KENYATAAN MEDIA MENGENAI KEMBARA KENALI BORNEO
Menjunjung Kasih KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong yang telah berkenan mencemar duli untuk bersama rakyat Sabah dan Sarawak dalam Kembara Kenali Borneo mulai 3 hingga 13 September 2023.
Terima kasih Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh rakyat di keduadua negeri di Borneo ini yang telah “all out”, begitu bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat dalam menjayakan Kembara Kenali Borneo (KKB).
Rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja sanggup menunggu dari pagi sehingga ke tengah malam, sanggup berpanas dan berhujan, di tepi jalan di sepanjang laluan konvoi Yang di-Pertuan Agong, malah mereka turut mengadakan pelbagai persembahan kebudayaan dan mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing secara sukarela. Di kawasan gelap tanpa cahaya lampu jalan pun mereka sanggup memasang lampu telefon bimbit demi mengalu-alukan konvoi KKB.
Keadaan sebegini juga menyebabkan Raja Permaisuri Agong beberapa kali menitiskan airmata terharu dan Yang di-Pertuan Agong dalam setiap titah pada majlis santapan malam sepanjang kembara, menzahirkan rasa terharu dan terima kasih Baginda akan sambutan luar biasa rakyat di Sabah dan Sarawak.
Banyak iktibar yang dapat kita perolehi dari KKB ini. Bukan sahaja satu Malaysia malah satu dunia telah menyaksikan betapa Ketua Tertinggi Negara buat pertama kali dalam sejarah mengadakan kembara selama 11 hari (3 September - 13 September 2023) dengan memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak dan ianya mendapat sambutan sangat luar biasa dari rakyat jelata.
Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana KDYMM SPB YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar.
KDYMM Tuanku telah mengilhamkan Kerajaan Perpaduan sehingga menjadi kenyataan dibawah Perdana Menteri Kesepuluh dan semangat perpaduan yang utuh telah dibuktikan oleh rakyat di kedua-dua negeri ini menerusi sambutan keberangkatan tiba Baginda ke semua lokasi.
KKB ini juga sewajarnya menjadi anjakan serta batu loncatan untuk agenda pembangunan di kedua-dua negeri ke arah penambahbaikan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dari segi ekonomi, infrastruktur misalnya jalan raya dan pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan, dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan yang akan datang.
Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negerinegeri Borneo ini, memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Jutaan terima kasih kepada pihak Istana Negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, rakyat jelata yang menyatakan sokongan dan berkongsi kegembiraan bersama sepanjang kembara ini berlangsung, serta kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan kembara ini.
Alhamdulillah berkat sokongan padu semua, KKB yang bermula di KM 0 Tawau, Sabah, dan berakhir semalam (13 Sept) di KM 0 Telok Melano, Sarawak, telah berjalan lancar dan jayanya.
Kembara ini juga menonjolkan betapa seharusnya rakyat jelata dan Raja berpisah tiada.
Semoga KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Baginda akan sentiasa dilimpahi keberkatan, dilanjutkan usia dan dikurniakan rahmat oleh Allah SWT.
Daulat Tuanku, Menjunjung Kasih Tuanku atas kesudian mencemar duli bersama rakyat jelata.
DATO SRI FADILLAH BIN HAJI YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI MENTERI PENYELARAS KEMBARA KENALI BORNEO YANG DI-PERTUAN AGONG 14 SEPTEMBER 2023