPUR


9 APRIL 2021



Yang Berbahagia Datuk Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi


Yang Berusaha Encik Mohd Kheiruddin Mohd Rani
Ketua Pengarah
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)


Yang Berusaha Encik Muhtar Suhaili
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC)


Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan
SIRIM Berhad


Yang Mulia Raja Yahya Raja Ariffin
Ketua Pegawai Eksekutif
SIRIM STS Sdn. Bhd.


Wakil-wakil Kementerian, Agensi Kerajaan dan Swasta


Persatuan Perkayuan dan Pengusaha Perabot


Rakan-rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.


Salam Sejahtera dan Selamat Pagi.


2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kerana sudi menjemput saya untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTIB, MTC dan SIRIM STS Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan Factory Transformation Programme (FTP). Tahniah dan syabas kepada pihak-pihak yang bersama-sama terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,


3. Penggunaan teknologi tinggi merupakan penyelesaian terbaik bagi industri perkayuan untuk kekal berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa. Industri tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional dan harus berubah ke arah penggunaan digital dalam sistem pengeluaran di kilang.

4. Selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, penggunaan teknologi tinggi juga dapat membantu syarikat menguruskan kos operasi dengan lebih cekap dan berkesan. Cabaran baharu kepada industri perkayuan di negara ini memerlukan perubahan,  seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing di pasaran global.


5. Oleh yang demikian, kerjasama strategik di antara ketiga-tiga agensi MTIB, MTC dan SIRIM STS ini merupakan inisiatif terbaik dan tepat pada masanya dalam usaha untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam industri perkayuan negara selaras dengan hasrat Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan juga perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) di negara kita.


Tuan-tuan dan puan-puan,


6. Saya telah dimaklumkan bahawa objektif utama FTP ini adalah:


i. Menyokong dan membantu syarikat industri perkayuan supaya terlibat dalam menjalankan penilaian dan kajian diagnostik kilang untuk mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui aplikasi alat dan teknik Green 5S dan Pengurusan Lean;


ii. Melatih syarikat pembuatan di lokasi / premis bagi meningkatkan penggunaan dan pelaksanaan Green 5S, Kualiti Alat dan Teknik, Pengurusan dan Inovasi serta Pengurusan Lean;


iii. Mengenal pasti serta membangunkan Panduan dan Amalan Baik yang sesuai untuk diadaptasikan oleh syarikat; dan


iv. Membimbing syarikat pembuatan mengenal pasti platform teknologi informasi (IT) yang relevan dan teknologi Internet of Things (IoT) secara kerjasama dengan syarikat Solution Provider.


7. Saya dimaklumkan juga tempoh perlaksanaan FTP ini adalah selama 1 tahun dan sebanyak 14 buah syarikat perkayuan terdiri dari sektor industri perabot terlibat dalam program ini. Manakala jumlah geran bagi pelaksanaan program ini disediakan sebanyak RM1.4 juta. SIRIM STS Sdn. Bhd. akan membiayai sebanyak 80% yuran penyertaan bagi peserta yang menyertai program ini dan baki 20% lagi akan dibiayai oleh pihak MTC. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SIRIM STS Sdn. Bhd. dan MTC di atas persetujuan untuk membiayai keseluruhan kos FTP ini.


Tuan-tuan dan Puan-puan,


8. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas inisiatif ini khususnya kepada MTIB selaku penyelaras dan peneraju utama bagi program-program automasi, mekanisasi, digitalisasi dalam Industri Perkayuan Negara. MTIB telah mula menganjurkan program Pengurusan Lean pada tahun 2014 dan Green 5S pada tahun 2015. Sepanjang tempoh 2014 hingga 2019, sebanyak 171 buah syarikat perkayuan telah menerima manfaat dari kedua-dua program tersebut iaitu sebanyak 80 buah syarikat bagi program Pengurusan Lean dan 91 buah syarikat bagi program Green 5S. Selain itu, kedua-dua program tersebut telah berjaya merekodkan penjimatan bernilai RM89.6 juta hasil daripada peningkatan kecekapan pengoperasian syarikat syarikat yang terlibat. Pada tahun 2021, MTIB akan meneruskan aktiviti yang sangat bermanfaat ini dan akan menerbitkan satu buku rujukan yang berjudul “Aplikasi Lean dalam Industri Perkayuan”.


9. Saya juga berharap agar syarikat-syarikat yang menyertai program ini dapat memberikan komitmen yang jitu dan memanfaatkan sepenuhnya penyertaan dalam program ini. Penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti ini semestinya dapat memperkasakan industri kita dalam mendepani persekitaran persaingan yang semakin sengit dan mencabar kini.


10. Tidak lupa juga ucapan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada jemputan kita pada hari ini termasuk rakanrakan media yang sudi meluangkan masa untuk menyaksikan Majlis MoU kita pada hari ini. Tanpa sokongan dan kerjasama anda semua yang terlibat sudah pastinya majlis ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.


Tuan-tuan dan puan-puan,


11. Dengan termeterainya MoU ini, adalah menjadi harapan KPPK agar kerjasama ini dapat membantu Industri Perkayuan Negara untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan dan menyumbang dalam perkembangan ekonomi negara.


12. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan KPPK mengalu-alukan kerjasama strategik seumpama ini di masa akan datang demi kebaikan dan manfaat kepada Industri Perkayuan di Malaysia.


Sekian, terima kasih

Jata

TEKS UCAPAN


YB DATO’ SRI DR. WEE JECK SENG
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


SEMPENA


MAJLIS PERASMIAN PROJEK RINTIS PEMANTAUAN DAN PELAPORAN
TRANSAKSI BUAH TANDAN SEGAR DI KAWASAN TANJUNG PIAI,
JOHOR


AHAD, 28 MAC 2021
KUKUP GOLF COURSE RESORT, TANJUNG PIAI, JOHOR

 


Yang Berusaha En. Mad Zaidi Mohd Karli
Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi)
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi


Yang Berusaha Dr. Ramle Moslim
Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)


Dif-dif jemputan


Rakan-rakan Media


Tuan-tuan dan puan-puan, sidang hadirin sekalian

 

Salam Sejahtera dan Selamat Petang


Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Rintis Pemantauan dan Pelaporan Transaksi Buah Tandan Segar di Parlimen Tanjung Piai pada petang ini. Projek ini adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan dalam industri sawit. Saya amat berbesar hati kerana Tanjung Piai telah dipilih sebagai lokasi pertama untuk pelaksanaan projek rintis ini.


2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB giat melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan lagi penyertaan dari pihak industri termasuk pekebun kecil persendirian untuk mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan. Ini bagi memastikan para pengusaha tanaman sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara cekap dan mampan bagi kemajuan industri dan sekali gus memperluaskan pasaran minyak sawit negara.


3. Sebagai negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, pengeluaran minyak sawit mampan atau Certified Sustainable Palm Oil (CSPO) adalah penting bagi perdagangan minyak sawit. Ini kerana minyak sawit Malaysia dieksport ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran Eropah yang memberi keutamaan terhadap pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan. Selain negara-negara EU, pengimport-pengimport utama sawit dunia seperti India dan China juga sudah mula menekankan pembelian minyak sawit mampan.

Tuan-tuan dan puan-puan,


4. Projek rintis ini akan melibatkan seramai 6,045 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit dengan keluasan 11,954.21 hektar, 33 peniaga buah sawit (DF) dan satu kilang sawit di dalam Parlimen Tanjung Piai. MPOB telah menubuhkan tiga Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) iaitu SPOC J18, J19 dan J20 dalam usaha untuk membantu pekebun kecil persendirian
dipersijilkan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Tanjung Piai. Sehingga kini, sebanyak 43 SPOC telah dipersijilkan MSPO yang membabitkan seramai 27,263 pekebun kecil dengan keluasan 69,969.46 hektar di negeri Johor. Di Tanjung Piai, sebanyak 1,770 pekebun kecil dengan keluasan mencecah 4,100 hektar telah dipersijilkan MSPO.


5. Bagi menyokong perkembangan industri sawit negara, MPOB sedan membangunkan satu sistem secara dalam talian bagi tujuan pemantauan dan pelaporan urus niaga buah tandan segar (BTS) dalam kalangan pekebun kecil persendirian dan peniaga BTS. Sistem ini dibangunkan bagi menggalakkan lebih ramai pekebun kecil persendirian mengamalkan penyimpanan rekod
penyelenggaraan kebun dan rekod hasil BTS yang tepat. MPOB sukar untuk menyediakan khidmat pengembangan yang cekap tanpa maklumat lengkap berkenaan hasil, kos pengeluaran serta keuntungan yang diperolehi oleh pekebun kecil persendirian.


Tuan-tuan dan puan-puan,


6. Pada masa kini, tiada sistem yang spesifik untuk merekod hasil dan harga BTS oleh pekebun kecil persendirian. Ini menyebabkan kesukaran kepada MPOB untuk mendapatkan rekod hasil sawit individu secara dalam talian untuk pemantauan seperti penjualan BTS yang dicuri, penjualan tanpa lesen, penggunaan lesen orang lain tanpa kebenaran, penetapan harga yang diterima
oleh pekebun dan lain-lain isu. Di samping itu, data hasil merupakan salah satu kriteria penting yang akan dinilai di bawah Pensijilan MSPO. Dengan pembangunan sistem seperti ini, aspek kebolehjejakan (traceability) dalam skim pensijilan MSPO juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan telus.


7. Isu kecurian BTS yang berlaku juga boleh dikaitkan dengan penggunaan lesen MPOB tanpa kebenaran bagi tujuan menjual BTS. Data hasil BTS yang menyeluruh dan tepat membolehkan agen pengembangan membandingkan data hasil dan mengenal pasti sebarang perbezaan hasil yang ketara yang diperoleh daripada pekebun kecil. Melalui pembangunan sistem ini, MPOB
dapat memantau hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian dengan lebih cepat dan tepat. Saya berharap sistem ini dapat memberi manfaat kepada semua yang terlibat iaitu pekebun kecil persendirian, peniaga buah dan MPOB. Projek rintis ini akan menjadi salah satu sistem nasional yang akan membolehkan pekebun kecil persendirian mendapat harga BTS yang lebih baik dan dapat mengelakkan kecurian buah sawit serta mengelakkan penipuan bacaan alat timbang di masa hadapan.


8. Saya ingin memaklumkan bahawa pekebun kecil sawit juga perlu mematuhi peraturan pelesenan MPOB dengan memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang. Pengeluaran lesen MPOB kepada pekebun kecil persendirian adalah secara percuma dan permohonan atau memperbaharui lesen boleh dilaksanakan di pejabat MPOB yang terdapat di seluruh negara atau melalui perkhidmatan dalam talian (online). MPOB akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk pekebun kecil persendirian yang menjalankan jual beli buah tandan segar (BTS) tanpa lesen termasuk tindakan mahkamah bagi membendung aktiviti seperti ini dalam industri sawit.

Tuan-tuan dan puan-puan,


9. Kerajaan melalui KPPK juga telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil sawit dalam gerakan koperasi. Penubuhan KPSM adalah bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil sawit bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Penyertaan pekebun kecil sawit dalam KPSM adalah bertujuan meningkatkan produktiviti sawit dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan. Pada masa ini, sebanyak 65 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dengan empat daripadanya terletak di negeri Johor.


10. Kerajaan juga akan menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada KPSM melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Ini dijangka akan memanfaatkan 65 KPSM dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil sawit.

Tuan-tuan dan puan-puan,


11. Sempena majlis pada hari ini, saya juga mengambil peluang untuk mengadakan sesi dialog bersama peniaga buah bagi mendapat maklum balas usaha-usaha meningkatkan pembangunan sektor sawit. Saya cukup yakin penglibatan semua pihak akan meningkatkan kesejahteraan industri sawit negara dan memberi pulangan hasil serta pendapatan yang lumayan kepada pengusaha.


Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Projek Rintis Pemantauan dan Pelaporan Transaksi Buah Tandan Segar di Tanjung Piai, Pontian.


Sekian, terima kasih