Jata

TEKS UCAPAN

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

 


MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KPPK

BERSEMPENA

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)  

DEWAN SERBAGUNA

09 SEPTEMBER 2020


 

بسم الله الرحمن الرحيم 

Yang Berhormat Tuan Willie Mongin
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Yang Berbahagia Tuan Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

Yang Berusaha Tuan Toisin Gantor
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) KPPK

Yang Berusaha
Encik Mad Zaidi bin Mohd Karli
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPPK

Setiausaha-setiausaha Bahagian

Pegawai-pegawai Kanan

Para Penerima APC yang diraikan

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

PENDAHULUAN

  • Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak kerana menganjurkan Majlis Perhimpunan Kementerian bersempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2020. Sesungguhnya, saya amat berbesar hati untuk hadir dan menyempurnakan majlis ini.
  • Sebelum itu, saya nak berpantun dulu

Jejaran mengkudu berbias kesuma,
Di celah angsana di Tanah jawa;
Ucapan aluan pembuka bicara,
Di Dewan Serbaguna KPPK kita bersua.

PENGIKTIRAFAN KEPADA PENJAWAT AWAM

  • Alhamdulillah pada petang ini, merupakan kali pertama saya bersua muka dengan hampir keseluruhan warga KPPK. Hari ini jua kita berada di majlis yang cukup bermakna bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan para pegawai dan warga KPPK yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta memberikan sumbangan terbaik sepanjang tahun lepas. Saya dimaklumkan seramai 20 orang warga KPPK telah terpilih sebagai penerima APC. Syabas dan tahniah diucapkan.

Hadirin hadirat sekalian,

TUGAS DAN PERANAN PEMIMPIN

  • Pemimpin boleh datang dan pergi. Pemimpin boleh sentiasa bersilih ganti. Namun, tugas, peranan dan tanggungjawab pemimpin adalah bagi mengekalkan kestabilan politik, berusaha untuk menunaikan kewajipan kami sebagai pemimpin yang terbaik demi agama, bangsa dan negara.
  • Pemimpin mempunyai visi, misi serta agenda demi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia. Pemimpin diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin politik yang bukan bersandarkan kepada politik sempit dan berkepentingan individu.
  • Dalam aspek pentadbiran, kita sentiasa berusaha mewujudkan suasana hubungan harmoni, mesra, akrab antara pemimpin dan rakyat khususnya warga KPPK. Keharmonian sudah pasti berhasil dengan nawaitu yang ikhlas, semangat kerjasama yang padu, erat lagi utuh antara warga dengan pemimpin. Mesti dilihat dari sudut positif, demi memastikan negara kita memperoleh kestabilan ekonomi terbaik dunia terutamanya sektor komoditi utama.
  • Selaku insan yang diamanahkan untuk menerajui KPPK, kita perlu mempunyai kebijaksanaan dan keberanian luar biasa dalam menangani sebarang isu, cabaran serta konflik khususnya dalam ekonomi dunia yang tidak stabil ekoran pandemik COVID-19 yang jelas memberi impak yang amat besar terhadap sektor ekonomi, pekerjaan malah jutaan tuntutan masyarakat pada masa kini.
  • Islam mengajar umatnya untuk memelihara kebajikan dan hak semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta adat resam. Islam mengajar ummah untuk sentiasa ikhlas dalam setiap perbuatan. Semua agama menuntut perkara yang sama demi kebaikan dan kesejahteraan sesama umat.
  • Kita semua sebagai penggerak KPPK harus sentiasa bermusyawarah sebelum menetapkan sesuatu keputusan yang muktamad dalam hal berkaitan kepentingan rakyat dan negaranya. Dengan adanya musyawarah, barulah semua pihak dapat berbincang kepentingan dan kebaikan semua.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

TUGAS DAN PERANAN WARGA KPPK

  • Saya berharap seluruh warga kementerian dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan penuh sikap Rabbani, setia kepada pemimpin, komited dalam tugas dan kerja yang diberikan, mengamalkan budaya kerja norma baharu yang lebih mementingkan persekitaran selamat dan kondusif serta menentukan integriti dan tadbir urus yang baik.

  • Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga KPPK yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bersama-sama bekerja dalam budaya norma baharu COVID-19 demi pencapaian sektor komoditi. Justeru, perubahan awal yang telah diluluskan selaras dengan dasar-dasar Kementerian, kita telah mengubah Visi dan Misi KPPK yang baharu.

VISI & MISI KPPK BAHARU

  • Visi - Menjadikan Malaysia peneraju agrikomoditi yang berdaya saing dan lestari di pasaran global bagi kemakmuran bersama.
  • Misi - Meningkatkan daya saing global Malaysia menerusi produk-produk agrikomoditi yang bernilai tinggi dan lestari.
  • Pindaan ini dibuat selaras dengan perubahan nama Kementerian daripada Kementerian Industri Utama kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta perubahan pucuk pimpinan yang baharu dan penggunaan terma agrikomoditi yang telah mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 Julai 2020.

ISTILAH AGRIKOMODITI

Penggunaan terma agrikomoditi telah mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Julai 2020.  Istilah agrikomoditi ini secara khususnya merujuk kepada aktiviti pertanian dibawah KPPK.  Pada masa ini, agrikomoditi merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENCAPAIAN KPPK BAGI TEMPOH ENAM BULAN (JANUARI HINGGA JUN 2020 )

  • Bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2020, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak 0 bilion, manakala imbangan dagangan (trade balance) adalah sebanyak RM45.5 bilion. Pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Nilai eksport komoditi mengalami sedikit peningkatan iaitu 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

  • Peningkatan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan oleh faktor peningkatan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan sarung tangan getah. Nilai eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM33.0 bilion berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Eksport produk-produk getah turut meningkat sebanyak 18.3 peratus bagi tempoh Janauri hingga Jun 2020 dengan nilai eksport sebanyak RM17.8 bilion. Walaupun nilai export mengalami peningkatan, kuantiti eksport produk agrikomoditi menunjukkan penurunan seperti peningkatan eksport produk-produk sawit telah menurun sebanyak 12.3 peratus kepada 12.1 juta tan.

  • Selain itu, pada suku kedua tahun 2020, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 7.1 peratus atau RM20.6 bilion kepada jumlah keseluruhan KDNK negara.

  • LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH KERAJAAN BAGI MENANGANI WABAK COVID-19

    (a) Pengoperasian Pejabat Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
    Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan penyampaian Perkhidmatan Awam sentiasa berada di tahap yang baik dan efektif di samping mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan pegawai termasuk dengan membenarkan Penjawat Awam untuk bekerja dari rumah (WFH). Langkah ini telah membantu mengurangkan risiko penularan wabak ini di kalangan Penjawat Awam.

    (b) Bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19, semua warga KPPK dipohon untuk mematuhi Standard of Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan      seperti memakai topeng muka ketika berada di tempat awam, mengamalkan jarak social, mengamalkan kebersihan tangan dan diri serta mendapatka rawatan segera sekiranya tidak sihat dan mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

    (c) Sistem Kawalan Kendiri MyCHASE merupakan kolaborasi yang terbaik yang dibangunkan oleh UNIZAR yang mana KPPK adalahsatu-satunya Kementerian yang memantau tahap kesihatan warganya diawal penularan COVID-19. Namun, kita tidak dapat menafikan kini, sistem MySejahtera digunakan sepenuhnya secara meluas.

    (d) 
    Insentif Yang Diberikan kepada Kementerian:
          (1) Meningkatkan eksport dan daya saing produk sawit melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).          
               -  
    Pengecualian 100% duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31                       Disember 2020. Jumlah kuantum pengecualian yang diberikan adalah sebanyak RM200 juta

          (2) Menyokong produktiviti agrikomoditi melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE PRIHATIN)

              -  Peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Mac 2020 bagi melaksanakan projek Bantuan Input Pertanian                    Pekebun Kecil di Bawah Sektor Perladangan dan Agrikomoditi pada tahun 2020.
              -  Peruntukan tambahan adalah secara one-off kepada pekebun kecil lada, koko dan kenaf.
              -  Pecahan peruntukan:
                (a) RM2.69 juta untuk sektor koko

                (b)16.11 juta untuk sektor lada; dan

                (c )1.2 juta untuk sektor kenaf 

  • Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula di Langkawi pada 1 Januari 2020 manakala, di Labuan bermula 15 Januari 2020. Namun, ianya adalah berdasarkan kesediaan naik taraf depoh pengadunan biodiesel dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum.

  • Saya telah membuat penyelarasan semula bagi Pelaksanaan Program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan ekoran Pandemik COVID-19 iaitu;
    i)   Sarawak pada 1 September 2020;

    ii)  Sabah pada 1 Januari 2021;
    iii) Semenanjung Malaysia pada 15 Jun 2021

  • Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun. Menerusi pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan, kira-kira 1.06 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.2 juta tan CO2 setara setahun.

  • Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada petang ini serta merakamkan penghargaan kepada semua penerima APC KPPK. Syabas dan tahniah sekali lagi. Dengan ini saya merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan KPPK dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun ini.

    Pohon berangan tempat bertemu,
    Girangnya rasa si anak dara;
    Baliklah tuan membawa ilmu,
    Binalah bangsa bangunkan negara

    Di atas dahan burung tempua,
    Melihat rusa tepi perigi;
    Salam perpisahan untuk semua,
    Lain masa bersua lagi.

    Sekian, terima kasih.

    KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
    09 SEPTEMBER 2020