SIARAN MEDIA
PROGRAM TANAMAN KOKO SELIAAN LKM LIBATKAN 16.84 HEKTAR KELUASAN TANAMAN
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah hadir ke sesi santai mesra bersama pengusaha tanaman koko di Tanjung Sepat, Selangor yang merupakan salah satu pengisian Program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Program santai bersama pengusaha tanaman koko ini diadakan di kebun Lee’s Cocoa,Tanjung Sepat, Selangor, yang dimiliki oleh seorang pengusaha koko tempatan iaitu Encik Lee Soon Cheong.
Sesi dialog bersama petani, usahawan dan komuniti koko dari sekitar negeri Selangor untuk mendengar isu dan permasalahan sektor penanaman koko serta mendapatkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk mempertingkat pengeluaran biji koko dan pendapatan petani.
YAB Menteri turut melawat tapak pengeringan biji koko atau ’Sauna Cacao’ serta melancarkan produk premium Lee’s Cocoa Tree to Bar. Kebun Lee’s Cocoa juga menyediakan aktiviti agro-pelancongan kepada pengunjung dalam dan luar negara kerana mempromosikan proses penghasilan produk koko yang bermula dari rantaian buah koko sehingga kepada penghasilan coklat.
Selaras dengan halatuju LKM untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko premium, Kebun Lee’s Cocoa ini merupakan antara pengusaha tanaman koko yang produktif dalam melaksanakan penanaman koko, memproses dan mengeringkan biji koko serta membuat produk coklat denagn berkonsepkan ‘tree to bar’ yang menghasilkan biji koko ‘single origin’ (asal tunggal) serta coklat premium.
Setakat ini, program tanaman koko seliaan Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Selangor merekodkan keluasan tanah berjumlah 16.84 hektar dengan melibatkan penyertaan 35 orang pekebun koko.
Produk biji koko premium berpotensi dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko biasa yang mana ini dapat membantu meningkatkan pendapatan petani koko.
Kementerian menerusi LKM akan meneruskan usaha untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman koko serta mempelbagai insentif kepada para pekebun kecil koko seluruh negara bagi menggalakkan produktiviti penanaman koko.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 OGOS 2023