UCAPAN MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK
DI PERHIMPUNAN MPI BIL 1/2019 & “AMANAT TAHUN BAHARU 2019”
9.00 PAGI, 10 JANUARI 2019 (KHAMIS)
DEWAN SERBAGUNA, KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA


Terima kasih Saudara Pengacara Majlis;

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Mohd Akin,
Timbalan Menteri Industri Utama

YBhg Dato' Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha
Kementerian Industri Utama;

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha;

Ketua-ketua Pengarah Agensi; Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Majlis; dan Semua warga MPI;
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Negaraku Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakam rasa syukur kerana dapat bersama-sama dengan seluruh warga MPI, wakil-wakil Agensi dan Majlis di Perhimpunan MPI pertama bagi tahun 2019 dan Amanat Tahun Baru 2019. Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada para hadirin sekalian.

2. Enam bulan telah berlalu sejak saya mengemudi Kementerian ini selaku Menteri Industri Utama yang dilantik selepas Pakatan Harapan mengambilalih Kerajaan. Dalam tempoh ini saya telah menimba banyak ilmu tentang hal-hal berkaitan dengan Kementerian termasuklah peranannya untuk mempertahankan kedudukannya sebagai sektor penting dalam ekonomi negara.

3. Dalam perjalanan ini, kita terus berdepan dengan cabaran-cabaran bukan sahaja daripada penurunan harga-harga komoditi di peringkat global tetapi juga dalam usaha saya untuk membawa perubahan positif dalam tadbir urus Kementerian dan Kerajaan. Namun, saya berpandukan prinsip bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita ini haruslah dilaksanakan dengan penuh jujur, tekun, wibawa, integriti dan telus dengan keazaman tinggi untuk melakukan apa yang betul dan memperbaiki apa yang silap.

YB Datuk Seri/ YBhg Datuk/ Datin/ Tuan/ Puan,

4. Tahun 2018 telah menyaksikan cabaran yang sangat getir kepada pertumbuhan ekonomi negara, termasuk sektor agri-komoditi. Harga komoditi telah menjunam dan memberi kesan bukan hanya kepada nilai eksport negara, malah kepada pekebun-pekebun kecil. Namun, harga komoditi berkait dengan harga pasaran global yang tidak dapat dikawal kerajaan.

5. Namun, Kementerian tetap mengambil langkah proaktif bagi menghadapi keadaan ini. Sebagai contoh ialah pendekatan segera bagi menstabilkan harga sawit melalui peningkatan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum daripada Program B7 ke Program B10 bagi sektor pengangkutan mulai 1 Februari 2019 dan pengenalan Program B7 bagi sektor industri mulai 1 Julai 2019.

6. Langkah ini akan meningkat penggunaan minyak sawit domestik sebanyak sekitar 761,000 tan metrik setahun. Sepertimana saranan YAB Persana Menteri, kita juga berharap pelaksanan program B20 (iaitu adunan 20% biodiesel sawit dengan diesel petroleum) yang disasarkan pada tahun 2025 dapat dipercepatkan ke tahun 2020.

7. Kita juga berharap perkara ini diberi perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan yang sedang dirangka oleh MITI agar pada masa akan datang hanya kenderaan diesel yang boleh menerima adunan biodiesel lebih daripada 10% dijual di Malaysia. Mungkin kita juga boleh menggunakan peluang kemasukan industri kenderaan seperti Geely dari China sebagai asas negosiasi untuk penggunaan biodiesel.

PENCAPAIAN MPI SEHINGGA OKTOBER 2018

8. Bagi tempoh Januari hingga November 2018, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM154.3 bilion, berbanding RM165.3 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2017.

9. Bagi tempoh tersebut, jumlah eksport produk agrikomoditi berjumlah RM117.9 bilion, menurun sebanyak 8.5% berbanding RM128.9 bilion yang direkodkan pada tahun lepas. Jumlah ini adalah sebanyak 12.9% daripada nilai eksport negara.

10. Selain itu, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak 7.5% kepada jumlah keseluruhan KDNK negara. Walaupun menurun sebanyak 0.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017, jumlah sebanyak RM23.4 bilion masih lagi antara sektor penyumbang utama kepada KDNK negara.

RUMUSAN PROGRAM PEMUKIMAN 2019 MPI

11. Pada 4 hingga 6 Januari yang lalu, MPI, Lembaga dan Majlis di bawahnya telah mengadakan Program Pemukiman dan membincang pencapaian sektor komoditi sepanjang 2018, penetapan sasaran 2019/2020 dan sebagai persiapan kepada kajian semula Dasar Komoditi Negara yang akan berakhir pada 2020.

12. Objektifnya adalah agar segala pencapaian yang telah diperolehi dapat ditingkatkan dengan lebih cemerlang manakala segala kekangan yang dihadapi dapat diatasi bagi mempastikan kelangsungan keberhasilan komoditi negara kita. Justeru, beberapa strategi telah dikenalpasti yang saya yakin akan menjadi “game changer” kepada sektor komoditi negara.

13. Antara key takeaways sesi pemukiman tersebut adalah keperluan sektor-sektor komoditi kita untuk melihat kepada penjenamaan semula atau rebranding serta strategi pemasaran yang lebih agresif termasuk bagi produk-produk kita yang telahpun diiktiraf kualitinya sedunia seperti produk Sarawak pepper dan koko.

14. Begitu juga aktiviti-aktiviti huluan dan hiliran yang perlu dinilai semula dan kemungkinan menghentikan aktiviti-aktiviti yang tidak lagi berdaya maju. Kita juga perlu membentuk strategi-strategi pemasaran produk yang dibangunkan melalui R & D tempatan (homegrown) termasuk oleh agensi-agensi kita sendiri bagi diaplikasikan dengan meluas dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Ini termasuk teknologi seismic bearing serta rubberized road yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan.

15. Dalam mengorak langkah ke depan bagi membangunkan lagi komoditi negara, sesi pemukiman juga telah membincangkan kepentingan industry menerima pakai Revolusi Industri ke-4, dan menggalakkan penerapan teknologi blockchain serta idea tanaman masa hadapan atau future crops untuk memastikan komoditi negara kekal relevan sebagai penyumbang penting kepada sosio-ekonomi negara.

MATLAMAT DAN PENCAPAIAN PENTING BAGI MPI

MSPO

16. Dua perkara atau matlamat yang amat penting bagi kita pada tahun 2019 adalah Pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) serta Kempen Sayangi Sawitku. Kerajaan pada tahun 2017 memutuskan untuk melaksanakan pensijilan MSPO secara mandatori menjelang 1 Januari 2020 untuk meningkatkan imej industri sawit kita dan memenuhi permintaan negara-negara pengimport terhadap minyak sawit mampan.

17. Maka, Kementerian dan khususnya Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) mempunyai tahun ini sahaja untuk melipatkan gandakan usaha untuk mencapai sasaran ini. Dalam hal ini, MPOCC akan meminda kriteria pelesenan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi merangkumi pensijilan MSPO dalam syarat pelesenan MPOB.

18. MPOCC dan MPOB juga akan meningkatkan kerjasama dengan pihak industri, badan bukan Kerajaan dan Kerajaan Negeri dalam merangka pelan pelaksanaan MSPO. Program Jelajah MSPO akan diselaraskan untuk merangkumi semua sektor huluan dan hiliran, serta mengambil kira seluruh rantaian minyak sawit dalam pensijilan MSPO.

19. Sehubungan dengan itu, semua kilang-kilang sawit akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua pembekal TBS (tandan buah sawit) harus mengikut program pensijilan yang telah ditetapkan.

KEMPEN SAYANGI SAWITKU

20. Industri minyak sawit menghadapi ancaman daripada negara-negara Eropah yang meluluskan undang-undang dan peraturan untuk menghapuskan kegunaannya. Kempen anti-sawit juga agresif diadakan untuk mempengaruhi orang ramai dengan gambaran yang palsu dan negatif terhadap minyak sawit.

21. Malangnya, ramai rakyat Malaysia yang turut diperdaya oleh propaganda pihak-pihak yang mempunyai agenda untuk melindungi minyak sayuran yang menjadi pesaing kepada minyak sawit. Malah, sesetengah pasar raya tempatan didapati menjual produk import yang mempunyai label "no palm oil".

22. Segala usaha Kerajaan menangani sentimen anti-minyak sawit di peringkat global tidak bermakna sekiranya rakyat Malaysia sendiri tidak yakin dengan minyak sawit kita. Jesteru itu, kempen “Sayangi Sawitku” akan diadakan sepanjang tahun 2019 di peringkat nasional.

23. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan kelebihan sawit kepada kesihatan dan alam sekitar, serta peranannya dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Aktiviti dan program akan mensasarkan pihak industri, golongan profesional, pelajar, akademik dan orang awam.

24. Pihak industri, organisasi, NGO dan individu-individu digesa untuk menyertai kempen ini agar mesej kita tersebar luas dengan berkesan. Begitu juga setiap warga Kementerian, Lembaga dan Agensi di bawahnya, harus berperanan sebagai ‘Duta Minyak Ssawit’ dan bantu menyebarkan maklumat tepat mengenai ini kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan orang awam kerana kejayaan kempen ini adalan kejayaan kita semua.

PERANCANGAN MISI EKONOMI DAN TEKNIKAL TAHUN 2019

Hadirin sekalian,

25. Bagi tahun ini juga, kita akan terus menjalankan misi-misi ekonomi dan promosi komoditi kita. Kita telah mengenalpasti enam (6) misi teknikal dan ekonomi luar negara untuk mengukuhkan kedudukan eksport dan meneroka pasaran-pasaran baharu.

26. Ini termasuk misi ke Pakistan, Iran dan Turki bagi pada bulan ini bagi mengukuhkan pasaran komoditi sawit, kayu dan getah. Manakala pada bulan Mac, Kementerian akan menjelajah benua Afrika bagi membincangkan potensi dan isu semasa komoditi sawit di negara-negara Afrika. Pada bulan Mei, misi akan ke negara China bagi menyusuli hasil lawatan ke China pada tahun 2018.

27. Bagi separuh penggal kedua tahun 2019, tiga lagi misi dirangka ke India dan negara-negara Eropah bagi mempromosi minyak sawit Malaysia yang mampan di bawah pensijilan MSPO. Ini seterusnya akan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam industri hospitaliti dan pelancongan khususnya dalam bidang food and beverages.

Hadirin dan seluruh warga MPI sekalian,

28. Sebagai pengakhiri, ingin saya nyatakan bahawa pengalaman tahun 2018 membawa pengajaran kepada kita semua untuk meneruskan usaha mengutamakan tadbir urus negara dengan baik dan penuh integriti.

29. Perjuangan ini bakal berdepan cabaran yang pastinya menuntut kerja keras dan pengorbanan bagi menempatkan semula Malaysia ke landasan sebagai Harimau Asia, yang merupakan satu keajaiban ekonomi serantau berpegang kepada prinsip demokrasi, keadilan, bersatu dan amanah yang menjadi warisan generasi akan datang. Kita perlu terus membina kegemilangan Malaysia Baharu.

Sekian, terima kasih.