KENYATAAN MEDIA

MAKLUM BALAS KEPADA VIDEO KELUHAN PEKEBUN KECIL

MENGENAI HARGA GETAH RENDAH

 

  1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil maklum akan penularan video keluhan seorang pekebun kecil di Kedah mengenai harga getah yang rendah dan permohonan beliau kepada Kerajaan untuk meningkatkan harga getah. Sehubungan itu, satu pertemuan antara pihak Kementerian dan pengadu telah diadakan pada 30 Julai 2023 bagi mendengar keluhan dan menangani permasalahan yang dihadapi. Hasil positif daripada pertemuan ini, masalah pekebun kecil berkenaan telah diselesaikan secara terus di mana Permit Autoriti Transaksi Getah atau PAT-G beliau telah diperbaharui yang melayakkan beliau untuk menerima bantuan IPG dan bantuan-bantuan Kerajaan yang berkaitan.
  1. Dengan usaha ini, pekebun kecil tersebut akan menikmati insentif IPG yang telah dinaikkan daripada RM 2.50 sekilogram kepada RM2.70 sekilogram bermula Januari 2023. Ini adalah inisiatif Kerajaan untuk menangani isu kejatuhan harga dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil bagi meringankan beban mereka. Kenaikan PHP sebanyak RM 0.20 sen ini memastikan pekebun kecil akan menerima hasil penjualan cuplump tidak kurang RM 2.70 sekilogram. Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga 30 Jun 2023, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM457,526,196 juta bagi pembayaran IPG.
  1. Kerajaan amat prihatin dan sentiasa melipat ganda usaha bagi membantu pekebun kecil getah dari semasa ke semasa. Kementerian dan Agensi terlibat telah memperhalusi cadangan kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan bantuan-bantuan lain yang bersesuaian untuk diagihkan kepada pekebun kecil, mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor getah pada masa kini.
  1. Untuk makluman, pekebun kecil adalah disyaratkan untuk memiliki PAT-G yang dikeluarkan oleh LGM secara percuma bagi sebarang aktiviti urus niaga getah dan sebagai syarat untuk pemberian insentif dan bantuan. Bagi memudahkan urus niaga di peringkat pekebun kecil, LGM juga telah mewajibkan penggunaan RRIMNiaga kepada pelesen getah. Selain itu, rekod transaksi urusniaga adalah lebih telus dan proses penyaluran bantuan adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dan pembayaran insentif akan disalurkan terus kepada akaun bank pekebun kecil.
  1. Selain itu, Kementerian melalui LGM juga telah memperkenalkan pelbagai projek dan insentif lain bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan termasuk Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan pelaksanaan MyRol. LGM juga terus menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah manalaka kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah.
  1. Kerajaan amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan sentiasa proaktif dalam memastikan aktiviti-aktiviti di atas dipertingkatkan agar dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah. Kerajaan juga amat menggalakkan pekebun kecil untuk segera berdaftar dengan LGM melalui PAT-G bagi menikmati insentif dan bantuan Kerajaan.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

1 OGOS 2023