SIARAN MEDIA

MEMBINA KELESTARIAN INDUSTRI LADA GLOBAL MELALUI

PENDEKATAN KOLEKTIF

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri

Haji Fadillah bin Haji Yusof, hari ini merasmikan pelancaran The 51st Annual

Session and Meetings of International Pepper Community and International

Spice Exhibition (IPC ASM ISE ke-51), anjuran International Pepper Community

(IPC), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

IPC ialah sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan United Nations – Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Matlamat utama IPC adalah untuk mempromosikan dan menyelaraskan aktiviti dalam industri lada dengan tujuan ke arah pembangunan lada. Negara anggota IPC adalah merangkumi India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam.

Manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli bersekutu.

Sehingga tahun 2022, negara anggota IPC secara kolektif telah menyumbang kira-kira 65% daripada pengeluaran lada global. Dengan tema "Balancing the Global Pepper Supply and Demand – Alleviating Pressure on Prices", IPC ASM ISE ke-51 memberi tumpuan kepada cabaran yang dihadapi oleh pasaran lada global, terutamanya ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan yang telah memberikan tekanan kepada harga dan penanaman lada. Situasi ini telah menyebabkan tekanan kepada pihak berkepentingan dalam industri lada, terutamanya kepada pekebun lada. Golongan tersebut berhadapan dengan peningkatan kos pengeluaran dan harga jualan yang rendah.

           

Malaysia merupakan pengeluar kelima terbesar dengan 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia seperti yang dilaporkan pada tahun 2022. Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 38,587 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,091 hektar di Malaysia.

Malaysia mengeksport lada ke Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan

Taiwan. Sehingga Ogos 2023, Malaysia mencatatkan prestasi eksport sebanyak RM96 juta dan akan terus meningkatkan usaha untuk mencari peluang pasaran baru di benua Eropah termasuk negara-negara Skandinavia.

Justeru, adalah penting bagi IPC untuk terus memantau penawaran dan permintaan lada, dengan mengambil kira pengaruh langsungnya terhadap paras harga. Negara pengeluar lada juga harus menumpukan usaha konkrit dan bersepadu untuk menguruskan bekalan, menstabilkan harga dan meningkatkan penggunaan.

Selain itu, kerjasama semua pihak dalam sektor lada juga wajar terus diperkasa secara berterusan untuk memperhebat promosi dan kempen yang bertujuan memperluas potensi lada, di dalam dan luar negara.

Eksplorasi pasaran lada di pasaran bukan konvensional dapat memperluas ruang pasaran lada, seterusnya membuka peluang besar bagi perkembangan dan kemampanan industri lada di peringkat global.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 7 NOVEMBER 2023