SIARAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KECIL MELALUI KOPERASI
PENANAMAN SAWIT MAMPAN (KPSM) DAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN
MALAYSIA (MSPO)
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Kimanis Berhad, Sabah hari ini.
2. Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan sebagai langkah strategik Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menjamin keterlibatan pekebun kecil dalam model ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengendalian koperasi serta industri kecil dan sederhana. KPSM menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar (BTS) berkelompok dan pembelian input secara pukal selain boleh terbabit dalam perniagaan lain untuk
memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian diagih sebagai dividen kepada ahli.
3. Kerajaan melalui KPPK telah memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 bagi sebuah koperasi sebagai modal untuk menampung kos penyediaan tapak, pembinaan platfom dan pembelian jambatan timbang oleh KPSM.
4. Kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi setiap koperasi untuk meningkatkan keupayaan KPSM terutama dalam pembelian secara bayaran tunai BTS yang dibekalkan oleh pekebun kecil. Sehingga Februari 2022, sebanyak 16 buah KPSM telah menikmati kemudahan ini. Skim Pembelian Jentera dalam bentuk geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta turut disediakan bagi membolehkan KPSM membeli jentera sendiri bagi kelancaran operasi.
5. Sehingga Julai 2022, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. Sebanyak 66 buah buah pusat timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya dan telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 149,241 tan. Di Sabah, sebanyak 25 buah KPSM telah menjalankan urus niaga BTS berjumlah 222,389.32 tan, sekali gus memberi manfaat kepada 2,415 orang pekebun kecil yang menjadi ahli.
6. KPSM Kimanis Berhad telah ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dengan keahlian berjumlah 56 orang setakat Julai 2022. Pusat Timbang KPSM Kimanis yang baru siap telah memulakan jualan BTS pada Jun 2022. Penubuhan KPSM di negara ini telah bermula sejak tahun 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana pelbagai bantuan oleh Kerajaan telah disalurkan bagi meningkatkan aktiviti dan sumbangan koperasi untuk pembangunan pekebun kecil sawit.
7. Kerajaan komited membantu pekebun kecil mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pengeluaran minyak sawit secara lestari dan peningkatan produktiviti BTS. Selain itu terdapat bantuan dalam bentuk yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO dan penyediaan peralatan perlindungan keselamatan diri (PPE). Sehingga Julai 2022, keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilkan MSPO adalah 637,564.89 hektar dengan penglibatan seramai 180,072 orang pekebun kecil.
8. Di Sabah, 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) telah dipersijilkan MSPO, melibatkan 26,464 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 167,660 hektar. Bagi SPOC S5 yang merangkumi kawasan Kimanis, Papar dan Penampang, seramai 138 orang pekebun kecil telah memperoleh sijil MSPO dengan keluasan berjumlah 1,330 hektar.
9. KPPK sentiasa berusaha mempergiat pembangunan pekebun kecil tanaman sawit di negara ini, justeru pelaksanaan MSPO merupakan inisiatif tepat bagi mempertingkat mutu pengurusan penanaman kelapa sawit menerusi amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan stardard minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
03 SEPTEMBER 2022