SIARAN MEDIA
MALAYSIAN INTERNATIONAL COCOA FAIR (MICF) 2025 AKAN DIADAKAN DI KOTA KINABALU, SABAH PADA 24-27 MEI 2025
- Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin hari ini telah menyempurnakan Majlis Pra - Pelancaran Malaysian International Cocoa Fair 2025 (MICF 2025) yang berlangsung di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Sabah. Majlis ini dihadiri di kalangan warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), agensi-agensi KPK, rakan-rakan strategik, pemain industri koko dan coklat, serta agensi-agensi sokongan.
- Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bakal menganjurkan Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 27 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
- YB Datuk Chan Foong Hin dalam ucapannya menegaskan kepentingan MICF 2025 yang buat pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur, iaitu di Sabah. Sabah, yang dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu', merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran koko negara, menyumbang 60% daripada keseluruhan pengeluaran produk koko Malaysia.
- MICF 2025 ini berperanan sebagai platform penting untuk membincangkan isu-isu utama dan peluang dalam industri koko global, termasuk pengeluaran biji koko premium serta penglibatan Malaysia dalam pemprosesan koko dan pembuatan coklat “beansto-bar”. KPK menyokong sepenuhnya MICF 2025 sebagai acara antarabangsa yang memperkukuh kerjasama dengan badan-badan dan agensi-agensi antarabangsa seperti International Cocoa Organization (ICCO), Cocoa Association of Asia (CAA), dan ASEAN Cocoa Club (ACC).
- Datuk Dr. Ramle Hj Kasin, Ketua Pengarah LKM, dalam ucapan aluannya mengumumkan bahawa MICF 2025 akan merangkumi tiga acara utama: Malaysian International Cocoa Conference, Malaysian International Cocoa Exhibition, dan Malaysian International Cocoa Dinner. Tema MICF 2025 ialah “MyCocoa Delight: Indulge, Meet and Connect,” yang memberi peluang untuk menikmati produk koko, bertemu pakar industri, meneroka dan membuka peluang kerjasama perniagaan yang mampan.
- Pameran ini dijangka menarik lebih 1,000 peserta untuk persidangan dan majlis makan malam, serta 25,000 pengunjung perdagangan dan awam. Dengan lebih daripada 100 pempamer yang telah mengesahkan penyertaan, MICF 2025 turut mengadakan program seperti International Cocoa Business Matching (ICBM), forum, pembentangan kertas kerja, dan lawatan lapangan pasca acara.
- Majlis Pra - Pelancaran ini bertujuan menarik minat para pemain industri, pemegang taruh, dan orang awam untuk menyertai secara langsung dalam aktiviti yang ditawarkan. Pelbagai produk coklat dari “beans-to-bar”, termasuk coklat premium dan artisan, dipamerkan sebagai “teaser” sebelum acara utama berlangsung pada bulan Mei.