UCAPAN YANG BERHORMAT
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MAJLIS PENUTUP
KURSUS LANJUTAN TEKNOLOGI KOKO PASCA TUAI DAN
PELANCARAN BANTUAN PRIHATIN KOKO 2020
HOTEL PERKASA MOUNT KINABALU
22 OGOS 2020, RANAU, SABAH
Yang Berusaha Dr. Aliakbar Gulasan
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia
Yang Berusaha Dr. Ramle bin Hj. Kasin
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Lembaga Koko Malaysia
Yang Berusaha Tuan Mohd Yassin Ibrahim
Pegawai Daerah Ranau
Para peserta kursus
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Assalamualaikum WBT dan selamat pagi.
Bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya kita dapat bertemu dalam suasana yang harmoni sempena program Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai peringkat Negeri Sabah serta pelancaran Bantuan PRIHATIN Koko 2020 di Sabah. Tahniah saya ucapkan ke Lembaga Koko Malaysia (LKM) atas inisiatif penganjuran program seumpama ini.
2. Hari ini merupakan hari penutup kepada Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai yang telah diadakan selama dua hari dari 20 hingga 22 Ogos 2020. Saya difahamkan bahawa seramai 100 orang peserta telah menyertai kursus lanjutan ini, iaitu seramai 50 orang peserta dari Ranau, 40 orang peserta dari Tenom dan Pantai Barat Sabah serta 10 orang peserta dari Tawau. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kursus kerana berjaya menghadiri kursus ini.
3. Kursus ini telah menekankan kepentingan aktiviti pasca tuai bagi menghasilkan biji koko kering yang berkualiti tinggi selaras keperluan pengusaha coklat. Para peserta kursus telah didedahkan kepada teknologi lanjutan tanaman koko seperti teknologi tuaian, pemprosesan biji koko basah, pengeringan biji koko, tatacara pengesanan kualiti biji koko kering. Diharap melalui kursus ini, para peserta dapat meningkatkan kualiti hasil biji koko kering agar dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi.
4. Kursus pada hari ini juga bertujuan meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko yang dihasilkan oleh pekebun kecil koko selaras dengan matlamat untuk membangunkan lebih ramai pengeluar biji koko kering single origin dan fine flavour yang menawarkan nilai pasaran sehingga dua kali ganda lebih tinggi dari harga pukal. Kini, beberapa orang pengusaha coklat single origin dan fine flavour telah mula beroperasi di Malaysia, termasuk tiga orang pengusaha di Sabah. Penekanan ke atas pengeluaran single origin dan fine flavour ini akan memastikan keunikan aroma biji koko kering mengikut kawasan terpelihara di samping meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Industri koko bukan sahaja telah mencapai prestasi yang memberangsangkan daripada segi pemprosesan domestik tetapi juga dalam penguasaan pasaran. Malaysia telah berjaya menguasai lebih 50 peratus daripada syer pasaran dunia bagi lemak koko dan serbuk koko. Pasaran bagi produk-produk koko juga telah menembusi lebih 117 buah destinasi pasaran termasuk Eropah Timur dan Afrika Utara sebagai pasaran baharu di samping Eropah Barat dan Amerika Syarikat sebagai pasaran tradisional.
6. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pesat sektor pengisaran serta penguasaan pasaran produk-produk koko ini tidak disokong dengan pengeluaran biji koko kering. Kemerosotan pengeluaran biji koko kering semenjak dua dekad yang lalu menjadi halangan utama kepada pertumbuhan industri koko untuk berdaya tahan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang. Pemain sektor huluan koko yang dipacu oleh pekebun kecil kurang bersedia berhadapan cabaran industri pertanian yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti harga komoditi, kos input pertanian dan juga kawalan penyakit dan perosak. Sehubungan itu, satu kerangka dasar dan hala tuju strategi yang berkesan akan dirangka bagi menangani isu pengeluaran dan bekalan biji koko kering supaya pencapaian industri koko sedia ada berupaya dipertahankan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Pada tahun ini, LKM memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keluasan tanaman koko, pengeluaran biji koko kering koko dan pendapatan pekebun kecil koko melalui Program Tanaman Baharu Koko Kluster, Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti, melibatkan kawasan tanaman koko di Sabah seluas 2,051 hektar.
8. Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko merupakan salah satu projek pembangunan LKM yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMKe-11) dengan peruntukan sebanyak RM52 juta. Program kluster koko ini berkonsepkan pembangunan rantaian nilai koko Farm to Table iaitu dari kebun terus ke produk akhir, coklat dengan penglibatan komuniti atau kluster terpilih secara terbimbing. Melalui usaha ini, LKM akan membangunkan rantaian nilai di sepanjang peringkat pengeluaran koko merangkumi peringkat huluan (upstream), pertengahan (mid-stream) dan juga hiliran (downstream).
9. Kluster koko berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana ia mengeluarkan hasil keluaran koko setempat (single origin). Dalam hal ini, program ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil koko serta usahawan koko. Tiga (3) kluster akan dibangunkan di bawah program ini iaitu Ranau Highland Cocoa Cluster di Sabah, SARA Cocoa Cluster di Sarawak dan Peninisular Cocoa Belt.
10. Ranau Highland Cocoa Cluster di Sabah melibatkan 1,015 orang pekebun kecil koko sekitar Ranau yang membekalkan biji koko ke kompleks Kluster Koko yang akan dibina di Kg. Napong, Ranau. Kompleks ini akan memproses biji koko sehingga terhasilnya produk coklat dan dijenamakan sebagai Highland Single Origin Cocoa. Aktiviti penjualan hasil koko dan coklat akan dipertanggungjawabkan kepada Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad yang dianggotai oleh 148 orang pekebun kecil koko, usahawan koko dan pegawai LKM.
11. Pendekatan Koperasi Kluster Koko ini mampu memperkasa pekebun kecil dengan meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan pekebun kecil koko; memperluaskan pasaran produk koko dan coklat; serta memangkinkan pembangunan ekonomi penduduk setempat. Alhamdulillah dan tahniah atas penubuhan koperasi tersebut yang akan memberi peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan tambahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Sampel biji koko dari Ranau telah dihantar untuk menyertai pertandingan antarabangsa iaitu Cocoa of Excellence Programme, anjuran Biodiversity International di Paris, Perancis. Program dwi-tahunan ini dianjurkan bertujuan mengiktiraf kualiti biji koko yang dihasilkan oleh pekebun koko dari seluruh dunia. Kita berbangga kerana biji koko kering yang dihasilkan oleh Encik Nujarin Angandong, pekebun kecil dari Kg. Togis, Ranau telah dianugerahkan International Cocoa Awards, kategori perisa buah-buahan pada tahun 2012. Manakala, pada tahun 2017 pula, En. Jonisin Tambi, pekebun kecil dari Kg. Togis Laap, Ranau turut dianugerahkan ‘Best 50-Entrans Cocoa Sample’. Adalah menjadi harapan saya agar akan ada lebih penyertaan dari kawasan lain di Sabah yang turut menyertai program tersebut dan memenangi anugerah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
13. Pencapaian membanggakan kedua-dua pekebun kecil ini sudah pastinya ada kunci dan rahsianya. Suka saya berkongsi dengan semua yang hadir satu akronim yang boleh menjadi panduan kita bersama iaitu K.A.I.S di mana K bermaksud Kuat, A adalah Amanah, I pula bermakna Ihsan dan S ialah Sabar. Perkataan KAIS itu sendiri melambangkan usaha mengais iaitu mencari peluang, membuka ruang, meneroka sesuatu yang baharu, pendek kata ia adalah perbuatan yang yang melambangkan pelakunya tidak duduk diam dan sentiasa berusaha.
14. KUAT itu bermaksud pengusaha, pekebun kecil mesti memiliki jasad dan ilmu pengetahuan yang kuat serta gagah. Manakala AMANAH pula bahawa untuk menjadi usahawan mestilah jujur dan amanah kerana jika tidak, akan memberi kesan kepada jenama atau produk yang dihasilkan. IHSAN ini saya merujuk kepada perkataan ‘Ahsana’ iaitu buat benda dengan elok dan baik yang bermaksud, sentiasa menyediakan produk yang terbaik untuk dijual kepada pelanggan atau pembeli. Dan yang terakhir ialah SABAR, ini adalah kunci kejayaan kerana kita semua tahu tidak senang untuk menjadi senang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
15. Sepertimana kita sedia maklum, seluruh dunia termasuk Malaysia telah ditimpa musibah pandemik COVID-19 dan Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 hingga 13 Mei 2020 dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Ogos 2020. Arahan PKP ini telah menyebabkan pekebun kecil koko tidak dapat menguruskan tanaman dan menjual hasil biji koko. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk meringankan beban pekebun kecil. Bantuan insentif input pertanian diagihkan dalam bentuk baucar kepada peserta program tanaman koko LKM yang berdaftar. Nilai bantuan sejumlah RM2.69 juta diperuntukkan untuk pekebun kecil koko berdaftar di seluruh Malaysia. Bagi Negeri Sabah, sejumlah RM1.62 juta diperuntukkan melibatkan 2,725 orang pekebun kecil koko. Daripada nilai tersebut, sebanyak RM910,400 diperuntukkan bagi kawasan Ranau.
16. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat menarik minat orang ramai amnya dan Sabah khususnya untuk melibatkan diri secara aktif dalam industri koko sekali gus meningkatkan sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara.
17. Akhir kalam, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan, peserta kursus yang hadir pada 2 hari ini akan terus gigih berusaha meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko kering. Saya juga merakamkan tahniah kepada LKM kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini. Diharapkan program ini akan dapat memberi manfaat kepada semua, Insha Allah.
Sekian, terima kasih.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 OGOS 2020