SIARAN MEDIA

 

PERASMIAN HARI TEKNOLOGI LGM 2023

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, pada hari ini telah merasmikan Hari Teknologi Lembaga

Getah Malaysia (LGM) 2023, bertempat di Akademi Hevea Malaysia, Sg. Buloh Selangor. 

Hari Teknologi LGM 2023 dianjurkan khusus untuk mengetengah dan mempromosi teknologi dan inovasi yang dihasilkan oleh LGM. Program ini dihadiri oleh semua pemegang taruh industri getah seperti pekebun kecil, pelesen dan wakil pemain industri getah. Pada majlis ini, YAB Menteri telah melancarkan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) Digital dan RRIMHydrobestTM

Selaras dengan aspirasi Kerajaan mendigitalkan perkhidmatan awam, LGM telah membangunkan aplikasi PAT-G digital (e-Kad) bagi menggantikan PAT-G fizikal yang memanfaatkan lebih 262,000 pekebun kecil getah. 

RRIMHydrobestTM merupakan teknologi cecair bagi menggalakkan pengeluaran lateks. RRIMHydrobestTM telah diuji ke atas klon-klon yang telah disyorkan oleh LGM dan mempunyai kelebihan meningkatkan produktiviti pokok antara 30% sehingga 50% dan memberikan ketebalan kulit pulihan yang lebih baik.

Pada majlis berkenaan juga, YAB Menteri turut menyaksikan sesi pertukaran dua perjanjian iaitu Memorandum of Agreement (MoA) antara LGM dengan Jupiter Solution, Natrab MFBI Enterprise dan Majlis Getah Malaysia (MRC) untuk mengkomersialkan inovasi berasaskan getah asli, dan Perjanjian Kerjasama Pengkomersialan antara LGM dengan Majlis Getah Malaysia bagi mempromosi dan mengkomersialkan inovasi LGM di dalam dan luar negara. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan LGM sentiasa komited dalam memastikan industri getah dipelihara, mampan dan lestari melalui penelitian terhadap inisiatif dan projek yang berpotensi untuk memberikan impak yang tinggi kepada semua golongan sasar dalam industri getah.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 19 SEPTEMBER 2023