SIARAN MEDIA

PENUBUHAN STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN MPB

PENANDA ARAS BARU SEKTOR AGRIKOMODITI LADA

 

  1. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK)

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang telah mula beroperasi sepenuhnya mulai 18 Ogos 2022.

  1. MPB yang memiliki sebelas (11) buah pejabat cawangan dan wilayah di seluruh Malaysia serta pelbagai fasiliti seperti kilang pemprosesan lada serta makmal penyelidikan dan pembangunan, kini mampu berbangga dengan tertubuhnya Stesen Penyelidikan Lapangan yang dapat merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sektor lada.
  1. Stesen Penyelidikan Lapangan yang dilengkapi dengan infrastruktur lapangan seperti sebuah unit bangsal tumbuhan bertujuan memelihara dan memulihara koleksi germplasma lada di Malaysia.
  1. Sementara itu, empat (4) unit rumah hijau (green house) di stesen tersebut bakal menjadi medium pelaksanaan pelbagai jenis kajian antaranya berkaitan kultur tisu, pembiakbakaan serta kajian berkaitan serangga perosak dan penyakit lada.
  1. Penubuhan stesen penyelidikan merupakan langkah proaktif oleh MPB dalam mengangkat industri lada negara seiring dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030). DAKN2030 dirangka untuk memantapkan pertumbuhan industri lada negara berdasarkan lima (5) teras utama sehingga tahun 2030 yang merangkumi aspek kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman. Ianya seiring dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan.
  1. Implimentasi teknologi terkini penting dalam peningkatan produktiviti tanaman lada khususnya Internet of Things (IOT) yang mampu merangsang peningkatan produktiviti kira-kira 60%.
  1. MPB turut mengorak langkah lebih jauh dengan membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang R&D bersama agensi dan institusi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), World Wide Fund Malaysia (WWF-Malaysia) dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus bagi meneroka peluang kolaborasi bersama institusi lain yang berpotensi menganjakkan martabat industri lada di masa akan datang.
  1. Kementerian melalui MPB juga telah mengambil inisiatif dengan menyemak semula skim-skim bantuan yang telah disediakan bagi menjamin pekebun – pekebun lada. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah dengan menaikkan had bagi Skim Tanaman Lada Baru (STLB) kepada RM46,000 per hektar berbanding RM26,000 per hektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 per hektar daripada RM13,000 per hektar.
  1. Semakan semula skim bantuan lada adalah perlu untuk memastikan para pekebun tidak terkesan dengan kenaikan input pertanian. Kesemua inisiatif ini telah diluluskan dengan kos projek sebanyak RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
  1. Selain itu, Kerajaan juga telah meluluskan sejumlah RM27.9 juta kepada MPB bagi pelaksanaan 11 lagi projek pembangunan sektor agrikomoditi lada.
  1. Kementerian melalui MPB sentiasa komited dalam memperkasa inisiatif berterusan agar industri lada negara terus terpelihara.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

15 JULAI 2023