SIARAN MEDIA
600 PEKEBUN KECIL ZON SELATAN DISANTUNI MELALUI
PROGRAM TURUN PADANG BUDI AGRI-KOMODITI
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani hari ini telah menghadiri Program Turun Padang BUDI MADANI dan BUDI Agri-Komoditi (Sektor Perladangan) yang berlangsung di Dewan Muafakat Johor, Kampung Abdul Rahman Yassin, Kluang, Johor.
Seramai 600 orang pekebun kecil yang terdiri daripada pekebun sawit, getah dan koko terlibat dalam program ini. BUDI Agri-Komoditi merupakan inisiatif Kerajaan untuk memberi bantuan tunai secara bulanan khususnya kepada pekebun kecil, bagi memastikan peruntukan subsidi bahan api disalurkan dengan lebih tepat kepada kumpulan yang berkelayakan.
Sebelum ini, KPK bersama agensinya telah melaksanakan pelbagai program turun padang, BUDI Agri-Komoditi, antaranya di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3 Julai 2024, di Akademi HEVEA, Sungai Buloh, Selangor pada 23 - 24 Julai 2024, di Nenggiri, Kelantan pada 15 Ogos 2024, World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) pada 21 – 24 Ogos 2024 dan di Chenor, Pahang pada 12 September 2024. Programprogram ini turut dilaksanakan di peringkat agensi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Selain daripada penerangan menyeluruh kepada pekebun-pekebun kecil mengenai inisiatif BUDI Agri-Komoditi, kaunter-kaunter pendaftaran juga turut disediakan bagi membantu mereka membuat semakan dan pendaftaran secara atas talian. Pegawai KPK turut membantu mereka dengan proses semakan dan pendaftaran bagi memastikan mereka layak untuk menerima faedah yang ditawarkan, sekaligus memudahkan pemantauan dan pengagihan bantuan secara berstruktur.
KPK menzahirkan komitmen yang berterusan untuk memastikan setiap pekebun kecil yang berdaftar bukan sahaja mendapat manfaat secara adil dan menyeluruh daripada inisiatif BUDI Agri-Komoditi, tetapi juga memastikan mereka terus dibimbing serta diberi sokongan dalam setiap peringkat pelaksanaan program. KPK akan terus berusaha untuk memperluas capaian dan memberi peluang yang sama rata kepada semua pekebun kecil di seluruh negara, agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup melalui sokongan dan inisiatif kerajaan ini.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 SEPTEMBER 2024