KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

M A L A Y S I A 

 

SIARAN MEDIA 

 

SESI DIALOG BERSAMA

PEMAIN INDUSTRI PERKAYUAN KENAL PASTI ISU SEMASA DI KALANGAN SYARIKAT INDUSTRI PERABOT

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menghadiri Sesi Dialog bersama Industri Perkayuan Pulau Pinang bertempat di Delano Furniture Industries (M) Sdn. Bhd. Sungai Bakap, Pulau Pinang bersempena Program Trek Komoditi 2023 (Zon Utara Semenanjung) anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.

Sesi yang diselaraskan bersama oleh Kementerian dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan secara bersemuka bersama wakil syarikat dalam industri perabot di Pulau Pinang sebagai usaha memperoleh maklum balas semasa isu-isu berkaitan pemegang taruh industri kayu di Wilayah Utara Semenanjung, selain mengenal pasti strategi untuk memperkukuh kedudukan industri perkayuan.

Industri perkayuan merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan eksport komoditi negara dengan mencatatkan jumlah sebanyak RM25.2 bilion pada tahun 2022. Jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding nilai eksport berjumlah RM22.7 bilion pada tahun 2021. Produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih 170 buah negara, antaranya perabot, papan lapis dan kayu gergaji. 

Wilayah Utara Semenanjung khususnya negeri Pulau Pinang dilihat mampu mempertingkat prestasi pengeluaran produk kayu bernilai tinggi. Dengan adanya 150 pengusaha industri berasaskan kayu-kayan, Pulau Pinang telah merekodkan sumbangan sebanyak 2.7 peratus atau RM601 juta nilai eksport pada tahun 2021 berbanding RM557 juta pada tahun 2020. 

Kementerian sentiasa komited untuk membantu pemain industri perabot tempatan menembusi pasaran global menerusi agensi di bawah KPK yang bertanggungjawab melaksanakan inisiatif, program pemasaran serta promosi di peringkat domestik dan juga antarabangsa. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

10 JUN 2023