SIARAN MEDIA 2023

T I M B A L A N P E R D A N A M E N T E R I
D A N
M E N T E R I P E R L A D A N G A N D A N K O M O D I T I
M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA
BELANJAWAN 2023 MEMARTABATKAN MA63 DAN
MEMANTAPKAN INFRA RAKYAT SABAH DAN SARAWAK


Peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2023 berbanding Belanjawan 2022 membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.


Sabah menerima peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM5.16 bilion pada 2022, manakala Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022.


Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani juga, jelas membuktikan komitmen dan iltizam berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.


Ini terbukti dengan sejumlah RM20 bilion diperuntukan untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak serta Sabah Sarawak Link Road dengan jajaran lebih 1,000 kilometer.


Belanjawan 2023 memfokuskan kepada projek jalan utama Sabah Sarawak, jalan di sempadan dan menaiktaraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan.


Usaha ini bagi menambah baik hubungan yang membuka pelbagai peluang di negara ini dan Kalimantan. Hubungan manusia kepada manusia, perniagaan dengan perniagaan dan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) akan dapat diperkukuhkan sekiranya logistik ditambah baik.


Menerusi Belanjawan 2023, Kerajaan Persekutuan juga terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kerajaan telah bersetuju memuktamadkan Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi Sarawak dengan jumlah pemberian khas sekurang-kurangnya RM300 juta. Sejak tahun 1973, kadar Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak masingmasing kekal pada RM26.7 juta dan RM16 juta. Kerajaan Persekutuan juga komited dalam menyegerakan rundingan untuk formula baharu.


Selain itu, Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak bagi projek sehingga RM50 juta. Ini akan memberi impak positif terhadap usaha mempercepat pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan.


Dari segi kemudahan kesihatan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion bagi penyelenggaraan 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan.


Belanjawan 2023 Malaysia MADANI membuktikan tekad Kerajaan Perpaduan dalam menggabungkan agenda dan dasar murninya yang mengutamakan rakyat Malaysia secara keseluruhan terutamanya dalam menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak secara tuntas.


YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN
KOMODITI
(24 FEBRUARI 2023)

U n i t K o m u n i k a s i K o r p o r a t | K e m e n t e r i a n P e r l a d a n g a n d a n K o m o d i t i

K E M E N T E R I A N P E R L A D A N G AN D A N K O M O D I T I
M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA DALAM BELANJAWAN 2023,
DIYAKINI DAPAT MEMANFAATKAN PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.


2. Menerusi Belanjawan 2023, ia dilihat menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat lebih besar, melalui bantuan disalurkan kepada golongan sasar, penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.


3. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI. Berteraskan nilai-nilai MADANI, Belanjawan 2023 dijangka dapat memacu pertumbuhan industri dan memberi manfaat kepada pemegang taruh Kementerian ini melalui inisiatif yang baru diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.


4. Kementerian percaya, antara fokus utama yang dititikberatkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekebunpekebun kecil di seluruh negara serta usaha untuk terus memperkasakan sektor perladangan. Selain itu, Kementerian turut bertekad untuk memastikan daya saing negara dapat dipertingkatkan serta tatakelola kerajaan dapat ditambah baik.

5. Pada tahun 2022, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 5.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM207.3 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM146.5 bilion, sekaligus menjadi komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.


6. Kementerian juga fokus untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan serta mengharapkan syarikat-syarikat perladangan bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan eksport negara. Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut:


a) Peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan Artificial Intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran;
b) Peruntukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Anti Minyak Sawit;
c) Peruntukan RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram; dan
d) Peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi tujuan penyelenggaraan jalan.


7. Tahun 2023 dijangka akan lebih dinamik memandangkan cabaran yang bakal didepani bagi menjamin kemampanan industri Agrikomoditi negara. KPK bertekad untuk mendepani cabaran tersebut demi kelangsungan industri berkenaan sejajar dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada industri Agrikomoditi. Selain itu, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus dijadikan asas bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia Madani.


YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Perladangan dan Komoditi
24 FEBRUARI 2023

U n i t K o m u n i k a s i K o r p o r a t | K e m e n t e ri a n

SIARAN MEDIA
IRRDB IRC 2023 PLATFORM UTAMA PERKONGSIAN ILMU
PENYELIDIKAN BAGI MEMPERTINGKAT DAYA SAING SEKTOR
GETAH ANTARABANGSA


YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah merasmikan International Rubber Research Development Board (IRRDB) International Rubber Conference (IRC) 2023 di Kuala Lumpur.


Bertemakan ‘Natural Rubber in Net Zero World: Challenges and Opportunities’, IRC 2023 ini dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan IRRDB bermula pada 20 sehingga 21 Februari 2023. Persidangan ini melibatkan penyertaan daripada 20 buah negara pengeluar dan pengguna getah iaitu Malaysia, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Liberia, Guatamala, Ivory Coast, Cameroon, Cambodia, Papua New Guinea, Brazil, Bangladesh dan Singapura.


Objektif penganjurannya adalah untuk menyediakan platform bagi perkongsian maklumat dan hasil penyelidikan tentang getah kepada semua pemain industri getah selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak yang berkaitan. Kesemua negara berpeluang membentangkan hasil perkembangan terkini dalam sektor getah serta berkongsi pelbagai kaedah baharu yang bakal memberi manfaat untuk memperkukuh industri ini, sekali gus dijangka akan menjana idea baharu bertujuan memperkasa keseluruhan rangkaian sektor getah Malaysia dan negara-negara serantau.


Seramai 200 peserta terdiri daripada kalangan penyelidik getah, penanam getah, pemproses, pengilang, peniaga, pengeksport, penggubal dasar, serta pihak berkepentingan industri telah turut serta pada persidangan.


Sejumlah 6 kertas plenary dan 65 kertas pembentangan saintifik berkaitan penyelidikan getah akan dibentangkan semasa persidangan berlangsung, meliputi tujuh (7) skop penyelidikan getah yang terdiri daripada perdagangan karbon (carbon trading) dan perubahan cuaca, pembaikan, pengurusan dan penuaian getah, pengurusan penyakit dan perosak, sosio-ekonomi dan teknologi getah. Sesi pembentangan ini diharapkan dapat mencetuskan idea dan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi sektor getah negara, terutama pada peringkat sektor huluan.

Sektor getah merupakan antara sumber komoditi utama yang memainkan peranan dalam menjana ekonomi negara. Pengaplikasian kaedah dan teknologi terkini dalam industri ini amat diperlukan bagi mempertingkat kecekapan produktiviti getah serta mengoptimum penggunaan sumber dalam konteks penerapan karbon sifar bersih (‘net zero’), sejajar dengan komitmen negara menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.


Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama LGM akan terus komited dalam memastikan agar industri getah Malaysia terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global, di samping terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai kaedah strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara yang merupakan tunjang kepada rantaian bekalan industri ini.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 FEBRUARI 2023

KENYATAAN MEDIA
SENARIO HARGA GETAH SEMASA DAN USAHA KERAJAAN
DALAM MEMBANTU MERINGANKAN BEBAN PEKEBUN KECIL
GETAH SEMASA KEJATUHAN HARGA GETAH


1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin merujuk kepada berita yang disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 14 Januari 2023 berhubung kejatuhan harga getah. Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terutama dalam mendepani kehidupan tatkala berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.


2. Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa faktor penurunan harga getah adalah berkait rapat dengan pelbagai faktor. Antaranya adalah berikutan prospek ekonomi global yang lembap, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah (mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli dalam pembuatan produk getah), kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan daripada konflik RusiaUkraine. Faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global tersebut memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran. Malaysia tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa. Ini kerana negara kini hanya mengeluarkan 4% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.


3. Walau bagaimanapun, dalam usaha bagi membantu penoreh getah dan pekebun kecil getah, pihak Kementerian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengadakan siri perbincangan melibatkan pelbagai Kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah.


4. Usaha-usaha dan langkah-langkah kerajaan bagi membantu para pekebun getah dalam menghadapi situasi kejatuhan harga getah dan kos sara hidup yang meningkat adalah: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh. Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50% kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta; Pelaksanaan MyROL MyROL merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian. Kombinasi ciri-ciri di dalam MyROL seperti urusniaga yang telus, tanpa sempadan dan kewujudan pesaing melalui penglibatan lebih ramai pembeli, secara tidak langsung mendorong pencapaian harga tawaran yang lebih kompetitif kepada pekebun kecil. Terkini, terdapat 11 pusat jualan getah di sekitar Kelantan, Perak dan Pahang telah menggunakan MyROL
dalam urusniaga mereka dan ini telah memanfaatkan kira-kira 700 pekebun kecil. Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) Objektif program IPL adalah untuk memberi peluang kepada pekebun kecil getah untuk menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks selain menggalakkan pekebun kecil beralih kepada menghasilkan susu
getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump). Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM 1.00/kg bagi
100% kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM 850 bagi setiap hektar secara one-off. Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) Pelaksanaan Projek TARGET melalui konsep koperasi pekebun dan pengusaha ladang getah tempatan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan melalui penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak). Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil.


5. Selain itu, KPK melalui LGM telah memperkenalkan beberapa mekanisma / inovasi bagi memastikan agihan bantuan kepada pekebun kecil dapat dilakukan dengan cekap seperti berikut:
Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G merupakan pengenalan kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang memiliki atau
mengusahakan kebun getah. Dengan adanya pengenalan ini, ianya bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudahcara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan kerajaan melibatkan pekebun kecil getah; dan Penggunaan RRIMniaga RRIMniaga adalah inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon
pintar yang dapat memudahkan urusniaga getah oleh peniaga getah yang berdaftar dengan LGM. Selain itu, rekod transaksi urusniaga adalah lebih telus dan ini membantu pemantauan di peringkat LGM. Proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak juga adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dalam talian.


6. Kementerian Perladangan dan Komoditi amat memahami situasi yang dialami oleh pekebun kecil dan akan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah. KPK dan LGM akan meneruskan usaha bersama dengan Kementerian dan agensi berkaitan bagi mewujudkan dasar yang lebih strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 JANUARI 2023

SIARAN MEDIA
KUNJUNGAN RASMI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI KE LEMBAGA LADA MALAYSIA
(MPB) CAWANGAN SIBU, SARAWAK


1. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah memulakan siri lawatan dan kerja rasmi ke Sarawak dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.


2. Menerusi siri lawatan dan kerja rasmi pada 6 Januari 2023, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah berkunjung ke salah satu agensi bawah KPK iaitu Lembaga Lada Malaysia (MPB) di pejabat cawangan dalam daerah Sibu, Sarawak.


3. Sehingga kini, MPB memiliki sembilan (9) buah pejabat cawangan di seluruh negeri Sarawak yang diselia oleh Pejabat Wilayah Sarawak iaitu di Serian, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Bintulu, Miri, Belaga dan Sibu serta dua (2) buah pejabat wilayah masing – masing di Semenanjung Malaysia (Johor) dan juga Sabah (Kota Kinabalu).


4. MPB Sibu secara khususnya berperanan dalam menyelia aktiviti industri lada yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit (kecuali daerah Belaga yang diselia oleh MPB Belaga). Antara fasiliti yang terdapat di MPB Sibu termasuklah Loji Pemprosesan Kering dan Basah dan Loji Rawatan Haba bagi aktiviti pemprosesan lada serta Makmal Kawalan Kualiti.


5. Aktiviti - aktiviti yang dijalankan di premis ini termasuklah perkhidmatan kawalan kualiti dan penggredan, aktiviti pemprosesan lada, selain melaksanakan Program Pembangunan Penanaman Lada dengan mengagihkan input pertanian, perkakasan ladang, dan bantuan infrastruktur ladang.


6. MPB Sibu telah berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah memenuhi syarat-syarat bagi perlaksanaan sistem HACCP untuk produk Steam treated Black Pepper/ White Pepper. Akreditasi seumpama ini penting bagi menjamin kredibiliti dan keselamatan produk lada yang dihasilkan berlandaskan prosedur pelaksanaan HACCP.


7. Makmal Analisa MPB Sibu di bawah Cawangan Kawalan Kualiti juga telah berjaya mendapatkan akreditasi melalui pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 (Skop Kimia). Akreditasi ini menunjukkan keupayaan skop analisa dan kualiti pengurusan Makmal Analisa MPB diiktiraf dan beroperasi mengikut piawaian dan standard antarabangsa.


8. Untuk rekod, jumlah kawasan penanaman lada di Bahagian Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 orang pekebun.


9. Sepanjang tahun 2022, MPB Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.6 juta bantuan lada kepada 346 orangpekebun kecil lada yang layak bagi kawasan seliaan MPB Sibu. Daripada jumlah tersebut seramai 96 orang merupakan penerima Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) yang berjumlah RM3.3 juta, manakala seramai 250 orang pula menikmati manfaat daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM) yang berjumlah RM4.2 juta.


10. Sepanjang tahun 2022, Pusat Pemprosesan Lada MPB Sibu telah memproses sebanyak 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih bagi tujuan eksport.


11. Kerajaan akan terus membantu menaik taraf kehidupan para pekebun kecil lada di seluruh negara khususnya di negeri Sarawak melalui penyaluran pelbagai bantuan disamping terus memperkasa peranan MPB selaku badan yang mengawal selia aktiviti industri lada di negara ini.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 JANUARI 2023