JATA LATES

PERSEKITARAN PERNIAGAAN KONDUSIF BAGI PEMBANGUNAN DAN
JAMINAN KEMAMPANAN INDUSTRI PERABOT KAYU NEGARA SEIRING
LANGKAH PEMULIHAN PASCA COVID-19
________________________________________________________________

1. Kementerian telah mengadakan lawatan ke Dynamic Furniture Industries (M) Sdn. Bhd di Banting dan Sesi Libat Urus dengan Malaysia Furniture Council (MFC) pada hari ini. Kementerian sedar akan keperluan untuk memberi penekanan bagi memperkukuh aktiviti industri perabot kayu sebagai langkah pemulihan susulan pandemik COVID-19. Industri perabot perkayuan Malaysia berupaya membangun dengan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi penghasilan produk berkualiti tinggi dengan pasaran dagangan yang meluas.


2. Sektor ini berupaya memenuhi permintaan pasaran sekiranya keperluan pekerja dipenuhi. Ini kerana pertumbuhan pesat industri perabot kayu amat bergantung kepada pekerja tempatan dan asing dan berkemahiran. Dalam hal ini, saya menyeru agar pihak industri mematuhi garis panduan penetapan standard minimum keperluan pekerja sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian.


3. Kerajaan juga telah mensasarkan nilai eksport produk kayu sebanyak RM19 bilion menjelang tahun 2025 yang merangkumi perabot kayu di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030. Bagi memastikan perancangan ini tercapai, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited untuk membantu industri berdaya saing ke arah
kemampanan serta kemakmuran bersama. Malaysia merupakan pengeksport perabot dan komponen perabot ke-10 utama dunia. Malaysia telah mencapai nilai eksport berjumlah RM10.41 bilion pada tahun 2021 dengan lima (5) destinasi eksport utama iaitu Amerika Syarikat, Japan, Singapura, United Kingdom dan Australia. Industri perabot kayu juga mempunyai potensi untuk bertumbuh positif pada tahun ini dengan permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama dan sejajar peralihan negara ke fasa endemik.


4. Bagi merancakkan permintaan yang tinggi, saya dan delegasi Kementerian berusaha meluaskan pasaran komoditi negara termasuk sektor kayukayan, dengan mengadakan Siri Jelajah Agrikomoditi di peringkat antarabangsa. Terbaru, kami telah mengadakan siri jelajah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, India, Bangladesh, Turki dan Pakistan.
Kementerian juga akan menganjurkan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai 2022 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.


5. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Agensi dan Majlis di bawah Kementerian untuk membantu industri perabot. Antaranya termasuk Program Inkubator Reka Bentuk Kayu yang diterajui oleh Majlis KayuKayan Malaysia (MTC). Program tersebut bertujuan untuk membangunkan perabot kayu bagi pasaran antarabangsa. Di samping itu, mendorong industri ke arah transformasi daripada pengeluaran produk berasaskan Original Equipment Manufacturer (OEM) kepada Original Design Manufacturing (ODM) serta Original Brand Manufacturing (OBM). Selain itu, sebagai usaha pemulihan industri susulan pandemik COVID-19, MTC turut memperkenalkan Export Assistance Programme (EAP) pada tahun 2021 dengan pemberian insentif bagi membantu pemain industri perkayuan membiayai kos pengangkutan laut.


6. Program lawatan dan sesi libat urus ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), MTC serta Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 APRIL 2022