KENYATAAN MEDIA

MISI EKONOMI PRODUK AGRIKOMODITI MALAYSIA KPK KE INDIA PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN INDIA

 

YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi akan mengetuai delegasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India pada 17 hingga 18 Julai 2024 di New Delhi, India.

Misi ini bertujuan bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meneroka peluang peningkatan kerjasama dan kolaborasi baharu antara Malaysia dengan India terutamanya dalam sektor Agrikomoditi.

YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama anggota delegasi dijadual akan mengadakan Kunjungan Hormat kepada Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi membincangkan isu-isu dan cadangan kerjasama perdagangan sektor Agrikomoditi kedua-dua negara.

Selain itu, beliau akan mengadakan mengadakan sesi libat urus bersama pemain-pemain industri minyak sayuran India serta bakal menyampaikan ucaptama dalam India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) Global Roundtable 3.0 anjuran India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) yang turut dihadiri barisan kenamaan dan pemimpin industri minyak sayuran India.

India merupakan destinasi eksport terbesar bagi kelapa sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia, dengan nilai eksport berjumlah RM13.28 bilion atau 13% daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara di pasaran antarabangsa pada tahun 2023. 

Kementerian berharap agar pelaksanaan misi ini dapat merancakkan lagi perkembangan sektor Agrikomoditi negara, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan erat antara Malaysia dan India.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

16 JULAI 2024