UCAPAN PERASMIAN
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

WEBINAR SEMINAR PEMINDAHAN TEKNOLOGI 2020
IBU PEJABAT MPOB
SELASA, 7 JULAI 2020

YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub
Pengerusi
Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Yang Berbahagia En. Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YBrs. Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera

[Saya berbesar hati berada di sini pada pagi ini mewakil Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk merasmikan acara yang sungguh bermakna bagi industri sawit. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin menyampaikan salam dan memohon maaf di atas ketidakhadiran beliau ke majlis pada hari ini disebabkan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Seterusnya, izinkan saya membaca teks ucapan beliau]

 

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita melafazkan kesyukuran kerana kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam Webinar Seminar Pemindahan Teknologi MPOB atau Transfer of Technology Seminar (TOT 2020).

2. Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada MPOB kerana atas inisiatifnya, buat pertama kali, MPOB telah berjaya menganjurkan Seminar Pemindahan Teknologi ini dalam bentuk webinar. Saya difahamkan seminar ini merupakan satu acara tahunan yang secara tradisinya dihadiri oleh semua pemegang taruh dalam industri sawit yang merangkumi dari sektor huluan hingga ke sektor hiliran, usahawan-usahawan, para saintis dan penyelidik, ahli-ahli akademik, ahli-ahli korporat dan juga golongan kakitangan sektor awam.

3. Sesungguhnya, penganjuran webinar seperti ini adalah antara norma baharu yang semakin meluas penggunaannya bagi menghebahkan maklumat secara dalam talian. Memandangkan kita kini masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting bagi memastikan usaha Kerajaan dalam menghapuskan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi yang diterajui oleh MPOB telah menyumbang kepada kepesatan pembangunan industri sawit negara. Perkembangan industri sawit telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta rakyat termasuk lebih 490,000 pekebun kecil sawit. Keluasan tanaman sawit yang mencecah hampir 6 juta hektar atau lebih 70% keluasan kawasan tanah pertanian negara telah menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit mentah setahun sekaligus menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM64.45 billion pada tahun 2019.

5. Pada masa yang sama, minyak sawit Malaysia telah dieksport ke lebih 160 buah negara untuk sektor pembuatan produk makanan dan juga bukan makanan. Minyak sawit mempunyai kelebihan berbanding minyak sayuran lain dari segi kos yang rendah; harga yang kompetitif; produk yang berkualiti dan berkhasiat; selain kaya dengan nilai pemakanan dan mempunyai pelbagai guna. Sememangnya sawit adalah salah satu komoditi anugerah tuhan kepada alam yang memberi manfaat kepada manusia sejagat. #Sawit Anugerah Tuhan!

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia telah memberi kesan kepada ekonomi global yang telah menjejaskan perdagangan dan aktiviti manusia. Begitu juga dengan aktiviti perdagangan minyak sawit negara yang tidak terkecuali daripada menerima kesan yang membimbangkan akibat daripada penularan wabak ini.

7. Menyedari akan hakikat dan situasi yang begitu mencabar, Kerajaan telah memberi kelonggaran kepada penggiat industri sawit untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan juga telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020 oleh YAB Perdana Menteri. Pelan ini adalah untuk memastikan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan segera tanpa melalui situasi yang lebih teruk lagi. Untuk melindungi industri sawit negara dari turut terkesan, Kerajaan telah memberikan pengecualian 100 peratus duti eksport minyak sawit mentah sehingga Disember 2020. Pengecualian ini akan merangsang aktiviti eksport dan menurunkan paras stok semasa minyak sawit negara dan kita berharap harga minyak sawit negara dapat distabilkan melalui kaedah ini. Alhamdulillah, purata harga yang direkodkan pada Jun 2020 adalah RM 2,191.50 berbanding RM2,074.00 pada bulan Mei 2020. Kita harapkan harga ini akan terus kukuh dan stabil.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Usaha yang sedang dilaksanakan tidak terhenti di situ sahaja. Untuk memastikan kedudukan industri sawit negara sebagai penyumbang utama ekonomi negara, terus kekal terpelihara, Kementerian sedang mengatur dan mengambil beberapa lagi langkah strategik dan drastik.

9. Antara langkah strategik yang sedang dilaksanakan termasuklah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan negara pengimport utama minyak sawit negara terutamanya negara India. Saya percaya kepada hubungan jalinan kerjasama yang baik dengan mana-mana negara akan mewujudkan situasi menang-menang (win-win situation) bagi kedua-dua belah pihak. Jadi tidak ada pihak yang rugi. Dengan cara ini, prestasi eksport industri sawit negara diharapkan akan lebih positif. Pada masa yang sama, Kementerian juga akan menumpukan usaha untuk meneroka pasaran baru seperti di rantau Timur Tengah dan benua Afrika selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di Eropah dan China.

10. Untuk makluman juga, Kementerian kini sedang merangka dasar dan strategi baru di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) yang akan bermula pada tahun 2021 sehingga 2025. Ini semua adalah bagi memastikan industri sawit negara untuk terus kekal relevan dan berdaya saing dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Saya dimaklumkan, sehingga ke hari ini, MPOB telah melancarkan sebanyak 667 teknologi dan 184 perkhidmatan untuk dikomersialkan. Pada tahun ini saja, sebanyak 15 teknologi baharu telah ditawarkan oleh MPOB. Tahniah dan syabas saya ucapkan! Saya juga difahamkan teknologi-teknologi ini adalah meliputi teknologi bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit, serangga perosak dan lain-lain. Inovasi teknologi baru yang ditawarkan oleh MPOB ini adalah berpotensi untuk dikomersialkan bagi meningkatkan produktiviti dengan kos yang rendah dan seterusnya mendatangkan pulangan pelaburan yang lebih baik.

12. Sememangnya, pengkomersialan teknologi sawit boleh memberi peluang perniagaan yang luas bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Sejajar dengan usaha Kerajaan dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Kementerian melalui MPOB turut memberi tumpuan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjana pendapatan dalam sektor komoditi. Teknologi yang bersesuaian ditawarkan kepada PKS yang berminat dalam pengkomersialan produk makanan dan kesihatan, produk kecantikan, produk industri dan jentera untuk penuaian dan pengangkutan buah sawit di ladang.
Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Saya berharap, pihak yang berminat untuk mengkomersialkan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB diberi peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat teknikal dan perundingan daripada MPOB untuk membangunkan produk termasuk penggunaan fasiliti penyelidikan dan loji rintis. Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan boleh mengikuti perbincangan dan penerangan melalui sesi Webinar ini dengan jayanya mengikut jadual yang dirancang.

14. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dan yang mengikuti seminar ini secara dalam talian. Saya yakin komitmen pihak industri untuk mengaplikasi teknologi baharu dan penglibatan usahawan dalam mengkomersialkan teknologi berkaitan sawit akan memberi impak positif kepada daya saing dan kemajuan industri sawit.

Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Webinar Seminar Pemindahan Teknologi MPOB 2020.

Sekian, terima kasih.

 

 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
7 Julai 2020