JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
HARGA PASARAN MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MELEMAH SEMENTARA,
KPPK FOKUS KEPADA KEMAMPANAN JANGKA PANJANG


1. Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangkakan memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut, susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.


2. Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 satu tan metrik (MT) pada Mac 2022 berikutan konflik Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari, Kenanga Research menjangkakan harga MSM sebagai 'masih baik' pada purata RM4,50O MT pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023.


3. Sektor perladangan sawit juga dibebani kos pengeluaran yang melonjak disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan, namun keseluruhannya, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan ini.


4. Ketika ini, kedua-dua minyak sawit (dengan sekitar 35% penguasaan pasaran) dan minyak kacang soya (sekitar 25% penguasaan pasaran), kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncaknya, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula.


5. Dalam aspek ini, peladang sawit - sama ada syarikat besar atau pekebun kecil - mesti mempunyai keyakinan terhadap tanaman 'emas' ini memandangkan permintaan terhadap minyak makan masih mencatatkan pertumbuhan setara selama berdekad, disokong pula dengan pertambahan populasi penduduk dunia, faktor kemewahan - dan sehingga takat tertentu - perubahan gaya hidup manusia kepada gaya hidup yang lebih moden.


6. Secara purata, penggunaan minyak sawit tumbuh 3% dari tahun ke tahun atau 'yearon-year (y-o-y)’ sepanjang dekad terbaharu, manakala purata penggunaannya sepanjang 30 tahun pula lebih tinggi, iaitu pada 3.6%, menurut laporan Kenanga Research bertarikh 28 September 2022 yang turut mengulangi penarafan 'overweight' terhadap sektor ini.


PROSPEK JANGKA PANJANG YANG UTUH


7. Pandemik COVID-19 sememangnya memberi impak negatif kepada aktiviti ekonomi, terutama sektor hospitaliti, pengangkutan dan pelancongan, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit menyusut kepada sekitar 1% y-oy sejak 2020.


8. Bagaimanapun, laporan pasaran menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3% berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.


9. Walaupun timbul kebimbangan permintaan menguncup atau menurun lebih teruk berikutan ekonomi global yang perlahan dan pada masa sama dunia dibelenggu inflasi, kenaikan kadar faedah serta kerisauan terhadap kegawatan, semua itu dijangka sementara kerana China, iaitu pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar COVID-19 dilaksanakannya selama ini yang turut menjejaskan penggunaan dan permintaan terhadap komoditi berkenaan.


10.Umum sedia maklum, produk makanan serta bahan api adalah barangan keperluan asas yang mendapat permintaan utama dan ia adalah bahan yang pasti habis digunakan. Selain itu, Indonesia - pengeluar minyak sawit dan biodiesel terbesar - sudah melaksanakan semula ujian penggunaan biodiesel B40 sejak penghujung Julai lalu selepas tertangguh selama lima bulan. Indonesia ketika ini menggunakan biodiesel B30 campuran (blend) dengan perancangan selepas ini adalah menggunakan B40 campuran (mix), sama ada dalam tahun ini atau 2023.


11.Sesuatu yang sangat menggalakkan adalah sektor perladangan Malaysia kini sudah berkembang dengan penggiat-penggiat industri sudah menerima pakai prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam operasi harian mereka.


12.Sebagai bukti, kira-kira 16 juta MT minyak sawit Malaysia sudah mendapat penarafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi beberapa standard tinggi ESG bagi hasil ladang yang dikeluarkan di seluruh dunia.


13.Sebagaimana hasil kajian Kenanga Research, kumpulan-kumpulan perladangan yang diurus tadbir dengan baik turut mengambil inisiatif sendiri dan tidak berdiam diri, dengan berusaha mendapatkan hasil minyak sawit yang lebih tinggi mencecah sehingga 6 MT per hektar atau kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil tanaman minyak makan yang lain.


14.Dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.


15.Sebagai tambahan, KPPK juga sudah melancarkan kempen 'Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu  dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak 'emas' negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
3 OKTOBER 2022