KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI
UCAPAN YANG BERHORMAT TUAN WILLIE MONGIN
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 SEPTEMBER 2020, KUCHING, SARAWAK
Yang Berusaha Puan Kanagadevi Pachaiappan
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
Yang Berusaha Encik Stanley Liew
Ketua Pengarah, Lembaga Lada Malaysia
Encik Philip Gaweng
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Lada Malaysia
Encik Langgi Chaling
Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran & Perniagaan, Lembaga Lada Malaysia
Para peserta kursus
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Selamat pagi dan salam sejahtera,
Saya amat berbesar hati kita dapat bertemu dalam suasana yang harmoni sempena Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5 Tahun 2020 dalam suasana norma baharu pada hari ini. Walaupun norma baharu, tetapi tugas dan tanggungjawab kita tetap perlu dilaksanakan. Tahniah saya ucapkan ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) atas inisiatif penganjuran program seumpama ini.
2. Hari ini merupakan majlis penutup Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5 Tahun 2020 yang telah diadakan selama dua hari bermula semalam. Saya difahamkan seramai 46 peserta yang menyertai bengkel pembangunan agropreneur ini dan saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk bertemu dengan semua bakal usahawan lada yang telah menyertai kursus ini dengan jayanya.
3. Bengkel ini dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan usahawan mengenai keusahawanan seperti pendaftaran dan pembiayaan perniagaan, persijilan halal, penguatkuasaan dan pelesenan serta potensi pasaran untuk usahawan lada yang mana saya yakin bahawa asas-asas ini amat penting sebelum memulakan perniagaan. Diharap melalui bengkel ini, para peserta dapat meningkatkan kualiti produk-produk berasaskan lada dengan harga yang lebih tinggi dan meneruskan pertumbuhan dan pembangunan sektor hiliran lada bersama pihak MPB, sama ada sebagai usahawan food product ataupun non-food product.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Keusahawanan adalah penting dalam dunia perniagaan hari ini. Ia menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi. Secara umumnya, peranan keusahawanan dalam pembangunan ekonomi bukan setakat meningkatkan kadar per kapita pengeluaran dan pendapatan, ia juga melibatkan perubahan kepada struktur perniagaan dan masyarakat. Malah, medium pemasaran produk juga kini semakin berkembang menerusi e-dagang seperti Lazada, Zalora, Shopee, Alibaba Carousell, eBay dan sebagainya.
5. Selain itu, terdapat juga peniaga yang memasarkan produk mereka melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram atau menggunakan khidmat selebriti dan social media influencer untuk membantu mempromosikan produk. Kesemua platform ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga. Maka tidak hairanlah jika pada masa ini semakin ramai masyarakat terutamanya golongan belia berminat untuk menceburi bidang perniagaan yakni secara dalam talian (online) dengan menerokai potensi diri walaupun hanya menjual kerepek pisang, aksesori, produk penjagaan kulit wajah, pakaian mahupun alatan kosmetik.
6. Hal ini merupakan satu perkembangan positif yang berlaku di negara kita kerana ia bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber dan kepakaran diri, tetapi ia juga menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan dan saya yakin bahawa sekiranya diberikan peluang, golongan yang berpotensi ini pasti dapat mengembangkan perniagaan kecil-kecilan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Saya difahamkan bahawa sebelum ini juga terdapat beberapa program agropreneur yang telah diadakan di Sibu, Bintulu, Sabah dan Johor yang telah mendapat sambutan daripada bakal usahawan lada di kawasan tersebut dan saya percaya ia merupakan satu titik tolak buat mereka yang berhasrat untuk menceburi bidang keusahawanan.
8. Program agroprenuer ini juga melahirkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti produk makanan dan bukan makanan di bawah bimbingan MPB seperti MDF Global Sdn. Bhd., Joeyees Trading, AJ Truly Spices, Puhus Pepper Plantation Sdn. Bhd., Amaris Plantation, MUSC Food Industries Sdn. Bhd., Quality Spice dan lain-lain lagi telah membuktikan bahawa kementerian melalui MPB serius dalam melahirkan lebih ramai usahawan komoditi lada di negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Bagi merancakkan lagi penglibatan serta penyertaan masyarakat dalam bidang agropreneur, kerajaan melalui MPB telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Pembangunan Pemasaran yang diperuntukkan untuk pembelian mesin atau bahan asas pengilangan bagi kegunaan penghasilan produk lada atau produk berasaskan lada sahaja.
10. Oleh yang demikian, peserta yang berminat boleh membuat permohonan pembiayaan daripada MPB atau dimuat turun dari laman web rasmi MPB. Untuk makluman semua, pada tahun 2019, seramai lima usahawan hiliran lada bimbingan MPB telah menerima bantuan mesin atau bahan asas pengilangan melalui program ini.
11. Selain itu, di bawah Program Pembangunan Usahawan yang dilaksanakan oleh MPB, usahawan turut didedahkan dengan pelbagai kursus dan latihan yang berkaitan dalam pembangunan produk tambah nilai. Program ini mempelbagaikan lagi penggunaan lada secara inovatif dan komersial serta mengembangkan perniagaan mereka melalui penyertaan dalam pameran tempatan dan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di dalam negara.
12. Maka pekebun kecil lada dan orang awam yang berminat dan serius untuk menceburi bidang keusahawanan terutamanya dalam menghasilkan produk tambah nilai berasaskan lada, amat digalakkan untuk menyertai program seperti ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Saya yakin 46 peserta yang hadir untuk mengikuti kursus pada hari ini pastinya mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Namun anda perlu ingat, perjalanan anda sebagai seorang usahawan ini masih jauh dan bakal berdepan dengan pelbagai cabaran.
14. Nasihat saya pada anda, bidang keusahawanan ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi, anda perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan. Komitmen yang berterusan ditambah lagi dengan semangat tidak mudah mengalah haruslah menjadi semangat rutin sebagai seorang usahawan. Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran adalah merupakan asas dalam menentukan hala tuju perniagaan anda.
15. Selain itu, bakal usahawan juga diseru untuk menerokai pengetahuan dan kemahiran dalam aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan kerana ia mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk serta perkhidmatan yang diusahakan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
16. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada pihak MPB kerana telah berjaya menganjurkan program seumpama ini yang pastinya memberi manfaat kepada bakal usahawan sekalian.
17. Tahniah juga diucapkan kepada para peserta bengkel yang terlibat atas komitmen anda untuk hadir dan terlibat dalam bengkel ini. Diharapkan agar segala ilmu dan perkongsian yang anda peroleh dapat digunakan sebaik mungkin dalam memulakan perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan. Justeru, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan, peserta kursus yang hadir pada hari ini untuk terus gigih berusaha meningkatkan pengeluaran produk-produk berasaskan lada.
18. Akhir kata, saya secara rasminya menutup Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5 Tahun 2020.
Sekian, terima kasih.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching, Sarawak
22 September 2020