JATA LATES

SIARAN MEDIA
KPPK TERUS SOKONG INDUSTRI BAGI MENJAMIN KEMAMPANAN
SEKTOR SAWIT MALAYSIA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan FGV Kernel Products Sdn. Bhd. Berhad di Pasir Gudang, Johor.


2. FGV Holdings Berhad merupakan antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia. Bahagian hiliran di FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan fast moving consumer goods (FMCG).


3. Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang telah memulakan operasi pada tahun 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga (3) operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna. Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluaran DOPSB ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang. FGV Kernel Products Sdn. Bhd. (FGVKPSB) pula telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perniagaan terasnya melibatkan pemprosesan isirung sawit (PK) untuk menghasilkan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) dan Palm Kernel Expeller (PKE).


4. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara telah meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun 2021 berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.


5. Kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus
mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 September 2022