SIARAN MEDIA
HARI TEKNOLOGI LEMBAGA GETAH MALAYSIA 2024 PERKENAL TEKNOLOGI SERTA INOVASI TERKINI INDUSTRI GETAH
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani hari ini telah merasmikan Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2024 dengan tema ‘99 Tahun Penyelidikan Getah’ bertempat di Akademi Hevea Malaysia, LGM Sg. Buloh Selangor.
Hari Teknologi LGM 2024 adalah acara tahunan dianjurkan khusus untuk memperkenal dan mempromosi teknologi serta inovasi terkini dalam industri getah. Program ini dihadiri oleh semua pemegang taruh industri getah seperti pekebun kecil, pelesen dan wakil pemain industri getah. Antara program yang berlangsung adalah Seminar Pekebun Kecil Getah, Rubber Workshop dan National Economic Rubber Conference 2024 bagi membincangkan isu-isu semasa dalam industri getah.
Semasa majlis, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani telah melancarkan logo 100 tahun Penyelidikan Getah dengan memperkenal satu inovasi terbaharu daripada LGM iaitu RRIMe-Formulary, platform elektronik yang menawarkan formulasi produk getah kering yang pelbagai seperti barangan getah industri, barangan getah am dan produk tayar. Melalui fungsi carian yang canggih, pengguna boleh mencari formulasi berdasarkan spesifikasi sifat atau jenis produk yang diingini dalam tempoh masa yang singkat dengan kos yang rendah. Proses pembangunan formulasi sebatian produk getah kini lebih efisyen dengan RRIMe-Formulary.
YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen Perjanjian Pengkomersialan antara LGM dan Bina Integrated
Industries bagi teknologi cat berasaskan getah yang dinamakan BINA
RUBBERSHIELD™. Produk BINA RUBBERSHIELD™ merupakan cat berasaskan getah mesra alam yang direka untuk memberikan perlindungan tambahan bagi dinding dalaman dan luaran. Ia berfungsi sebagai lapisan tahan lama (durable coat) untuk melindungi dinding daripada cuaca dan pertumbuhan kulat.
Kerjasama LGM dan Jabatan Kastam Diraja turut diraikan bagi projek kerjasama penerbitan buku bertajuk Glossary of Classification Rubber and Rubber Products. Buku ini menjadi rujukan dan panduan yang komprehensif bagi LGM dan JKDM mengenai istilah dan klasifikasi getah dan barangan getah dan menjadi rujukan oleh pemain industri, pemegang taruh dan pihak berkuasa yang terlibat dalam sektor getah di Malaysia.
Selain itu, turut berlangsung adalah pembukaan sesi kaunter pendaftaran BUDI Agri-Komoditi oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang melibatkan pendaftaran bagi 500 pekebun kecil sektor getah.
Pada tahun depan, LGM bakal menyambut ulang tahun ke-100 tahun penyelidikan getah yang mula bertapak di Malaysia pada tahun 1925 melalui Rubber Research Institute of Malaysia atau RRIM yang telah memainkan peranan penting dalam penghasilan penyelidikan bertaraf dunia dan kemajuan industri getah Malaysia pada hari ini.
KPK dan LGM sentiasa komited dalam memastikan industri getah sentiasa dipelihara, mampan dan lestari melalui penelitian terhadap inisiatif dan projek yang berpotensi untuk memberikan impak yang tinggi kepada semua golongan sasar.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
23 JULAI 2024