SIARAN MEDIA

206 PMG DI NEGERI SEMBILAN GUNA PAKAI APLIKASI RRIMNIAGA

BAGI URUSAN JUAL BELI GETAH

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi telah turun padang dan menyantuni lebih 150 orang pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai di Kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. Program ini merupakan sebahagian dari kerangka program Trek Komoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Zon Tengah Semenanjung yang diadakan bermula pada 5 Ogos 2023 hingga 6 Ogos 2023. 

Selain sesi sembang santai, YAB Menteri Perladangan dan Komoditi telah  melawat ke kebun getah milik penduduk tempatan di Rantau dan melihat sendiri proses pengumpulan cuplump dari pokok getah untuk dibawa ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) iaitu Kwong Sang Guan Rubber Dealer. PMG tersebut merupakan lokasi berpotensi yang menyertai Projek Pembangunan Model Adaptasi Teknologi Getah (ADTEG) dan telah mengadaptasi penggunaan teknologi RRIMniaga dan RRIMeter bagi urusan jual beli getah. 

Bagi program ADTEG, sebanyak 102 peserta di Negeri Sembilan telah mula menggunakan teknologi rangsangan Hydrobest dengan melibatkan jumlah keluasan 98 hektar di mana Rembau sebanyak 72 hektar, Jempol 10 hektar dan Jelebu 16 hektar.

Di Negeri Sembilan, 206 buah PMG telah menggunapakai aplikasi RRIMniaga di dalam urusan jual beli getah. Dari jumlah tersebut, 2 PMG menggunakan teknologi RRIMeter bagi menentukan kadar kandungan getah kering (KGK) lateks. Keduadua PMG ini merupakan peserta Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). 

Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung meliputi Negeri Sembilan dan Selangor dan sektor tumpuan bagi siri kali ini adalah komoditi getah, kayu, sawit dan koko. Program Trek Komoditi ini merupakan merupakan platform YAB Menteri Perladangan dan Komoditi dan KPK untuk turun padang bersama rakyat bagi menerangkan inisiatif-inisiatif serta hala tuju Kerajaan berhubung sektor agrikomoditi, mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pekebun kecil, usahawan, serta masyarakat setempat berkenaan isu-isu semasa dan mengetengahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kumpulan sasar.

Kementerian sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan kemudahan bagi pekebun kecil getah bagi menggalakkan peningkatan produktiviti dan kemampanan  sektor getah selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

5 OGOS 2023