JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030
(DAKN 2030) PENGGERAK SEKTOR AGRIKOMODITI UNTUK TERUS
MEMACU EKONOMI NEGARA
_____________________________________________________________________________________

1. Yang Berhormat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.


2. DAKN 2030 yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari 2022. Penggubalan dan hala tuju dasar ini adalah berteraskan kepada Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).


3. DAKN 2030 menggariskan hala tuju pembangunan industri Agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf), biojisim dan biobahan api.


4. DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor ini terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) dan pendapatan eksport negara. Pada masa yang sama, DAKN 2030 dijangka akan dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.


5. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat sejak sedekad yang lalu terbukti apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan.


6. Selain itu, pencapaian negara di peringkat antarabangsa juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Malaysia merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia, pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, pengeksport kayu dan produk kayu ke-10 terbesar, pengeksport perabot kayu ke-12 terbesar, pengisar koko ke-6 terbesar dan pengeluar lada ke-5 terbesar di dunia.


7. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada KDNK negara juga tidak dapat dinafikan dengan nilai sumbangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM84.3 bilion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 6.1% merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela. Pada masa yang sama, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 44.5% kepada KDNK Sektor Pertanian. Sub sektor sawit merupakan penyumbang
utama kepada KDNK Agrikomoditi iaitu sebanyak 53.4% diikuti dengan getah 19.9%, kayu 18.8%, lada 2.7%, koko 2.0% dan tembakau 3.2%.


8. Sektor Agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM270.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 39.7% berbanding tahun 2020 manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM148.8 bilion. Pendapatan eksport adalah sebanyak RM209.5 bilion atau 16.9% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Sawit dan getah merupakan penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi. Sawit meningkat sebanyak 48.0% kepada RM108.5 bilion manakala getah meningkat sebanyak 44.3% kepada RM71.0 bilion berbanding tahun 2020.


9. Justeru, bagi memastikan sektor ini terus kukuh dan mampan, Rangka DAKN 2030 digubal dengan tiga komponen utama berdasarkan Hala Tuju Strategik keseluruhan sektor Agrikomoditi (Visi dan Teras DAKN 2030), Aspirasi DAKN 2030 dan Keutamaan Rentas Sektor.


10. Secara keseluruhan, DAKN 2030 merangkumi lima teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan. Manakala, lapan komoditi dan empat keutamaan rentas sektor pula mengandungi 130 strategi dan 112 indikator dan sasaran. DAKN 2030 juga turut menyenaraikan 11 program flagship dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan Agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran.


11. Selain itu Kementerian juga akan menganjurkan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACEs) pada pertengahan tahun ini dengan menghimpunkan kesemua sektor agrikomiditi negara di bawah satu ekspo bertaraf antarabangsa.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
9 Mac 2022