SIARAN MEDIA

 

FADILLAH: HUBUNGAN PERDAGANGAN MALAYSIA-KENYA

PENTING MENERUSI KENYA SEBAGAI PASARAN UTAMA MINYAK

SAWIT MALAYSIA DI RANTAU AFRIKA TIMUR

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof semasa ucaptamanya di Malaysia Palm Oil Forum-East African Region 2023 (MPOF 2023) menekankan kepentingan hubungan perdagangan Malaysia-Kenya serta Kenya sebagai pasaran utama bagi minyak sawit Malaysia di rantau Afrika Timur.

MPOF 2023 yang diadakan di Nairobi, Kenya merupakan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), sebuah majlis di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi telah dirasmikan hari ini oleh Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof yang mana sesi forum tersebut telah menghimpunkan pemain industri dan pihak berkepentingan dari Malaysia dan Kenya untuk meneroka peluang dan memperkukuh hubungan perdagangan dalam industri sawit.

Forum ini menampilkan pemain industri tempatan dan ahli pakar bidang sawit antarabangsa dari Malaysia, Eropah, dan Kenya. Dalam ucaptama beliau, Dato' Sri Fadillah menekankan Hubungan perniagaan bersama antara Malaysia dan Kenya termasuk peningkatan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah sebanyak USD1.19 bilion pada tahun 2022.

Bertemakan "Pioneering Sustainable Solutions for A Better Tomorrow," YAB Menteri menzahirkan komitmen Malaysia dalam menyediakan produk minyak sawit dengan harga yang berpatutan dan mampan kepada pengguna di Afrika. Beliau mengakui peranan penting Kenya sebagai destinasi ke-5 terbesar bagi pasaran eksport minyak sawit Malaysia dan menekankan kepentingan amalan mampan dan kerjasama erat untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi kedua-dua negara. 

Dato' Sri Fadillah turut membangkitkan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit seperti halangan akses pasaran dan kempen antiminyak sawit, yang perlu ditangani dengan sebaik-baiknya dan memenuhi keperluan persaingan yang adil dan saksama.

Beliau turut menyentuh berhubung standard pensijilan kemampanan Malaysia iaitu Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), yang mana pelaksanaannya telah dijadikan mandatori sejak tahun 2020. Pelaksanaan MSPO memastikan industri sawit Malaysia menghasilkan Certified Sustainable Palm Oil (CSPO) mengikut keperluan pengguna antarabangsa.

Dato' Sri Fadillah menekankan peranan penting minyak sawit dalam ekonomi Malaysia. Minyak sawit merupakan eksport produk agrokomoditi dengan nilai yang paling tinggi, iaitu sebanyak RM137.8 bilion pada tahun 2022. Beliau juga menggalakkan peserta forum untuk meneroka peluang baru dalam memperluas perniagaan minyak sawit, terutamanya produk hiliran sawit dan derivatif yang bernilai tinggi.

YAB Menteri turut menggalakkan peranan sektor swasta oleh kedua-dua negara untuk memanfaatkan pelbagai peluang perniagaan bagi produk hiliran sawit yang bernilai tinggi. Beliau menyeru supaya perkongsian dan kerjasama strategik untuk meneroka platform baharu bagi mengembangkan perniagaan minyak sawit, terutamanya dalam bidang seperti oleokimia, farmaseutikal, makanan yang diproses, produk-produk khas sawit, dan barangan pengguna. Bagi tujuan ini, MPOF 2023 diharap dapat memperkukuh interaksi secara langsung antara pembekal dan pembeli minyak sawit Malaysia.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

4 JULAI 2023