SIARAN MEDIA 

200 ORANG ASLI DI PULAU CAREY TERLIBAT DALAM SEKTOR SAWIT

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyantuni masyarakat Orang Asli semasa Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor bersempena Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung) yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor hari ini.

Berdasarkan rekod semasa MPOB, anggaran Orang Asli di Pulau Carey yang terlibat dalam sektor sawit sebagai pekebun kecil adalah seramai 200 orang.

Semasa sesi sembang santai tersebut, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menyeru agar semua pekebun kecil Orang Asli di negeri Selangor untuk menyertai KPSM kerana ia menawarkan pelbagai faedah bagi meningkatkan produktiviti dalam penanaman sawit. Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.

Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.

Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil sawit persendirian. Bantuan-bantuan ini antaranya ialah Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe). 

Sebanyak 27 pekebun kecil sawit di Selangor terlibat dalam Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) merangkumi keluasan 36 hektar kawasan tanaman sawit.

Selain daripada itu, Kerajaan melaksanakan program bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penternakan di bawah Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe). Manakala Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) merupakan program bantuan yang disediakan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penanaman tanaman kontan. 

Sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 25 projek Skim ITe bagi ternakan ayam dan itik telah dilaksanakan di negeri Selangor. Di bawah Skim ITa untuk tanaman pisang, nanas dan tembikai, sebanyak tujuh projek telah dilaksanakan. 

Kementerian melalui MPOB juga sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan langkah strategik Kerajaan untuk meningkatkan imej  industri sawit negara di peringkat global.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama rombongan Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah ke ladang sawit di East Estate, Sime Darby, Pulau Carey untuk meninjau demonstrasi peralatan automasi dan mekanisasi sawit.

Dalam usaha memperkasa sektor komoditi sawit negara, Kementerian sentiasa komited dan prihatin bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil sawit negara termasuk golongan Orang Asli. Antara inisiatif mempertingkat pengetahuan pekebun kecil dilaksanakan di lapangan menerusi MPOB adalah seperti Lawatan Khidmat Nasihat Sawit, Lawatan Amalan Pertanian Baik (GAP), Prgoram Kursus Sehari Sawit, Taklimat MSPO dan GAP serta pelbagai program latihan lain.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

6 OGOS 2023