SIARAN MEDIA
PEKEBUN KECIL DISERU REBUT PELUANG PENUHI PERMINTAAN TINGGI SEKTOR LADA
- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah bersama kira – kira 200 orang pekebun kecil dan pemain industri lada menyempurnakan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB).
- Program turun padang ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendekati golongan sasar di peringkat akar umbi yang selama ini menjadi nadi kepada keberhasilan sektor lada negara melalui aktiviti di peringkat huluan dan hiliran.
- Pelaksaan program ini juga adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang memfokuskan kepada usaha-usaha menstruktur semula ekonomi ke arah meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
- Kerajaan sentiasa cakna dengan nasib pekebun kecil lada yang terkesan akibat situasi ekonomi yang melanda dunia pada masa ini.Keprihatinan Kerajaan Madani ini diterjemahkan melalui penyemakan semula nilai bantuan dengan meningkatkan nilai bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 per hektar berbanding dengan RM26,000 per hektar sebelum ini manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan daripada RM13,000 per hektar kepada RM25,000 per hektar.
- Bagi menggalakkan pekebun terus meningkatkan keluasan tanaman di samping menggalakkan tanaman lada secara besar-besaran, had pemberian bantuan turut dinaikkan sehingga 1 hektar untuk STLB dan 2 hektar untuk STLM di bawah inisiatif yang sama.
- Secara keseluruhannya, bantuan sejumlah RM1.14 juta telah diluluskan di bawah STLB dan STLM dengan jumlah keluasan sebanyak 47 hektar serta melibatkan seramai 241 orang pekebun lada di Semenanjung Malaysia.
- Meskipun berdepan pelbagai cabaran, industri lada merupakan salah satu komponen di bawah sektor agrikomoditi yang telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat terutamanya penduduk di luar bandar.
- Dalam majlis yang sama, sejumlah 11 baucar bernilai RM55,400 bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan telah disampaikan kepada 11 orang penerima bantuan.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 22 OGOS 2023