KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA

 

MISI KE KESATUAN EROPAH, BRUSSELS, BELGIUM DAN UNITED KINGDOM OLEH YAB MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI, 28 MEI – 4 JUN 2023 

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof akan mengadakan Misi ke Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium disusuli dengan Lawatan Rasmi ke London, United Kingdom pada 28 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023. 

Misi ke EU merupakan misi bersama Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) berikutan persetujuan antara YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia (KOMENKO), Dr. (H.C) Ir. Airlangga Hartarto, pada 9 Februari 2023 di Jakarta, Indonesia untuk terus menjaga kepentingan sektor sawit menerusi pemerkukuhan usaha menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.

Hal ini merupakan tindak balas susulan pengumuman pelaksanaan European Union Deforestation Regulations (EUDR) oleh EU pada 6 Disember 2022 yang bertujuan menghalang penyahhutanan oleh aktiviti pertanian di seluruh dunia. Tindakan tersebut boleh dianggap sebagai suatu kawalan bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan bebas dan adil, khususnya apabila ia lebih disasarkan kepada produk agrikomoditi tropika daripada negara-negara membangun melibatkan jutaan pekebun kecil sekali gus boleh menjejaskan rantaian bekalan global.

Semasa Misi di Brussels, kedua-dua pemimpin negara dijangka akan mengadakan pertemuan serta sesi libat urus dengan barisan kepimpinan tertinggi EU bagi menjelaskan pendirian negara anggota CPOPC ke atas pelaksanaan EUDR yang bukan sahaja menindas sektor agrikomoditi secara amnya dan industri sawit secara khususnya malahan menjejaskan mata pencarian jutaan pekebun-pekebun kecil.

Sebagai salah sebuah negara anggota CPOPC, Malaysia komited untuk terlibat secara aktif dalam platform bersama ini di peringkat global untuk meneruskan agenda memerangi kempen negatif pihak Barat ke atas minyak sawit. Sesi libat urus dengan EU bagi mencapai hasil yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara pengeluar dan pengguna sawit akan dipergiat.

United Kingdom (UK) adalah rakan dagangan ke-23 paling penting kepada Malaysia. Pada ketika ini, UK masih dalam proses rundingan untuk menjadi negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Semasa sesi rundingan ke-5 yang diadakan pada 27 Februari hingga 4 Mac 2023 lepas, UK telah bersetuju untuk memberikan penghapusan tarif sepenuhnya ke atas semua baris tarif produk Agrikomoditi Malaysia secara Entry Into Force (EIF). 

Justeru, adalah penting bagi Sektor Agrikomoditi Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan dagangan dengan UK melalui Jawatankuasa Bersama Bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala Antara Malaysia dan United Kingdom (MUKJC) dan Forest, Agriculture dan Commodity Trade (FACT) Dialogue iaitu sebuah platform dialog antara negara pengeluar dan negara pengguna untuk menjadikan perdagangan agrikomoditi global lebih mampan.

Bagi lawatan rasmi di London, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof akan mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri yang berkaitan dengan sektor agrikomoditi di United Kingdom. Selain itu, beliau juga akan menyampaikan ucaptama dalam Forum International Sustainable Palm Oil Forum (ISPOF) anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dan Malaysia-Link UK dan lawatan kerja ke Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), yang merupakan salah satu pusat penyelidikan dan pembangunan getah utama dunia.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap kedua-dua misi ke Eropah dan United Kingdom ini mencapai hasrat negara untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada pihak-pihak berkepentingan bertujuan bagi menangkis persepsi negatif dan sebarang usaha untuk memberi tekanan terhadap sektor agrikomoditi dan perhutanan di negara ini. 

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

27 MEI 2023