KENYATAAN MEDIA
INISIATIF PELUNCURAN EKONOMI MADANI DIYAKINI
MAMPU MELONJAKKAN EKONOMI NEGARA
Pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat adalah satu tekad yang diyakini mampu untuk melonjakkan ekonomi, serta menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik visi dan sasaran yang telah digariskan di bawah Malaysia Madani. KPK bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program-program dan aktiviti Kementerian bagi menyokong aspirasi tersebut. Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, adalah penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi diperingkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.
MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan.
Umum mengetahui, sektor agrikomoditi adalah penting bagi ekonomi negara, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Dalam hal ini, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian.
Hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian. Usaha-usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar.
Bahkan, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hydrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage). Justeru, Kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit.
Semoga hasrat dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat mengangkat darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan dunia, yang akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat dan negara.
DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 JULAI 2023