KENYATAAN MEDIA
MAJLIS IFTAR KASIH RAMADAN BERSAMA ASNAF DAN WARGA
EMAS
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menghadiri Majlis Iftar Kasih Ramadan bersama asnaf dan warga emas anjuran oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang hari ini.
2. Majlis ini merupakan inisiatif IMPAC untuk menyantuni golongan sasar iaitu asnaf dan warga emas dalam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta memberikan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
3. YB Menteri bersama Pengerusi IMPAC, YBhg Datuk Zunaidah Idris menyampaikan sumbangan baju raya kepada 51 anak-anak asnaf dan bantuan duit raya kepada 54 warga emas dan asnaf sebelum berbuka puasa pada majlis ini.
4. Kementerian dan IMPAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia, Mamee Malaysia, Percetakan Zainol Kassim, Al Najwa Production Sdn Bhd serta individu-individu yang memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada asnaf, warga emas dan tetamu jemputan.
5. Program seumpama ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan dari semasa ke semasa.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
29 APRIL 2022